PETALING JAYA: Penganalisis pertahanan dan dasar luar bingung dengan dakwaan sebuah badan pemikir China yang berkata, pesawat tentera Amerika Syarikat (AS) menggunakan kod transponder untuk menyamar sebagai pesawat dari Malaysia ketika terbang di Laut China Selatan.
Penganalisis kanan di Institut Kajian Strategi dan Antarabangsa (ISIS) Thomas Benjamin Daniel berkata, tidak masuk akal bagi mana-mana pesawat AS untuk membuat penyamaran identiti kerana AS mahu menunjukkan dengan jelas kehadirannya di rantau ini.
Minggu ini, badan pemikir kerajaan China, SCS Probing Initiative berkata, pihaknya mengesan sebuah pesawat USAF menggunakan kod transponder untuk menyamar sebagai pesawat Malaysia secara elektronik ketika mengintip pangkalan tentera China di Laut China Selatan yang menjadi pertikaian.
Katanya, pesawat RC-135W itu mematikan transpondernya sejurus berlepas dari pangkalan udara Kadena di Pulau Okinawa pada pukul 3 pagi, Rabu.
Majalah teknologi, Popular Mechanics, yang memetik badan pemikir itu sebagai berkata, pesawat RC-135W terbang dengan corak lumba antara Pulau Hainan dan Pulau Paracel yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan.
Daniel berkata: “Sekiranya AS mahu membuat penerbangan bagi mengumpul maklumat atau rondaan tanpa menarik perhatiannya, ia lebih daripada sekadar mampu untuk berbuat demikian.
“AS juga mungkin tidak akan menggunakan transponder yang menyiarkan isyarat RC-135W. Ini adalah kawasan mereka diketahui kerap kali beroperasi.
“Penerbangan seperti itu juga boleh dianggap sebagai kebebasan operasi navigasi (FONOP), di mana mereka tidak mempunyai insentif untuk menyamar,” katanya kepada FMT.
Daniel berkata, AS melaksanakan operasi kapal dan udara FONOP yang sangat tinggi untuk dilihat di Laut China Selatan selama bertahun-tahun untuk mencabar perkembangan mereka lihat sebagai tuntutan maritim China yang berlebih-lebihan.
Sementara itu, menurut bekas felo Research for Social Advancement, Lam Choong Wah, AS mahu mengekalkan kehadirannya di Laut China Selatan.
“Dasar AS selalu sangat lantang dan jelas bahawa mereka secara terbuka mahu mempertahankan kedudukan dominan mereka di Pasifik Barat.
“AS berasa tidak selesa sekiranya kedudukan dominannya itu dicabar oleh mana-mana pihak.”
Sekiranya dakwaan laporan itu benar, beliau menyarankan agar kerajaan Malaysia mengemukakan protes terhadap AS dan memulakan siasatan.
Katanya, ia kerana tindakan AS, sekiranya betul, menghina kedaulatan Malaysia.
MR : Hebat juga Malaysia.. Menyamar sebagai Malaysia?
sila subscribe via telegram https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.