Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

COVID-19 Malaysia - Kenyataan Terperinci /Akhbar oleh KP Kesihatan Malaysia | 6 Oktober 2020

Loading...

Kenyataan Akhbar KPK 6 Oktober 2020 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia

STATUS TERKINI KES DISAHKAN COVID-19 YANG TELAH PULIH

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 87 kes yang telah pulih COVID-19 pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah 10,427 kes (77.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 6 Oktober 2020 pukul 12:00 tengah hari, KKM ingin memaklumkan bahawa 394 kes telah dikesan daripada Kluster Tembok iaitu di Penjara di Kedah (iaitu meliputi 57.0 peratus daripada jumlah keseluruhan kes) hari ini, 294 kes lain-lain dan 3 kes import. Oleh itu, secara keseluruhannya, 691 kes baharu telah dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 13,504 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 2,936 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Ingin dimaklumkan daripada 691 kes baharu yang dilaporkan, tiga (3) kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan dari luar negara yang melibatkan satu (1) warganegara dan dua (2) bukan warganegara mengembara dari negara:

  • India: Satu (1) kes dilaporkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang merupakan warganegara; dan
  • Mesir: Satu (1) kes dilaporkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang merupakan bukan warganegara.
  • Filipina: Satu (1) kes dilaporkan di Selangor yang merupakan bukan warganegara.

Daripada 688 kes penularan di dalam negara, 661 kes adalah warganegara Malaysia dan 27 kes adalah bukan warganegara. Daripada 688 kes tersebut juga, dimaklumkan sekali lagi bahawa sebanyak 394 kes adalah merupakan kes yang dikesan daripada Kluster Tembok iaitu di Penjara di Kedah (iaitu meliputi 57.0 peratus daripada jumlah keseluruhan kes) hari ini. Kesemua kes positif dalam Kluster Tembok yang merupakan kluster terasing di dalam Kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran dan di dalam penjara. Ini bermakna mereka terasing daripada masyarakat.

Perincian kes penularan COVID-19 dalam negara adalah seperti berikut:

  • Sabah: 219 kes
    • 120 kes saringan bergejala yang melibatkan 117 warganegara dan tiga (3) bukan warganegara;
    • 36 kes saringan komuniti yang melibatkan warganegara;
    • 30 kes daripada Kluster Bangau-Bangau yang melibatkan 10 warganegara dan 20 bukan warganegara;
    • 19 kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Ramai-Ramai yang melibatkan warganegara;
    • Lima (5) kes saringan kontak rapat kes positif COVID-19 yang melibatkan warganegara;
    • Lima (5) kes saringan petugas kesihatan yang melibatkan warganegara; dan
    • Empat (4) kes saringan masuk kerja yang melibatkan warganegara.
  • Kedah: 397 kes 
    • 394 kes daripada Kluster Tembok yang melibatkan 391 warganegara dan tiga (3) bukan warganegara; dan
    • Tiga (3) kes daripada Kluster Bah Sintok yang melibatkan warganegara.
  • Selangor: 38 kes
    • 17 kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) yang melibatkan warganegara;
    • 11 kes daripada Kluster Jalan Meru yang melibatkan warganegara; 
    • Sembilan (9) kes saringan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 yang melibatkan lapan (8) warganegara dan satu (1) bukan warganegara; dan
    • Satu (1) kes daripada Kluster Embun yang melibatkan warganegara.
  • Perak:  Lapan (8) kes 
    • Tujuh (7) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Batu yang melibatkan warganegara; dan
    • Satu (1) saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) yang melibatkan warganegara.
  • Negeri Sembilan: Tujuh (7) kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) yang melibatkan warganegara.
  • Johor: Enam (6) kes
    • Tiga (3) kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) yang melibatkan warganegara; dan
    • Tiga (3) kes daripada Kluster Jalan Meru yang melibatkan warganegara.
  • Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: Empat (4) kes
    • Satu (1) kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) yang melibatkan warganegara;
    • Satu (1) kes daripada Kluster Jalan Meru yang melibatkan warganegara;
    • Satu (1) kes saringan pra pembedahan yang melibatkan warganegara; dan
    • Satu (1) kes saringan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 yang melibatkan warganegara.
  • Sarawak: Tiga (3) kes
    • Satu (1) kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) yang melibatkan warganegara;
    • Satu (1) kes saringan di Pintu Masuk Domestik pulang dari Semenanjung Malaysia yang melibatkan warganegara; dan
    • Satu (1) kes saringan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 yang melibatkan warganegara.
  • Pulau Pinang: Tiga (3) kes
    • Satu (1) kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) yang melibatkan warganegara;
    • Satu (1) kes Severe Acute Respiratory Illness (SARI) yang melibatkan warganegara; dan
    • Satu (1) kes saringan kematian yang melibatkan warganegara.
  • Terengganu: Satu (1) kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) yang melibatkan warganegara.
  • Wilayah Persekutuan Putrajaya: Satu (1) kes daripada Kluster Selasih yang melibatkan warganegara.
  • Wilayah Persekutuan Labuan: Satu (1) kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) yang melibatkan warganegara.

