Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

PAS tipu lagi isu air Kelantan, kata pembangkang

Oleh Diyana Ibrahim

PAS menipu rakyat Kelantan sekali lagi dengan janji untuk menyelesaikan isu bekalan air bersih dalam pada tahun depan, kata pembangkang negeri itu.

Ketua Pemuda Amanah negeri itu Hasmi Hassan berkata ini memandangkan PAS melanjutkan tempoh melaksanakan janji itu kepada 10 tahun akan datang walaupun sudah menguasai Putrajaya.

“Rakyat Kelantan kena tipu dengan PAS sebab dalam manifesto PRU14 PAS berjanji nak menyelesaikan masalah air, meningkatkan liputan air bersih kepada rakyat pada tahun 2021.

“Dan sekarang kata rakyat Kelantan akan dapat air bersih pada tahun 2030, lagi 10 tahun lagi jadi nampak gayanya mereka dan banyak tambah tahun dari situ,” katanya

Selain terputus bekalan, terdapat juga rungutan AKSB menaikkan bil air semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, katanya.

Beliau mengulas kenyataan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) yang mensasarkan pengeluaran air bersih meningkat kepada 1,100 juta liter sehari di negeri itu menjelang tahun 2030.

Kenyataan Pengurus Besar AKSB Azuhan Mohamed yang dilaporkan lidah parti PAS, Harakah itu menyebut, projek berkenaan melibatkan kos keseluruhan kira-kira RM2.3 bilion.

Menurutnya projek itu juga meliputi penggantian paip lama dan membina loji rawatan baru bagi meningkatkan kapasiti yang pada masa ini hanya di paras 500 juta liter sehari,

AKSB, sebuah syarikat di bawah Perbadanan Menteri Besar Kelantan, ditugaskan untuk memproses, merawat dan membekalkan air kepada negeri yang diterajui PAS.

Parti itu dalam manifestonya semasa PRU14 berjanji akan meningkatkan liputan air bersih kepada 90% rakyat Kelantan pada tahun 2021 dan menaik taraf rangkaian paip sepanjang 2,900 kilometer.

Ia bagi menangani pelbagai masalah dihadapi rakyat tersebut yang sering terputus bekalan air bersih.
Kegagalan PAS menyediakan air bersih kepada seluruh rakyat di Kelantan juga sering menjadi bahan jenaka pemimpin Barisan Nasional negeri itu.

Ini memandangkan masalah bekalan air berkenaan boleh diselesaikan dalam masa tiga tahun sahaja, menurut pemimpin BN dalam kempen pilihan raya sewaktu kedua-dua parti masih berseteru.

Umno kini menguasai Putrajaya bersama PAS sejak Februari dan ahli Parlimen daripada parti Islam itu pula mengetuai kementerian hal ehwal sumber air.

Mengulas
Loading...
perkara itu, Hasmi mempersoalkan alasan PAS menuntut masa sehingga 10 tahun lagi untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu rakyat berdekad lamanya itu.

“Kita rasa siri penipuan masih diteruskan PAS kerana apa jaminan yang berikan 2030 akan dapat selesaikan masalah air.

“Sudah banyak kali PAS dapat bantuan kerajaan pusat tapi masih lagi tidak selesai sikit pun tidak ada,” katanya.

Hasmi juga yakin kerajaan negeri boleh tumbang di Kelantan kerana isu air yang kini ditadbir menteri PAS Tuan Ibrahim Tuan Man sangat kritikal.

Masalah kritikal itu diakui kementerian hal ehwal air sewaktu dipimpin menteri Pakatan Harapan, Xavier Jayakumar pada September.
Menurut bekas menteri itu Kelantan juga pengguna air bawah tanah terbesar, yang menyumbang lebih daripada 80% penggunaan domestik dan industri di negeri ini.

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia yang meneliti isu tersebut berkata masalah air di Kelantan tidak dapat selesai jika kerajaan negeri terus mengambil air bawah tanah.

Presidennya S Piarapakaran berkata satu-satunya cara menyelesaikan masalah air di Kelantan dengan membina dua empangan baharu.

Katanya, empangan berkenaan boleh berfungsi mengurangkan impak banjir dan pada masa sama menjadi sumber air mentah dan loji perawatan air.

Dengan itu, tidak mustahil Kelantan dapat menyelesaikan masalah air dalam masa 10 tahun, katanya.

“Cuma ia takkan dapat selesai jika kerajaan negeri masih lagi buat pengambilan bawah tanah.

“Malaysia tidak sesuai untuk buat projek pengambilan air bawah tanah besar-besaran, memandangkan situasi banjir, pemendakan selain mengambil kira aktiviti pembalakan yang meluas di negeri itu.

“Selain itu pengambilan air bawah tanah berlakunya kemasukan air laut yang akan menjejaskan kawasan pertanian di persisir pantai. Jadi suka tidak suka empangan harus dibina,” katanya.
Beliau berkata rakyat tidak perlu menunggu sehingga tempoh 10 tahun untuk merasai manfaat dari projek tersebut.

Katanya lima tahun sebenarnya sudah mencukupi bagi rakyat merasai kebaikan projek itu jika dilaksanakan dengan telus.

“Dalam tempoh 10 tahun perlu ada fasa jangka masa pendeknya fasa jangka masa panjang jangan kata 10 tahun baru rakyat dapat rasa.

“Kerajaan negeri sepatutnya kena tunjuk apa perubahan yang berlaku supaya rakyat dapat lihat
“Sepatutnya lima tahun itu kalau dibuat dengan betul sudah boleh nampak manfaatnya. Tapi jika lima tahun masih lagi tidak nampak apa-apa, maksudnya telah salah fokus dalam pelaksanaan projek itu.”

AKSB pada Januari lalu menyebut, separuh bekalannya diperoleh daripada air bawah tanah dan 36 loji rawatan air di Kelantan tidak bergantung sepenuhnya kepada sungai.

Pengurus besarnya Azuhan dilaporkan berkata, air empangan akan berdepan masalah jika tiada hujan atau semasa kemarau.

Beliau memberi contoh, jajahan seperti Kota Bharu bergantung sepenuhnya kepada bekalan air bawah tanah
Loading...
Back To Top