Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Pimpinan Pakatan Harapan Sambut Salam Hindraf...Ikut Madey Lah...Janji Madey PUAS KOT

Loading...
PETALING JAYA: Beberapa pemimpin kanan pembangkang menyambut baik hasrat Hindraf untuk menyertai Pakatan Harapan (PH), sambil berkata mereka terbuka asalkan kumpulan memperjuangkan hak asasi kaum India itu setuju dengan dasar gabungan pembangkang itu.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata partinya terbuka menerima kemasukan kumpulan berkenaan sebagai rakan komponen ke-5.

“Kita akan terus bersikap terbuka dalam perkara ini,” katanya.

Semalam, Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan perbincangan sejam dengan Pengerusi Hindraf P. Waythamoorthy, yang turut dihadiri 2 bekas pemimpin kerajaan, Datuk Zaid Ibrahim dari DAP dan bekas menteri besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid.

Fokus perbincangan itu ialah agar Hindraf diterima sebagai rakan komponen ke-5 gabungan pembangkang. PH kini disertai 4 parti terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan PPBM.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata Hindraf perlu bersetuju dengan beberapa polisi umum yang dipersetujui PH, dan mempunyai matlamat dan hala tuju sama iaitu menjatuhkan Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Tidak boleh ada sikap mengambil jalan tengah. Mesti konsisten, mesti ada komitmen penuh. Secara prinsipnya, PH sedia bekerjasama dengan semua pihak, sama ada parti politik, pertubuhan bukan kerajaan atau individu.

“Kita sedia bergabung, menjalinkan hubungan dengan semua pihak. Jika mendukung cita-cita yang satu, sama ada ia pertubuhan Hindraf atau mana-mana sekalipun,” katanya.

Dalam pertemuan semalam, Dr Mahathir mengakui pengaruh Hindraf yang mampu memperkasakan jentera pembangkang.

“Kita mengakui hakikat bahawa Hindraf mempunyai sokongan setiap lapisan masyarakat India, bukan sahaja doktor dan peguam, malah juga penduduk di estet.

“Maka kita bekerjasama dengan Hindraf, kalau pun bukan sebagai komponen PH, sekurang-kurangnya ia menjadi sebahagian pembangkang,” kata Dr Mahathir.

Hindraf atau nama penuhnya Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu, merupakan pergerakan kaum India yang terkenal dengan protes besar-besaran beberapa bulan sebelum pilihan raya umum (PRU) 2008.

Protes itu menjadi pencetus kepada peralihan sokongan politik pengundi berbangsa India kepada pembangkang, yang menyaksikan BN tewas di kerusi dengan penduduk kaum India yang ramai.

Bagaimanapun, Hindraf di bawah Waythamoorthy beralih sokongan kepada pentadbiran Datuk Seri Najib Razak selepas persefahaman dengan BN pada kempen PRU 2013.

Beliau dilantik senator dan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, tetapi meletak jawatan kurang setahun selepas itu kerana mendakwa BN gagal menunaikan janji membantu masyarakat India.

Saifuddin bagaimanapun berkata Hindraf tidak mampu berikan impak sama seperti PRU pada 2008, sambil merujuk pembangkang yang masih memperolehi 51% tanpa sokongan kumpulan itu.

“Namun, saya akui kekuatan Hindraf yang mampu menarik golongan marhaen dari kaum India. Mereka mampu tarik pengundi berbangsa India yang agak besar.

“Dalam suasana politik yang melihat kepada jumlah dan nombor kerusi di Parlimen, walau banyak mana sokongan dibawa, ia tetap bernilai kepada kita,” katanya.

Zaid yang turut serta perbincangan semalam berkata Hindraf boleh membawa suara dan keinginan masyarakat India yang miskin dan terabai.

“Jika kita sedari, semua pihak berganding bahu untuk menjatuhkan kerajaan BN. Hindraf sudah mulakan langkah awalnya,” katanya.

Zaid berkata tindakan Waytha menyokong pentadbiran Najib satu masa dulu tidak boleh dijadikan alasan menolak Hindraf.

Menurutnya, keputusan Waytha pada masa itu adalah demi agenda masyarakat India yang gagal dicapai.

“Dia perlu dinilai mengenai apakah sumbangannya dalam pilihan raya akan datang,” kata Zaid.

Pengundi India dilihat boleh menjadi penentu kemenangan ketika sokongan pengundi majoriti Melayu berpecah pada PRU akan datang.
Loading...
Back To Top