Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Usaha PH perketat undang-undang berkaitan pemandu mabuk wajar diteruskan – Anthony Loke

Loading...
Mantan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berharap Perikatan Nasional (PN) dapat meneruskan usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam memperketatkan undang-undang berkaitan pemandu mabuk.

Menurut beliau, Kabinet PH sebelum ini telah bersetuju secara prinsip dan telah mengarahkan Kementerian Pengangkutan untuk menggubal pindaan Rang Undang-undang (RUU) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi tujuan tersebut.

“(Namun) saya tak sempat untuk membentangkan pindaan RUU tersebut di Parlimen. Pun begitu, saya berharap agenda itu akan diteruskan oleh kerajaan sekarang,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Seremban dalam kenyataan di Facebook, baru-baru ini. 

Katanya, isu berkaitan pemandu mabuk tidak harus dipandang ringan dan beliau akan memberikan sokongan penuh sekiranya pindaan RUU tersebut dibentangkan di Parlimen.

“Semua pihak perlu mengambil pendirian sifar toleransi terhadap pemandu mabuk.

“Ini isu nyawa manusia yang merentasi pendirian politik. Saya akan bangun menyokong pindaan RUU tersebut apabila dibawa ke sidang Parlimen kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas gesaan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man agar Akta Pengangkutan Jalan 1987 dipinda bagi meningkatkan hukuman berkenaan pemandu mabuk yang terlibat dengan kemalangan

Gesaan itu dibuat susulan insiden seorang anggota polis maut dirempuh ketika bertugas di sekatan jalan raya Plaza Tol Kajang Selatan, awal pagi semalam.

Anthony yang juga Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga anggota polis tersebut.

“Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Koperal Safwan Mohamad Ismail,” katanya. – Roketkini.com
Loading...
Back To Top