Dalam satu wawancara bersama Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin pada tahun lepas, saya bertanya kepadanya: adakah PAS akan di-Umno-kan atau sebaliknya melalui Muafakat Nasional (MN).
Bekas menteri besar Johor itu cuma tersenyum sebelum memberikan jawapan. Namun penjelasan itu bukan untuk dicatatkan sebagai berita. Dia sendiri mahukan begitu.
Namun pada masa sama Khaled mengakui kewujudan MN mungkin membawa sedikit petanda.
Khaled berkata: "Dalam kita (Melayu) sebagai teras pun, kita mahu orang Cina dan India bermuafakat dengan kita... kaum lain dijaga dan dipelihara serta dilindungi seperti dalam perlembagaan."
Bagi saya, MN yang berkesan tidak diutarakan dalam kerjasama Umno dan PAS. Kedua-dua parti tersebut mempunyai pertindihan kerusi ketara di kawasan Melayu/Muslim terutamanya di Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.
Kelemahan tersebut belum tertonjol kerana tiada satu pun pilihan raya kecil berlaku di empat negeri itu untuk menguji kerjasama Umno-PAS.
Sebenarnya MN yang 'ngam' ada pada gabungan Umno dan DAP seperti yang saya huraikan semalam. Ini kerana Umno dan DAP mempunyai kekuatan masing-masing di kawasan yang berlainan. Umno berpengaruh di kawasan Melayu manakala DAP di lokaliti Cina dan India.
Bahasa jiwa bangsa
Namun ada beberapa kekangan perlu diselesaikan supaya kuasa atomik gabungan Umno-DAP dilepaskan untuk mewujudkan arena politik yang stabil.
Salah satunya ialah isu identiti Malaysia berbahasa. Misalnya bagaimana bahasa Melayu boleh dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan tetapi pada masa sama bahasa lain dapat diintergrasikan di atas Tanah Melayu yang dikongsi semua?
Suka atau tidak, politik di Tanah Melayu memang berpaksi kepada konflik di antara Melayu dan Cina. Ia merangkumi aspek bahasa, budaya, agama serta masa depan negara yang dilihat berbeza.
Pemikiran arus perdana Melayu berpandangan bahasa Melayu perlu dijadikan bahasa tunggal dalam semua urusan rasmi. Bahasa Melayu jiwa bangsa.
Tindakan tersebut mungkin norma di Eropah Barat apabila konsep satu bangsa, satu agama dan satu bahasa menjadi asas dalam negara bangsa. Namun konsep tersebut tidak terpakai di Tanah Melayu.
Hakikatnya bahasa Melayu hanya diguna pakai secara eksklusif di sektor awam. Bahasa Inggeris dan bahasa Cina pula adalah bahasa umum di sektor swasta.
Keadaan menjadi lebih rumit apabila sistem pendidikan dibahagikan kepada aliran kebangsaan (Melayu) serta aliran jenis kebangsaan (Cina dan Tamil).
Itu belum diambil kira sekolah menengah persendirian Cina (SPMC), sekolah antarabangsa serta sekolah menengah agama tinggi.
Dari sudut komuniti Cina, SJK (C) dan SMPC dibangunkan dengan sumbangan orang awam. Ia adalah identiti bangsa yang tidak boleh dipisahkan. Bagi komuniti itu, bahasa Cina juga adalah jiwa bangsa.
Sepanjang tempoh Pakatah Harapan (PH) berada di Putrajaya, penggunaan bahasa Cina oleh menteri DAP dalam urusan rasmi menjadi modal serangan politik kononnya bahasa Melayu diabaikan.
Macam menonton cerita Cina
Namun serangan tersebut sebaliknya tidak dapat memprojekkan bahasa kebangsaan kepada kaum Cina seperti sepatutnya, malah ia membawa kesan songsang seperti apa yang dilihat pada penentangan terhadap pembelajaran tulisan jawi - walaupun hanya tiga muka surat saja - dalam buku teks Bahasa Malaysia.
Amat mengguris hati apabila bahasa Cina diperlekehkan dalam urusan rasmi. Sama seperti perasaan orang Melayu apabila tulisan Jawi - yang boleh dianggap sebagai moyang bahasa Melayu penulisan - dipandang serong.
Untuk memartabatkan bahasa Melayu, ia perlu mengiktiraf hakikat bahawa di Tanah Melayu memang wujud kepelbagaian bahasa. Begitu juga komuniti Cina perlu melihat bahasa kebangsaan sebagai jambatan untuk bergaul dengan kaum lain.
Bolehkan bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa pertama tetapi bahasa Inggeris, Cina, Tamil, Kadazan dan Iban diiktiraf sebagai bahasa kedua dalam urusan rasmi?
Dalam kata lain, bahasa Melayu diletakkan pada status agung namun bahasa lain yang mempunyai terjemahan bersesuai dengan konteks boleh digunakan untuk memudahkan urusan hal ehwal awam.
Semacam drama Cina yang disiar dalam TV menggunakan bahasa Cina bersama sari kata bahasa Melayu. Begitulah sebaliknya. Penonton didedahkan kepada dua bahasa serentak. Memang rojak, tapi inilah keunikan Tanah Melayu.
Mustahak untuk membina jambatan di antara Melayu dan Cina dengan pengiktirafan identiti bangsa masing-masing melalui bahasa. Bahasa Melayu dan bahasa Cina milik Tanah Melayu.
Isu pendidikan vernakular pula, daripada laungan mansuhkan SJK (C) dan SJK (T), baiklah kita sama-sama menggalakkan konsep mengarusperdanakan sekolah berkenaan.
Dalam arena politik, Umno menguasai konteks dan penggunaan bahasa Melayu tetapi rakan sekutu Cina utama - MCA - dilihat kurang arif dalam menjelmakan konsep MN dan penyebarannya kepada komuniti Cina.
Begitu juga DAP menguasai konteks dan penggunaan bahasa Cina tetapi rakan sekutu Melayu mereka - PKR serta Amanah - dilihat kurang arif dalam menjelmakan konsep PH dan penyebarannya kepada komuniti Melayu.
Apa kata Umno dan DAP memilih rakan baru dan saling lengkap-melengkapi? Lagipun Umno dan DAP memang parti sekular dan nasionalis yang hanya dipisahkan oleh identiti kaum sahaja.
Mungkin ke satu hari nanti, Setiausaha Agung DAP akan hadir di Perhimpunan Agong Umno untuk mendengar Lagu Bersatu, Bersetia, Berkhidmat?
Atau Presiden Umno hadir di Kongres DAP untuk mendengar Lagu Berjuang Untuk Rakyat Malaysia berkumandang?
Umno di-DAP-kan, dan DAP di-Umno-kan.
LU WEI HOONG
Bekas wartawan.
sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.