Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

487 Individu Ingkar Arahan PKP Ditahan - Ismail Sabri

Loading...

487 individu ingkar arahan PKP ditahan - Ismail Sabri

Astro Awani
7 Disember 2020

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 487 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Ahad, ujar Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Daripada jumlah itu, seramai 470 individu dikompaun manakala 17 lagi individu direman.

"Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (205), aktiviti pusat hiburan (94), tidak memakai pelitup muka (77), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (59), dan lain-lain (52)," katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM pula telah membuat 51,319 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Sebanyak 2,580 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 11,612 anggota telah membuat pemantauan di 3,476 pasar raya, 4,545 restoran serta 1,605 penjaja, 1,283 kilang, 3,131 bank dan 512 pejabat kerajaan.

 Juga dipantau, sebanyak 949 terminal pengangkutan darat, 247 terminal pengangkutan air serta 81 terminal pengangkutan udara," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Operasi Benteng semalam telah berjaya menahan 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan seorang tekong.

Sebanyak 292 Sekatan Jalan Raya (SJR) dilaksanakan semalam yang melibatkan Op PENAWAR (ATM, PDRM dan RELA) - 226 SJR, Op Benteng PDRM - 57 SJR, dan Op Benteng AKSEM - 9 SJR.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus," ujarnya.

Sementara itu, sejak 20 April sehingga 6 Disember 2020, sebanyak 13,801 jumlah pemeriksaan telah dilakukan oleh anggota penguatkuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang melibatkan 7,930 tapak binaan di seluruh negara.

"Semalam, anggota penguatkuasa telah membuat pemeriksaan di 15 tapak binaan di seluruh Malaysia dan kesemua tapak binaan yang diperiksa mematuhi SOP yang telah ditetapkan," tambahnya lagi.

Source: Astro Awani

FOR MORE NEWS GO TO:
Loading...
Back To Top