Oleh
SEJAK kebelakangan tular kisah ramainya orang berubah hobi kepada berbasikal kerana terdapat perempuan muda dan seksi yang mula menyertai aktiviti itu.
Maka beramai-ramailah kaum adam yang telah dirampas ‘permit’ oleh pasangan masing-masing, kerana khuatir ‘permit’ disalah guna.
Bagi mereka yang sering berkayuh dengan pasangan masing-masing isu ‘permit’ tidak timbul kerana hakikatnya tidak seperti dibayangkan di media sosial.
Terbaharu bila semakin popular dan semakin banyak kedai basikal dibuka, semakin banyak jenama terkenal antarabangsa dibawa masuk dengan harga yang mencecah puluhan ribu ringgit sebuah, ia bukan sahaja menjadi kegilaan golongan ‘bangsawan’, tetapi turut mengundang rasa jengkel orang awam.
Banyaklah isu negatif ditularkan di media sosial, seperti membahayakan pengguna jalan raya lain dan kenderaan penunggang basikal yang diletakkan di pinggir jalan mengganggu kelancaran lalu lintas. Sebahagian besar isu itu ada kebenarannya. Namun masih ramai penunggang basikal tidak menghiraukannya.
Dengan jentera standard antarabangsa dan latihan berterusan pengayuh mampu berkayuh lebih 100 kilometer sehari dan jalan-jalan di taman tidak lagi cukup untuk memuaskan adrenaline atau nafsu. Laluan berbasikal pula menjadi terlalu pendek.
Jadi jalan persekutuan dan lebuh raya menjadi sasaran. Apabila memasuki ranah berkenaan mereka mula melanggar peraturan kerana basikal tidak sepatutnya berada di jalan raya.
Bagaimanapun pihak berkuasa tidak mempunyai kuasa untuk menyaman kerana tiada peruntukan undang-undang. Jadi terdapat ura-ura untuk menggubal undang-undang termasuk mengenakan lesen basikal.
Jika kita menoleh kembali punca aktiviti berbasikal ini menjadi kegilaan adalah kerana galakan kerajaan sendiri. Selain menggalakkan program kayuhan berbasikal, pihak berkuasa tempatan turut menyediakan laluan berbasikal seperti di Putrajaya, Kuala Lumpur dan Shah Alam. Bagaimanapun Pulau Pinang yang paling terkehadapan apabila menyediakan laluan sepanjang 200 kilometer.
Oleh itu kerajaan perlu bijak menangani isu ini kerana selain berbasikal merupakan aktiviti sihat, ia juga menggerakkan ekonomi domestik. Pada masa sama mereka yang berbasikal perlu belajar mematuhi peraturan serta menjaga tingkah laku masing-masing.