Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Tiga Lelaki Menyamar Polis Ugut Pelayan Restoran Guna Pistol Ditahan

Loading...

Tiga lelaki menyamar polis ugut pelayan restoran guna pistol ditahan

BERNAMA
05/12/2020 


KUALA LUMPUR, 5 Dis -- Polis menahan tiga lelaki petang semalam kerana disyaki terbabit dalam kes ugutan jenayah terhadap seorang pelayan sebuah restoran di Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata dalam kejadian pada Selasa lepas, seorang daripada suspek yang berumur 22 tahun telah menyamar sebagai anggota polis dan mengugut mangsa menggunakan pistol.

Menurutnya, kejadian berlaku apabila mangsa tidak mengetahui butiran seorang pelanggan tetap berpangkat ‘Datuk Seri’ di restoran berkenaan seperti yang diminta oleh suspek.

“Suspek kemudiannya bertindak agresif dan mengacukan pistol ke arah mangsa dan mendakwa dirinya sebagai anggota polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata bertindak atas laporan itu, pihaknya menahan suspek utama berumur 22 tahun dan dua rakannya berusia 19 dan 51 tahun di Petaling Jaya, kira-kira 2.30 petang.

Polis turut merampas sepucuk pistol tiruan, satu kelopak kosong, dua buah kereta masing-masing jenis Toyota Vios dan Toyota Vellfire serta dua telefon bimbit yang disyaki digunakan dalam kejadian itu.

Katanya, suspek utama mengaku terbabit dalam kejadian tersebut dan membeli senjata api melalui media sosial dengan harga RM1,030 manakala dua rakannya tidak mengaku terbabit dalam kes itu.

Jelasnya, suspek utama direman empat hari manakala dua rakannya dibebaskan dengan jaminan polis dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960.

Sementara itu, dalam kes berasingan, enam lelaki berumur 16 hingga 22 tahun ditahan kerana disyaki merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di sebuah hotel di Petaling Jaya Rabu lepas.

Nik Ezanee berkata, kesemua suspek yang bekerja sebagai penghantar makanan ditahan di sekitar Kampung Sungai Ara, Petaling Jaya dan kini ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 375(B) Kanun Keseksaan.

“Dua daripada suspek mempunyai rekod kes jenayah dan dadah serta dua remaja berumur 16 dan 17 tahun yang ditahan tidak bersekolah.

“Mangsa yang mengalami tekanan emosi sedang mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya,” katanya.




Loading...
Back To Top