Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Najib telah berjaya...Syabas Kita Ucapkan

oleh Joceline Tan

Dalam masa beberapa minggu, Datuk Seri Najib Tun Razak akan membuat salah satu ucapannya yang paling penting untuk tahun ini.

Ucapan beliau sebagai presiden di perhimpunan agung Umno perlu bergema dalam parti tetapi memandangkan beliau juga adalah Perdana Menteri, itu bermakna beliau juga akan berucap kepada khalayak di luar parti.

“Secara politik, ini adalah platform utama. Beliau mungkin boleh melakukan kesilapan dalam ucapan lain tetapi dalam ucapan ini, beliau tidak boleh melakukan sebarang kesalahan,” kata bekas pembantunya Datuk Mazri Muhammad.

Semua orang berpendapat bahawa perhimpunan agung 2016 akan menjadi yang terakhir sebelum pilihan raya umum tetapi ia adalah mustahil untuk menjangkakan langkah Najib.

Tidak ada presiden Umno yang lain yang melalui apa yang Najib lalui tetapi beliau telah berjaya mengharunginya dan, seperti yang dikatakan Mazri, beliau akan berdiri di pentas PWTC dalam keadaan beliau yang paling kuat sejak mengambil alih dari Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau juga dalam perjalanan untuk menjadi ‘survivor’ kerana tiada pemimpin Umno sebelumnya yang dapat bertahan dari serangan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad atau serangan politik dan berita palsu yang dibuat oleh pembangkang.

Dan meskipun dengan semua masalah yang berlaku ini, beliau kini menjadi Perdana Menteri yang ketiga paling lama berkhidmat selepas Dr Mahathir dan Tunku Abdul Rahman.

Bagi kebanyakkan ahli parti, ini juga bermakna bahawa Umno telah mampu untuk bertahan menghadapi serangan kuat Dr Mahathir. Ia seperti berjaya melalui latihan halangan – anda keluar dengan lebih yakin dan positif.

“Kita melihat Umno yang lebih padu dan fokus. Ia tidak lagi perlu bimbang tentang perbezaan pendapat dalaman, ia boleh memberi tumpuan kepada pihak lawan politiknya. Pada saya, ia adalah satu parti dengan misi,” kata ahli politik Gerakan Ivanpal S. Grewal yang merupakan pemerhati Umno.

Terdapat beberapa sebab mengapa Najib akan menguasai pentas Umno seperti yang tidak pernah terjadi sebelum ini pada bulan depan.

Pertama sekali, semestinya, ketabahan beliau dalam menentang serangan berhabis-habisan oleh Dr Mahathir. Terdapat ramai dalam Umno yang tidak tahu mahu memilih siapa antara presiden semasa dan bekas presiden tetapi semuanya berubah apabila Dr Mahathir menyertai pembangkang dan menjadi pengerusi Pakatan Harapan.

Tindakan beliau dilihat sebagai melampau, dan sejak itu semuanya menjadi jelas – kelangsungan hidup Umno telah dipertaruhkan dan Dr Mahathir kini menjadi Musuh Nombor 1.

Perkara psikologi yang sama berlaku selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal membentuk parti politik yang sejajar dengan pembangkang.

“Mereka bersama dengan kami sebelum ini tetapi kini mereka mahu memusnahkan parti kami. Tiada seorang pun dalam parti kami boleh menerima itu. Orang yang mencabar Umno selalunya gagal untuk memahami ikatan emosi yang dimiliki oleh ahli kami untuk parti kami,” kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Menurut ahli majlis tertinggi Umno Datuk Seri Rahman Dahlan, Dr Mahathir tersalah tanggap suasana dalam Umno apabila beliau menyerang Najib. Ramai dalam Umno percaya bahawa serangan Dr Mahathir terhadap Pak Lah telah menyumbang kepada kekalahan gabungan pemerintah pada tahun 2008.

“Apabila beliau cuba untuk melakukannya lagi, kami enggan menurutinya. Kami tidak mahu bencana kedua yang disebabkan olehnya,” kata Rahman yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Najib juga berjaya mengatasi isu 1MDB. Ia adalah isu yang besar di kalangan kelas bandar tetapi gagal untuk memberi kesan kepada kawasan Melayu. Isu ini telah dimainkan dan Sarawak Report, yang memainkan peranan yang besar di dalamnya, kini menderita isu
Loading...
kredibiliti dan menghadapi saman fitnah di mahkamah London.

Kedudukan Najib juga didorong oleh kemenangan besar dalam pilihan raya negeri Sarawak dan kemenangan di pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Itu adalah titik pertama untuknya dan beliau tidak lagi memandang ke belakang sejak itu.

Satu lagi faktor yang tidak difahami oleh orang luar mengenai Najib adalah cara beliau menguruskan pangkalan kuasanya di dalam Umno.

