Oleh
Kemalangan maut di Jambatan Pulau Pinang yang terbaharu pada 20 Januari lalu mendapat perhatian ramai. Dalam kemalangan tersebut kereta dipandu seorang pelajar kolej swasta hilang kawalan setelah dilanggar sebuah kereta lain sehingga terhumban ke dalam laut. Mayat mangsa ditemukan di dalam kereta tersebut beberapa hari selepas itu.
Berdasarkan kepada video yang tular dalam media sosial kereta tersebut dilanggar sebuah kereta lain yang dipercayai dipandu laju. Tidak dapat dipastikan sama ada kereta yang terhumban dan kereta yang melanggarnya sedang berlumba dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 pagi itu. Kes kenderaan terjun laut ini adalah kes kelima sejak tahun 2010.
Jambatan Pulau Pinang dan feri Pulau Pinang adalah dua kemudahan awam yang menjadi ikon pelancongan negeri. Para pelancong ke negeri ini lazimnya mahu merasai pengalaman menggunakan dua kemudahan berkenaan. Kalau masuk menaiki feri, waktu keluarnya pula mesti mahu mencuba Jambatan Pulau Pinang. Walaupun ada satu lagi jambatan baharu iaitu Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah yang menjadi jambatan kedua, ‘populariti’ jambatan pertama tidak ada bandingannya.
Walaupun pembinaannya pernah dikritik oleh seorang bekas pemimpin pembangkang suatu waktu dahulu, tetapi sejak siap dibina kritikan itu ternyata meleset dan terbukti pembinaannya bukan satu pembaziran. Jambatan ini sangat besar jasanya kepada penduduk Pulau Pinang. Perjalanan keluar masuk ke pulau dan tanah seberang lebih cepat dan tiada lagi kesesakan di jeti feri di Butterworth.
Sejak beberapa tahun lalu, ‘populariti’ jambatan ini bertambah disebabkan beberapa faktor antaranya kesesakan teruk setiap hari, lokasi popular percubaan bunuh diri dan `litar’ uji pandu pemandu gila terutama pada awal pagi. Kemalangan sekecil mana pun jika berlaku di jambatan ini pasti menyebabkan kesesakan yang mengazabkan apatah lagi kalau kemalangan maut. Kes-kes kereta terhumban ke laut berpunca daripada kemalangan jalan raya. Bagaimanapun dalam bab percubaan membunuh diri kebanyakan mangsa berjaya diselamatkan oleh nelayan bot kecil yang sedang menangkap ikan berhampiran atau di bawah jambatan itu. Nelayan-nelayan di kawasan itu sudah boleh digelar sebagai `skuad penyelamat’ cubaan bunuh diri di jambatan
Loading...
tersebut.
Walaupun kenderaan tidak dibenarkan berhenti, masih ramai pengguna ingkar dan memberhentikan kenderaan masing-masing untuk berswafoto kenangan di atas jambatan tersebut yang menjadi salah satu lagi punca kesesakan dan kemalangan. Laluan itu juga menjadi pilihan mat rempit berlumba kereta atau motosikal. Maklumlah ketika itu jalan sedikit lengang mudahlah masing-masing merempit, mencelah dan mencilok.
Setiap kali berlaku insiden kemalangan jiwa di situ maka akan keluarkan pelbagai `cadangan bernas’ termasuk daripada pihak berkuasa. Macam baru-baru ini disarankan agar syarikat konsesi jambatan terlibat melakukan sesuatu bagi mengelakkan kejadian kenderaan ‘terjun’ ke dalam laut berulang. Maka disyorkan satu mekanisme bersesuaian berkaitan dengan pemasangan penghadang tepi jambatan tersebut. Penghadang yang sedia ada menurut si pencadang mungkin tidak cukup tinggi sebagaimana piawaian yang ditetapkan.
Dalam isu ini, simen penghadang tepi jambatan tidak ada kena mengena pun. Jambatan itu dibina mengikut standard dan spesifikasi yang ditetapkan sebagaimana jambatan-jambatan lain di seluruh dunia. Mana mungkin sebuah jambatan sehebat itu masih tidak menepati piawaian yang dikehendaki.
Isunya sekarang ialah sikap pemandu dan pengguna jalan raya sendiri. Dalam video yang sedang tular itu jelas menunjukkan dua buah kereta yang terlibat dipandu laju seakan-akan sedang berlumba sebelum salah sebuahnya hilang kawalan dan merempuh sebuah kereta lain sehingga melambung melepasi simen penghadang tepi jambatan dan terus jatuh ke laut. Mujurlah insiden itu tidak meragut nyawa pengguna kenderaan lain yang tidak berdosa termasuk seorang penunggang motosikal yang hampir-hampir turut terseret.
Dengan impak kelajuan seumpama sebuah kereta formula satu yang sedang berlumba di litar lurus, simen penghadang yang dibina setinggi bangunan sekalipun tidak akan dapat menghalang kenderaan daripada melompat melepasi penghadang dan terjunam ke dalam laut, jika dilanggar sedemikian rupa. Apatah lagi jika pemandunya sedang di bawah pengaruh alkohol atau dadah.
Janganlah setiap kali ada kemalangan maut seperti yang berlaku di Jambatan Pulau Pinang itu, maka pengendali konsesi jalan raya atau jambatan dipersalahkan. Maka disuruh naikkan itu dan naikkan ini dan dibina itu dan bina ini yang sesekali dengar seperti lucu dan tidak masuk akal. Sedangkan punca sebenar adalah daripada pemandu itu sendiri, cuai, lalai dan tidak berhati perut ketika di atas jalan raya. Senang cakap, jalan raya dan jambatan bukan tempat berlumba.
Samalah juga dengan kes-kes kemalangan maut yang berlaku di lebuh raya di negara ini. Kesilapan dan kecuaian manusia menjadi faktor utama.
Syarikat konsesi jalan raya mana-mana sekalipun sudah tentu melakukan apa sahaja bagi mengelakkan kemalangan berlaku di situ termasuk meletakkan tanda had laju serta pelbagai peringatan lain. Perkara yang paling mahu dielakkan mereka ialah kemalangan sementelahan lagi kemalangan maut yang meragut banyak nyawa terutama nyawa pengguna yang tidak berdosa.
Bagaimanapun selagi pengguna jalan raya terutama pemandu kereta yang tidak sedar diri dan tidak bertanggungjawab ini tidak berubah, selagi itulah insiden seperti ini akan terus berulang.
Loading...