Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

2020 PRN Sabah: GRS Garis 9 Aku Janji untuk Rakyat Sabah

Loading...

PRN Sabah: GRS garis 9 aku janji untuk rakyat Sabah
Astro Awani
16 September 2020


KOTA KINABALU: Sembilan aku janji atau tawaran utama dijanjikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membuktikan komitmen semua parti di dalamnya untuk mengangkat taraf hidup rakyat negeri itu, kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, semua tawaran itu yang dibentuk di bawah empat teras manifesto berkenaan seiring fokus utama gabungan berkenaan untuk memulihkan ekonomi rakyat negeri itu yang terjejas akibat COVID-19.

"Sabah seperti di negeri lain masih perlu pembelaan dan sokongan sama ada (kerajaan) negeri mahupun (kerajaan) Persekutuan.

"Maka disebabkan itulah hari ini kita melancarkan aku janji ini, menunjukkan komitmen yang sepenuhnya daripada parti-parti dalam GRS untuk dilaksanakan dalam mengangkat taraf rakyat Sabah ke suatu peringkat yang lebih tinggi, terutama pada waktu pandemik COVID-19 yang masih melanda dunia dan Malaysia.

"Oleh sebab itu, komitmen ini bukan komitmen biasa... ini adalah komitmen luar biasa," katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Aku Janji GRS di Kota Kinabalu pada Rabu.

Muhyiddin yang juga Perdana Menteri, berkata aku janji bertemakan Sayangi Sabah itu mempunyai sembilan tawaran utama termasuk memfokuskan kepada infrastruktur, ekonomi, peluang pekerjaan, perkhidmatan awam, pendidikan dan modal insan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat, keselamatan, belia, serta pembangunan wanita.

Katanya, sembilan tawaran itu selaras empat teras iaitu membabitkan hak Sabah; kepimpinan yang bersih, berintegriti, cekap, amanah, mendahulukan rakyat dan membina keyakinan rakyat terhadap integriti penjawat awam; Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 sebagai tunjang; dan perpaduan rakyat Sabah.

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, usaha menyelesaikan masalah dan membantu rakyat memerlukan hubungan yang baik antara kerajaan negeri dan kerajaan Pusat.

"Sebab itu saya nak nyatakan bukan sahaja membentuk kerajaan negeri (dan) menyelesaikan masalah, tetapi dorongan (hubungan) rapat dan intim antara kerajaan Persekutuan menjadi perkara yang tidak boleh dielakkan," katanya.

Source: Astro Awani

















Loading...
Back To Top