Beliau tidak mamandang ringan sokongannya dalam Umno. Beliau sentiasa bergaul dengan pemimpin di peringkat bahagian.

Permulaan untuk semua pemimpin parti Umno bermula di peringkat bahagian Umno dan dikatakan bahawa 90% daripada ketua-ketua bahagian itu setia padanya. Beberapa tahun kebelakangan ini telah menyaksikan beliau bergaul dengan timbalan ketua dan naib ketua bahagian Umno.

Najib, kata Rahman, adalah satu-satunya presiden Umno yang telah membina hubungan langsung seperti ini dengan pemimpin akar umbi Umno dan ia membantunya semasa beliau kesusahan.

AGM peringkat bahagian Umno yang lancar juga adalah satu lagi petunjuk bahawa parti itu telah menemui semula pusat gravitinya.

Mesyuarat bahagian tahun ini sangat berbeza dengan suasana yang tidak menentu pada mesyuarat dua tahun lalu ketika kedudukan Najib kelihatan seperti tidak kukuh.

Timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memainkan peranan dalam menetapkan nada itu dengan menunjukkan percanggahan Dr Mahathir dalam AGM satu bahagian demi satu bahagian.

Dr Ahmad Zahid turut diserang tetapi misi tercapai apabila mesyuarat berakhir – pemotongan terakhir hubungan dengan 3M (Dr Mahathir, Muhyiddin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir) telah lengkap.

“Saya berasa sangat sedih. Orang-orang yang lebih lama dalam kawasan saya malah sukar untuk menyebut namanya sekarang ini. Mereka tidak faham kenapa, pada usia 92 tahun, beliau melakukan semua ini.

“Pagi tadi, salah seorang daripada mereka memberitahu saya bahawa sesetengah orang menjadi tua dan menjadi “tua-tua”, iaitu mereka menjadi lebih bijak. Tetapi yang lain hanya menjadi “tua”, mereka mengadu tentang segala-galanya dan semua orang. Mereka menjadi tidak munasabah, semuanya salah pada mereka,” kata ADUN Sungai Tiang Datuk Suraya Yaakob yang rapat dengan Dr Mahathir dan isterinya.

Najib adalah apa yang disebut Ivanpal sebagai “lelaki Melayu klasik”. Tetapi lelaki itu telah menjadi semakin tegas dalam tentangannya terhadap pengerusi Pakatan, di mana beliau bersuara mengenai tindakan Dr Mahathir yang selalu melakukan pusingan U dan ketidakkonsistenannya.

“Mahathir telah melemparkan segala-galanya kepada PM. Kebertanggungjawapan terletak atas bahu kedua-dua pihak dan dilema pembangkang adalah mereka perlu mempertahankan tindakannya atas dasar-dasar yang mereka sebelum ini menentang. Kebanyakan mereka membina kerjaya politik mereka dengan menentang Mahathirisme,” kata Ivanpal.

Umno, menurut Ivanpal, telah menghantar beban Mahathir untuk ditanggung oleh pembangkang.

Dengan Dr Mahathir di pihak lawan, beratnya kesilapan kerajaan semasa era Mahathir telah sebahagiannya beralih kepada pembangkang. Gabungan pemerintah boleh mula membezakan dirinya dari dasar-dasar semasa zaman Mahathir seperti perjanjian tol yang berat sebelah, kapitalisme kroni dan kontrak penswastaan yang kurang berstruktur.

Menurut bekas ketua Pemuda Umno Putrajaya Datuk Zaki Zahid, Najib telah berjaya mengharungi banyak isu, dan baki halangannya adalah untuk menangani rungutan awam mengenai ekonomi dan isu-isu seperti kos sara hidup, pekerjaan dan gaji.

“Setelah bekerja untuk mantan perdana menteri, saya dapat melihat bagaimana Najib telah menggunakan kuasa pentadbirannya untuk bertahan terhadap musuh-musuhnya. Saya rasa malah Mahathir juga terkesima,” kata Zaki, yang merupakan salah seorang daripada “4th floor boys” Pak Lah.

Politik pasca pilihan raya umum 2008 telah benar-benar menguji Umno dan presidennya.

Perkara terburuk sudah di belakang mereka, dan ahli Umno mempercayai Najib untuk mengemudi mereka melalui halangan terakhir dan itulah sebabnya perhimpunan agung parti mereka mulai 5 Disember akan menjadi acara yang penting.

“Najib akan menjadi sangat hebat, saya jamin. Beliau dapat membahagikan perhatiannya antara tugasnya sebagai Perdana Menteri dan politik, beliau tidak keliru antara urusan kerajaan dengan politik luar. Sebagai contoh, cara beliau menjalankan mesyuarat Kabinet, anda tidak akan mengesyaki terdapat masalah di luar bilik itu,” kata Rahman.

Perhatiannya pada bulan depan akan beralih dari urusan kerajaan kepada kelangsungan hidup partinya.
Loading...
Back To Top