Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

RCI Tabung Haji usah ditumpu pada isu jual aset saja

Loading...
Oleh Razali Zakaria

Kerajaan bersedia mempertimbangkan cadangan dan kewajaran menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi meneliti pelbagai isu yang dikaitkan dengan Lembaga Tabung Haji (TH).

Demikian dijelaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad, baru-baru ini.

Sudah tentu orang yang wajar dan cakna akan kebajikan pendeposit TH mengalu-alukannya. Cuma harus ditekankan, RCI itu harus luas sifatnya. Biar diadakan bagi menyemak pelbagai isu TH, bukan hanya ditumpukan kepada kes penjualan aset-aset lembaga itu sahaja.

Sekali lagi kita tegaskan, jika kerajaan benar-benar hendak 'membersihkan' TH, RCI berkenaan tidak boleh hanya bertumpu kepada penjualan aset-asetnya oleh kerajaan sebelum ini.

Kita perlu melihat gesaan mengadakan RCI itu bukan hanya melunaskan dendam politik pihak tertentu sebaliknya demi kepentingan umum dan menyeluruh.

Umum percaya, jika siasatan menyeluruh dilakukan terhadap semua transaksi TH sebagaimana disebut oleh Zulkifli itu menjadi kenyataan, ada kemungkinan beberapa isu lain akan terdedah serta memerlukan tindakan drastik untuk memperbetulkannya.

Justeru, salah satu isu yang wajar diberi perhatian - tidak kira sama ada RCI dibentuk atau tidak - ialah berkaitan pelaburan TH dalam syarikat tertentu yang tidak mendatangkan keuntungan. Ia wajar dilakukan demi menjaga nama baik TH sebagai agensi pengurus ibadah haji yang ternama.

Kenapa perlu membangkitkan persoalan mengenai pelaburan TH? Ya! Sudah lama benar TH terbabit dalam sektor pelaburan, khususnya domestik.

Milik semua umat Islam

TH menyatakan tujuan pelaburan ialah bagi menjana pulangan dan keuntungan, hasil daripada memegang ekuiti dalam syarikat tertentu.

Perlu diketahui, benarkah setiap pelaburan yang diluluskan oleh pihak pengurusan atasan TH itu dibuat setelah kajian teliti dilakukan oleh Bahagian Portfolio Ekuiti (Domestik dan Asing) dan Bahagian Portfolio Pendapatan Tetap TH?

Dalam hal ini, ada musykilan muncul - kenapa?

Jawabnya, kerana ada agensi lain seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dikatakan enggan mengeluarkan dana melabur dalam syarikat tertentu, tetapi pada masa sama TH bersedia menyertai syarikat itu.

Perlu diingat, TH milik umat Islam. Segala urusan dan kepentingannya hendaklah mengikut syariah dan mengutamakan umat Islam terlebih dahulu.

Maka, tidak wajarlah sekiranya TH menjadi tempat mana-mana pihak, untuk mendapatkan dana bagi melaksanakan projek syarikat mereka.
Timbul juga persoalan: apakah pelaburan yang disertai TH benar-benar menjana pendapatan, atau pegangan ekuiti dalam sesebuah syarikat yang sentiasa mencatat kerugian itu hanyalah satu tanggungjawab sosial korporat demi kelangsungan politik?

Atau, penyertaan TH dalam syarikat tertentu yang sentiasa tidak mencatat keuntungan itu, dibuat selepas 'dipaksa' pihak tertentu?

Boleh jadi juga Bahagian Portfolio Ekuiti (Domestik dan Asing) dan Bahagian Portfolio Pendapatan Tetap TH gagal membuat penilaian yang tepat, atau broker memberi laporan tidak tepat.

Pada 25 Ogos lalu, TH mengeluarkan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan 2018 yang diaudit. 

Walaupun susut 53 peratus berbanding tahun sebelumnya, laporan itu menyatakan TH meraih keuntungan bersih selepas zakat sebanyak RM1.6 bilion.

Kos subsidi dan dividen

Ini sesuatu yang baik, namun, kita bimbang kepada laporan mengatakan sembilan daripada 13 syarikat - yang pegangan ekuitinya turut dimiliki TH - mencatatkan penurunan harga.

