Oleh
Apa sudah jadi? Tiba-tiba dalam majalah Going Places edisi Januari 2019 milik Malaysia Airlines (MAS) terdapat iklan promosi makanan dan gambar daging babi. Banyak pihak yang terperanjat dan terkejut.
Yalah tidak semena-mena ada pula iklan promosi makanan dan masakan daging babi dalam majalah tersebut. Dikatakan ini kali pertama berlaku. Yang menghairankan bagaimana iklan itu boleh terlepas dalam majalah yang dimiliki oleh syarikat penerbangan nasional, milik kerajaan Malaysia.
Mustahil pihak MAS terutama pihak pengurusan dan sidang redaksi majalah tidak sedar akan perkara tersebut. Mustahil ketika cadangan iklan itu dikemukakan, mereka tidak dimaklumkan bahawa iklan berkenaan adalah iklan masakan daging babi.
Memang tidak nafikan kumpulan penumpang MAS terdiri daripada pelbagai bangsa dan kaum tetapi kita perlu terima hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam. Negara yang meletakkan Islam pada tahap tertinggi seperti mana yang diperuntukkan dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.
Sebagai menghormati kedudukan Islam, pada masa sama menjaga sensitiviti umat Islam negara ini perkara seumpama itu tidak sewajarnya berlaku. Yang pasti, soal agama tidak boleh diremehkan. Tidak boleh dipermainkan.
Sebab itu, isu tersebut tular dengan cepat dalam media sosial yang kemudiannya menerima kecaman daripada netizen. Mereka mempersoalkan bagaimana MAS boleh membenarkan iklan berkenaan boleh
Loading...
disiarkan dalam majalah Going Places.
Apapun MAS telah memohon maaf selepas tularnya isu itu dengan mengakui bahawa iklan tersebut telah menyinggung perasaan orang ramai. Banyak pihak berharap perkara serupa tidak akan berlaku lagi pada masa akan datang.
Dengan kata lain pihak pengurusan MAS dan sidang redaksi majalah Going Places perlu lebih peka dengan tidak melakukan apa jua bentuk tindakan yang boleh menyentuh sensitiviti agama di negara ini.
Walaupun penumpang MAS dari pelbagai negara dan ceruk dunia tetapi itu bukan bermakna MAS perlu mempromosi satu produk yang boleh meresahkan orang ramai dan dalam konteks ini ada kaitannya dengan kesucian agama Islam.
Terlalu banyak jenis makanan lain yang boleh dipromosi memandangkan rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik. Itu adalah lebih baik.
Umum mengetahui bahawa umat Islam dilarang makan daging babi dan hukum tersebut termaktub dalam al-Quran. Malah jika tersentuh mana-mana bahagian haiwan itu, anggota tubuh terbabit perlu disamak dengan air bercampur tanah selepas dilalukan enam kali air bersih. Ini adalah hukum dari sudut syarak berkaitan dengan babi. Sehubungan itu, semua pihak perlu faham tentang perkara tersebut dan menghormatinya.
Rentetan daripada isu ini ada juga sahabat yang meminta pandangan penulis tentang penyediaan alkohol dalam pesawat. Jawapan penulis, sepatutnya juga penyediaan minuman alkohol tidak dibenarkan kerana boleh mendatangkan bahaya terutama jika melibatkan penumpang mabuk.
Sebagai contoh juruterbang Scoot Airlines yang dalam perjalanan dari Gold Coast, Australia ke Singapura terpaksa melencong ke Sydney gara-gara penumpang mabuk dalam satu kejadian 22 Januari lalu.
Dalam satu kejadian di Moscow pada pada 23 Januari pula, seorang penumpang mabuk yang mendesak juruterbang mengubah haluan ke Afghanistan, ditahan sebaik pesawat mendarat dengan selamat di Siberia.
Sehubungan itu alangkah baiknya jika MAS turut tidak menyediakan alkohol dalam pesawat kerana bahayanya kepada penumpang lain. Setakat ini terdapat enam syarikat penerbangan antarabangsa yang tidak menyediakan minuman ini iaitu Saudi Airlines, Kuwait Airways, Pakistan International Airlines, Royal Brunei Airlines, Iran Air dan Egypt Air. Seperkara lagi, jangan lupa kejadian yang menimpa pesawat MAS MH370 dan MH17. Mungkin ini isyarat daripada Allah SWT agar kita lebih bermuhasabah. Wallahuaklam.
Loading...