Sehingga kini, terdapat 31 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana lapan (8) kes memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan empat (4) kes kematian berkaitan COVID-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 141 kes (1.04 peratus daripada jumlah keseluruhan kes):

  • Kes kematian ke-138 (iaitu kes ke- 11154) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 60 tahun. Kes telah dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent Sandakan pada 25 September 2020.  Saringan COVID-19 didapati positif pada 26 September 2020. Keadaan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 4 Oktober 2020 jam 6.50 pagi.
  • Kes kematian ke-139 (iaitu kes ke-12431) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 60 tahun. Kes mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Semporna pada 1 September 2020.  Saringan COVID-19 didapati positif pada 30 September 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 4 Oktober 2020 jam 5.05 pagi.
  • Kes kematian ke-140 (iaitu kes ke-12432) merupakan bayi perempuan warganegara Malaysia berumur 1 tahun. Kes dibawa mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Semporna pada 1 Oktober 2020. Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan memerlukan bantuan pernafasan. Saringan COVID-19 didapati positif pada 5 Oktober 2020. Kes disahkan meninggal dunia pada 5 Oktober 2020 jam 4.25 petang.
  • Kes kematian ke-141 (iaitu kes ke-13067) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 85 tahun. Kes mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan penyakit kesihatan mental. Kes ditemui tidak sedar diri pada 5 Oktober 2020, jam 7 pagi dan terus dibawa terus ke Hospital Pulau Pinang. Kes didapati tidak bernafas di Hospital Pulau Pinang dan disahkan meninggal dunia 5 September 2020 jam 7.50 pagi. Saringan COVID-19 dikesan positif.

KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka.

DUA (2) KLUSTER BAHARU DILAPORKAN HARI INI

KKM ingin memaklumkan bahawa terdapat dua (2) kluster baharu telah dikenal pasti pada hari ini iaitu:

  • Perak (1 kluster); dan
  • Sabah (1 kluster).

1) KLUSTER BATU, PERAK

Kluster baharu ini telah dikenal pasti di Taiping, Perak. Kluster ini dikenal pasti hasil saringan di kalangan kakitangan dan ahli keluarga sebuah kem tahanan. Hasil saringan ini mendapati sebanyak tujuh (7) kes dikesan positif COVID-19 pada 5 Oktober 2020 dan mereka semua telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak.

Sehingga 6 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 860 individu telah disaring. Keputusan saringan adalah seperti berikut:

  • Tujuh (7) dikesan positif COVID-19;
  • 182 individu dikesan negatif; dan
  • 671 individu masih menunggu keputusan.

Punca jangkitan masih dalam siasatan.

2) KLUSTER RAMAI-RAMAI, SABAH

Kluster baharu ini telah dikenal pasti di Sandakan, Sabah. Kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-12161) merupakan seorang pemandu bas dan mengalami gejala sakit tekak dan demam bermula 27 September 2020. Kes dikesan positif COVID-19 pada 3 Oktober 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Dutchess of Kent, Sandakan, Sabah untuk rawatan. Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan 19 lagi kes positif COVID-19 dikenal pasti. Semua kes positif ini melibatkan warganegara Malaysia. Mereka juga telah dimasukkan ke Hospital Dutchess of Kent, Sandakan, Sabah untuk rawatan.

Sehingga 6 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 166 individu telah disaring. Keputusan saringan adalah seperti berikut:

  • 20 dikesan positif COVID-19; dan
  • 146 individu masih menunggu keputusan.

Punca jangkitan masih dalam siasatan.

STATUS TERKINI KLUSTER-KLUSTER AKTIF YANG LAIN DENGAN KES POSITIF COVID-19 PADA HARI INI

Selain daripada dua (2) kluster di atas, terdapat tujuh (7) kluster aktif lain yang mempunyai kes positif COVID-19 pada hari ini iaitu:

  1. Kluster Tembok – 394 kes baharu;
  2. Kluster Bangau-Bangau; 30 kes baharu;
  3. Kluster Jalan Meru – 15 kes baharu
  4. Kluster Bah Sintok – 3 kes baharu;
  5. Kluster Benteng PK- 2 kes baharu;
  6. Kluster Selasih- 1 kes baharu;dan
  7. Kluster Embun- 1 kes baharu;

Maklumat lanjut kluster-kluster ini adalah seperti di Lampiran 2.

