Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Anwar, Guan Eng dijangka temui Mahathir pagi ini

Loading...

Presiden PKR, Anwar Ibrahim, dijangka akan bertemu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pagi ini ekoran perkembangan baru politik semalam yang memungkinkan berlakunya penjajaran semula politik negara.

Hal itu dimaklumkan seorang pemimpin PKR kepada Malaysiakini hari ini.

"Anwar akan berjumpa Mahathir di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, menjelang 9.30 pagi," katanya.

Bagaimanapun sumber terbabit memberitahu, beliau tidak pasti apa yang akan menjadi pusat perbincangan Anwar dan pengerusi Bersatu itu.
Iklan

Sementara itu Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, turut dilihat memasuki bangunan Perdana Putra pagi ini.

Setiausaha Agung DAP itu kelihatan masuk kira-kira jam 9.30 pagi.

Sebelum ini beberapa pihak menyatakan, Anwar - yang mendakwa dikhianati oleh sebahagian daripada pemimpin partinya sendiri - akan menghadapi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Usah sebar yang tak sahih

Semalam, sekumpulan ahli parlimen yang menyokong Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, dilihat berkunjung ke Istana Negara. Turut dilihat ialah beberapa ahli parlimen dari Bersatu, BN, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Warisan.

Perkembangan itu berlaku hanya sehari selepas mesyuarat Majlis Presiden PH diadakan pada 21 Feb lalu dan membincangkan isu penyerahan kuasa perdana menteri daripada Mahathir kepada Anwar.

Menurut Azmin, usaha membentuk kerajaan baru sedang dijalankan dan dipercayai berlaku seawal esok.



Semalam, pemimpin Bersatu bertemu dengan Mahathir di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya, manakala ahli parlimen yang menyokong Azmin 'bermukim' di hotel Sheraton PJ.

Pada hari sama, pemimpin PAS dan Umno mengadakan sesi pemukiman di Janda Baik. Mereka kemudian menghadiri 'makan malam' di Hotel Sheraton.

Sementara itu Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata orang ramai diminta bertenang dan bersabar dengan perkembangan yang berlaku sekarang.

Hal itu kerana, katanya, ada banyak berita, khabar angin dan andaian mengenai kedudukan kerajaan PH sedang berlegar atau disebar.

"Bagi pihak pimpinan PKR, saya menggesa semua rakyat Malaysia, khususnya anggota parti, untuk bersabar dan bertenang.

"Sentiasa patuhi undang-undang negara serta jangan sebarkan maklumat tidak sahih," katanya dalam satu kenyataan pagi ini.





Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram FacebookEmel kepada MRTwitterRSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Loading...
Back To Top