Sebanyak 69 peratus daripada syarikat yang TH menjadi pemegang saham utama mencatatkan penurunan harga bagi tahun ini.

Kita tidak mempertikaikan usaha TH untuk menambah pendapatan menerusi aktiviti pelaburan, sama ada domestik atau luar negara. Tetapi, TH sepatutnya peka terhadap turun naik harga pasaran ekuiti semasa.

Sewajarnyalah TH menilai semula pegangan saham dalam syarikat yang tidak menguntungkan dan tidak dimiliki sepenuhnya oleh orang Islam. Dengan perkataan lebih mudah: jual mana-mana pegangan dalam syarikat yang tidak memberi keuntungan.

Bagaimanapun, memang diakui TH memperoleh pendapatan yang baik menerusi pelaburan dalam beberapa sektor. Hasil daripada pelaburan itu jugalah yang digunakan oleh TH untuk menanggung kos subsidi haji lebih RM306 juta setahun, dan memberi dividen kepada pendeposit.
Ini jelas dinyatakan TH bahawa mereka meraih pendapatan pelaburan sebanyak RM1.55 bilion dalam tempoh separuh pertama tahun ini, disokong pelaburan dalam pasaran sukuk dan saham.

Pelaburan aset pendapatan tetap menyumbang sebanyak RM1 bilion iaitu 65 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan TH bagi tempoh Jan hingga 30 Jun 2020.

Menurut TH, pelaburan hartanah menjana pendapatan RM204.57 juta, manakala pelaburan instrumen pasaran wang Islam menyumbang sebanyak RM187.13 juta dan RM150.27 juta pula daripada pelaburan ekuiti.

"Peningkatan pendapatan ini telah menghasilkan keuntungan bersih sebanyak RM1.25 bilion berbanding RM849.66 juta pada tempoh enam bulan yang sama pada 2019. Jumlah aset TH juga melebihi liabiliti sebanyak RM1.86 bilion pada 30 Jun 2020," kata kenyataan TH.

Sehingga 30 Jun lalu, TH terus mendapat sokongan umat Islam Malaysia sehingga jumlah depositnya mencecah RM73.86 bilion.

Kita masih kabur mengenai syarikat berkenaan, termasuk syarikat usahasama yang membabitkan TH dan gergasi korporat sejak lebih 10 atau 20 tahun lalu.

Bukan penjualan aset saja

Sebagai pendeposit, kita tertanya-tanya berapakah jumlah pelaburan yang dibuat oleh TH? Kita harap TH dapat menyenaraikan dengan lengkap pelaburan yang telah dibuat, termasuk syarikat usahasamanya.

Adakah TH memperoleh untung kekal daripada usahasama itu?

Contohnya pembabitan TH dalam Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) yang diberi konsesi pada 25 Ogos 1997 untuk membiayai, merancang, membina, mengendalikan dan menyelenggara perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit, dan aktiviti sampingan lain yang berkaitan dengan perkhidmatan kereta api selama 30 tahun.

Pemegang saham ERL adalah YTL Corp Bhd, TH, SIPP Rail Sdn Bhd dan Trisilco Equity Sdn Bhd dengan pegangan masing-masing sebanyak 45 peratus, 36 peratus, 10 peratus dan 9 peratus.

The Edge Market pernah melaporkan bahawa ERL menanggung beban hutang berjumlah RM2.8 bilion kepada Bank Pembangunan Malaysia Bhd. Pastinya, ini juga akan memberi kesan kepada TH sebagai pemegang saham utama dalam ERL.

Mengambil contoh pelaburan dalam ERL itu, kita berharap TH dapat memberi penjelasan lengkap terhadap pelaburan yang disertainya dalam pelbagai sektor, sekali gus mampu menjawab persoalan orang ramai, khususnya pendeposit.

Ini kerana, saban tahun pulangan pelaburan TH akan menentukan dividen kepada pendeposit selain dana bagi menampung kos subsidi jemaah haji.

Namun, seperti yang ditegaskan dari awal lagi, jika kerajaan bersetuju menubuhkan RCI, suruhanjaya itu tidak sepatutnya hanya menyiasat penjualan aset sahaja.

Siasatan hendaklah dilakukan secara menyeluruh, termasuk untung rugi di sektor pelaburan dan langkah yang perlu diambil.
Loading...
Back To Top