KESIAPSAGAAN DAN PENINGKATAN KAPASITI HOSPITAL DI MALAYSIA

KKM ingin memaklumkan bahawa sehingga 6 Oktober 2020, jumlah katil yang disediakan bagi merawat pesakit COVID-19 adalah sebanyak 6,759 katil, di mana 2,820 katil di Hospital KKM dan 3,975 katil di Pusat Kuarantin dan Berisiko Rendah. Kadar penggunaan katil bagi kedua-dua fasiliti ini adalah sebanyak 36 peratus dan 29 peratus di seluruh negara. Bagi jumlah katil Unit Rawatan Rapi (ICU) pula, sebanyak 437 buah katil telah dikhususkan bagi pesakit COVID-19 dengan kadar penggunaan sebanyak 6 peratus. Sebanyak 1,505 buah alat mesin pernafasan (ventilator) juga telah disediakan di hospital KKM dengan kadar penggunaan sebanyak 37 peratus bagi seluruh negara. Ini termasuk penggunaan bagi pesakit bukan COVID-19.

Khusus bagi Negeri Sabah pula, terdapat enam (6) hospital berpakar yang merawat pesakit COVID-19 iaitu:

  • Hospital Queen Elizabeth (HQE);
  • Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah (HWKKS);
  • Hospital Tawau;
  • Hospital Lahad Datu;
  • Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan;
  • Hospital Keningau.

Bagi menampung peningkatan kes COVID-19, wad-wad tambahan telah dibuka bagi hospital-hospital ini iaitu;

  • Bagi HQE, Kota Kinabalu – Bangunan Kompleks Sukan Likas;
  • Bagi Hospital Tawau – Bangunan Kompleks Sukan Tawau;
  • Dewan Arena Tawau, Kompleks Penjara Tawau dan Bangunan Institut Latihan KKM (ILKKM);
  • Bagi Hospital Lahad Datu – Dewan Tun Hj Mustapha; dan
  • Bagi HDOK Sandakan – Dewan Rafflesia (ILKKM), PPR Batu Putih.

PPR Bubul Ria juga telah dibuka bagi menempatkan kes-kes COVID-19 di daerah Semporna dan Asrama Sekolah Menengah Agama untuk kes-kes daerah Kunak. Kapasiti katil bagi enam (6) hospital KKM dan sepuluh (10) Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) adalah masing-masing 710 buah katil dan 1,886 buah katil. Sehingga 6 Oktober 2020, kadar penggunaan katil adalah sebanyak 75 peratus di hospital KKM dan 35 peratus di PKRC. Bagi Perkhidmatan Rawatan Rapi pula, Sabah mempunyai 72 katil yang dikhususkan bagi merawat pesakit COVID-19 yang kritikal dan kadar penggunaan adalah sebanyak 38 peratus.

KKM telah dan sedang mengatur pasukan bantuan yang terdiri daripada Pakar Perubatan, Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Perubatan, Jururawat Terlatih untuk membantu petugas kesihatan JKN Sabah mengendalikan wad-wad tambahan ini. Begitu juga, KKM telah menghantar aset perubatan tambahan untuk kegunaan hospital-hospital di Negeri Sabah.

KESIAPSAGAAN DAN PENINGKATAN KAPASITI MAKMAL DI MALAYSIA

Sebagai langkah kesiapsagaan dan peningkatan kapasiti makmal di Malaysia, terdapat 60 makmal di Malaysia yang boleh menjalankan Ujian real-time reverse-transcription polymerase chain reaction (rRT-PCR), iaitu, 18 hospital-hospital di KKM, 1 Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan dan 4 Makmal Kesihatan Awam, 1 Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), 2 buah makmal Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan sebuah makmal Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi(MOSTI) serta 13 Universiti,  dan 20 makmal-makmal swasta.

Secara keseluruhan, jumlah kapasiti ujian harian makmal sampel COVID-19 di seluruh Malaysia adalah sebanyak 41,354 ujian sehari sekarang. Ujian RT-PCR telah mula dilakukan di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dengan kapasiti 300 ujian/sehari dan seterusnya diperluaskan ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (500/sehari) dan Makmal Kesihatan Awam Johor Baru (200/sehari) pada bulan Januari.

Manakala untuk negeri Sabah, jumlah kapasiti ujian harian makmal sampel COVID-19 di seluruh Sabah adalah sebanyak 2,500 ujian sehari.

