Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

GRS akan ’ikat’ Umno, PN, kata penganalisis

Loading...

KOTA KINABALU:
Seorang penganalisis politik percaya Umno dan Perikatan Nasional (PN) di Sabah boleh menunjukkan bagaimana mereka dapat bekerjasama di peringkat nasional.

Walaupun berlaku ketegangan antara Umno dan PN, lebih khusus lagi PPBM, Romzi Ationg dari Universiti Malaysia Sabah berkata masih ada masa bagi pakatan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menunjukkan kepada rakan mereka bagaimana kerjasama itu boleh dilakukan.

Selepas pilihan raya negeri, Umno menyerahkan jawatan ketua menteri kepada PN, menyebabkan beberapa pemimpin Umno bersuara. Antaranya timbalan presiden Mohamad Hasan dan bekas ahli majlis kerja tertinggi Nazri Aziz yang menyeru parti itu memutuskan hubungan dengan PPBM.

Romzi memberitahu FMT, “drama” itu boleh dikurangkan jika parti berkenaan mendaftarkan GRS sebagai pakatan rasmi. Katanya, hubungan itu akan tetap terjalin walaupun kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan PN runtuh di peringkat persekutuan.

GRS adalah pakatan tidak rasmi PN, BN dan PBS, yang kini membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Selasa lalu, kurang 3 jam selepas Pengerusi PN Sabah Hajiji Noor menjawat jawatan ketua menteri, beliau mengumumkan Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin menukar kementerian dengan Timbalan Ketua PPBM Sabah Masidi Manjun.

Bung pada awalnya dilantik sebagai menteri perumahan dan kerajaan tempatan tetapi kemudian diberi portfolio menteri kerja raya yang dipegang oleh Masidi.

Ketika ditanya apakah ada perbincangan awal mengenai pembahagian Kabinet dalam kalangan parti, Hajiji mengesahkan ada tetapi perubahan “kecil” disebabkan oleh “kerja tambahan” yang semakin meningkat.

BN mesti hormat Hajiji

Sumber sebelum ini mengatakan Bung tidak senang dengan pembahagian jawatan kepada BN Sabah, yang membantu GRS memperoleh 38 kerusi pada pilihan raya minggu lalu.

Romzi berkata, langkah seterusnya ialah BN bekerjasama dengan Hajiji dan pentadbirannya.

“BN harus menunjukkan rasa hormat kepada Hajiji, dan mereka mesti meningkatkan komunikasi antara pemimpin kedua-dua pihak. Dengan ini, paling tidak, mereka boleh mengelak kerajaan negeri tumbang dengan mudah,” katanya sambil memaklumkan ini juga dapat menunjukkan kepada pemimpin di Semenanjung bagaimana untuk mengurangkan jurang antara Umno dan PPBM di peringkat nasional.

Seorang lagi ahli akademik UMS, Lee Kuok Tiung, percaya pada 1 tahap Umno dan PPBM dapat memberikan contoh bagaimana menjadikan hubungan mereka lebih kuat di Semenanjung.

Beliau berkata, kedua-dua parti boleh menilai mereka sudah menunjukkan persahabatan seperti itu dalam pilihan raya Sabah.

“Apa yang kita lihat pada pilihan raya negeri, PN menggunakan jentera pilihan raya Umno kerana mereka (Umno) mempunyai struktur parti lebih kuat di peringkat cawangan dan bahagian. Sebilangan besar, jika tidak semua, ahli PPBM Sabah berasal daripada Umno (sebelumnya) jadi ada ruang untuk mereka bekerjasama,” katanya kepada FMT.

Namun, katanya hubungan di negeri ini akan dipengaruhi oleh perkembangan politik di Kuala Lumpur.

Lee berkata, ia seharusnya berjalan lancar jika BN dan PN dapat mengelak perkara seperti pertembungan kerusi pada pilihan raya akan datang atau bersetuju untuk menyokong calon tunggal dari mana-mana parti GRS untuk bertanding di setiap kerusi masing-masing.

Pada pilihan raya minggu lalu, berlaku 17 pertembungan kerusi antara BN, PN dan PBS. Bagaimanapun, Umno dan PPBM berjaya mengelak daripada bertanding sesama sendiri di kerusi itu.

#Sumber :  FMT  

   


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt

............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram FacebookEmel kepada MRTwitterRSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Loading...
Back To Top