Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Persepsi PKP tamat adalah salah, kata Noor Hisham

Loading...
PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menolak persepsi kononnya perintah kawalan pergerakan (PKP) telah tamat susulan keputusan kerajaan melonggarkan beberapa perkara bermula esok

“Saya ingin maklumkan, kita tidak tamatkan PKP. Jadi persepsi bahawa kita tamatkan PKP adalah salah. PKP masih berjalan, kita hanya bagi kelonggaran dengan menggunakan kriteria yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia ( WHO).

“Sekiranya ada individu atau syarikat yang tidak dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) baru, mereka boleh kekal dengan peraturan ketika PKP,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Noor Hisyam berkata, jangkitan Covid-19 dijangka terus berada dalam komuniti untuk tempoh sehingga 2 tahun lagi selagi vaksin belum ditemui.
Katanya, selagi belum ada ubat yang berkesan untuk merawat wabak itu, orang ramai diingatkan supaya sentiasa mengamalkan penjarakan selamat, kerap membasuh tangan dan keluar rumah hanya jika ada keperluan.

“Jadi kita harus guna 2 kaedah iaitu PKP dan SOP untuk kawal penularan wabak Covid-19 dalam masyarakat,” katanya pada sidang media hariannya di sini, hari ini.

Noor Hisham berkata, ujian saringan Covid-19 ke atas pekerja dan penghuni pusat jagaan warga emas akan dijalankan berikutan kumpulan itu berisiko tinggi mendapat jangkitan.

Saringan itu akan dimulakan di 17 Rumah Sri Kenangan dan Rumah Ehsan di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Beliau berkata, saringan juga akan dilaksanakan di 357 pusat jagaan yang berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506) dan 26 buah rumah jagaan kesihatan swasta (nursing homes) yang berdaftar di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) maklum bahawa terdapat hampir atau lebih 1,000 pusat jagaan warga emas swasta yang tidak berdaftar bawah mana-mana akta.

“Pihak Pejabat Kesihatan Daerah diarah untuk mengenal pasti pusat jagaan warga emas swasta, termasuk institusi pondok agama di daerah masing-masing bagi memastikan liputan saringan Covid-19 adalah menyeluruh.

“Justeru pengusaha pusat jagaan swasta digalakkan untuk berhubung dengan pejabat itu,” katanya

Lapor kedai tidak patuh SOP

Noor Hisham berkata, orang ramai boleh membuat aduan terhadap premis kedai yang tidak mematuhi SOP perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Tindakan boleh diambil, termasuk arahan penutupan premis, katanya.

Berikutan keputusan kerajaan membenarkan perniagaan, termasuk pusat membeli belah, dibuka semula bermula esok, Noor Hisham berkata, kementerian akan mengambil tindakan menutup premis terbabit untuk tujuan nyahkuman sekiranya mengesan kes positif Covid-19.

Langkah pengesanan kes aktif juga akan dilaksanakan bagi memastikan individu yang merupakan kontak rapat disaring dan dikuarantin.
Loading...
Back To Top