Untuk pelan jangka masa terdekat, KKM sedang mengusahakan satu makmal modular di Tawau sementera menunggu pembangunan satu makmal molekular yang tetap di Hospital Tawau. GENEXPERT merupakan Point of Care Testing (POCT) untuk menjalankan ujian COVID-19 telah diperolehi oleh Kementerian dan ditempatkan di beberapa hospital di Sabah. Kaset GENEXPERT COVID-19 telah diperolehi oleh Kementerian dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan akan diagihkan kepada Hospital Queen Elizabeth, Hospital Sandakan, Hospital Tawau dan Hospital Labuan dalam masa terdekat.

Setakat 5 Oktober 2020, KKM masih mempunyai RTK-Antigen sebanyak 203,704 ujian, dengan jumlah semasa penggunaan sebanyak 3,000 ujian sehari. Pada hari ini, sebanyak 15,000 RTK-Ag telah selamat dihantar ke Negeri Sabah untuk membantu dalam meningkatkan kapasiti saringan kes di negeri tersebut. Usaha ini adalah kerjasama di antara KKM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Mercy Flight.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM ingin menasihati orang ramai agar terus patuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan. Jadikanlah nasihat-nasihat ini satu kebiasaan baharu dalam kehidupan harian:

  • Elakkan 3S / 3C : iaitu elakkan kawasan yang sesak (Crowded place), elakkan kawasan yang sempit (Confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation).
  • Amalkan 3W : iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), memakai alat pelitup muka (facemask) di tempat awam yang telah diwajibkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) mulai 1 Ogos 2020 atau jika bergejala (Wear), dan (Warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan seperti:
  • Elakkan bersalaman / bersentuhan termasuk melagakan mana-mana bahagian tubuh badan sebagai menggantikan cara kebiasaan bersalam;
    • Amalkan etika batuk dan bersin;
    • Dapatkan rawatan segera jika bergejala;
    • Duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung; 
    • Lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh.

Patuhlah kepada S.O.P sebagai normal baharu iaitu:

  • S : Syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP);
  • O : Orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan;
  • P : Penjarakan fizikal (physical distancing) sekurang-kurangnya 1 meter diamalkan pada setiap masa.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

6 Oktober 2020 @ 5.30 petang.

BILANGAN KES COVID-19 MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA

(SEHINGGA 6 OKTOBER 2020, JAM 12:00 TENGAH HARI)

NEGERI BILANGAN KES BAHARU *(    ) BILANGAN KES KUMULATIF
SABAH 219 2,738
W.P. KUALA LUMPUR 6 (2) 2,707
SELANGOR 39 (1) 2,451
KEDAH 397 1,447
NEGERI SEMBILAN 7 1,062
JOHOR 6 793
SARAWAK 3 721
PAHANG 0 382
PERAK 8 286
MELAKA 0 268
KELANTAN 0 170
PULAU PINANG 3 152
TERENGGANU 1 140
W.P. PUTRAJAYA 1 110
PERLIS 0 38
W.P. LABUAN 1 39
JUMLAH KESELURUHAN 691 (3) 13,504

*(   ) adalah merujuk kepada kes-kes import

Status Terkini Kluster Aktif Yang Mencatat Kes Positif Pada Hari Ini

(6 Oktober 2020)

  Kluster Negeri Daerah Kes Baharu Jumlah Kes Jumlah Yang Disaring Kes Aktif (Kes ICU) Jumlah Sembuh *BWN Jumlah Kematian
1. Tembok Kedah Perak Kota Setar Kamunting Kubang Pasu Pendang 394 1,047 4,945 1,047 (5) 0 70 1
2. Bangau-Bangau Sabah Semporna Tawau 30 429 836 406 (1) 22 80 1
3. Jalan Meru Selangor Johor Kelantan WPKL & Putrajaya Hulu Langat Klang Gombak Petaling Hulu Selangor Kuala Selangor Johor Bharu Kota Bharu Titiwangsa Lembah Pantai Kepong 15 63 451 63 (0) 0 0 0
4. Bah Sintok Kedah Kubang Pasu 3 15 380 15 (0) 0 0 0
5. Benteng PK Selangor Klang Kuala Langat 2 13 153 13 (0) 0 8 0
6. Selasih WPKL & Putrajaya Selangor WP Putrajaya Sepang 1 10 149 10 (0) 0 0 0
7. Embun Selangor Hulu Langat Gombak 1 6 154 6 (0) 0 0 0

*BWN = Bukan Warganegara

Loading...
Back To Top