Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Kempen logo hitam tak langgar undang-undang parti

MARZUKI Yahya mempersoalkan keputusan Hamzah Zainudin yang mahu mengambil tindakan terhadap ahli Bersatu menukar warna logo parti versi hitam putih di media sosial.

Tindakan yang dibuat sebagai tanda protes sehingga parti itu kembali ke “landasan asal” juga sebagai tanda sokongan terhadap Dr Mahathir Mohamad.

“Tindakan seperti itu tidak melanggar perlembagaan Bersatu melainkan menjadi tanggungjawab ahli parti untuk menegakkan prinsipnya,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Marzuki yang dipecat sebagai setiausaha agung parti itu beranggapan Hamzah tidak layak mengeluarkan kenyataan tentang kempen ‘blackout’ berkenaan.

“Bagimana Hamzah boleh mempersoal tentang logo dan lambang Bersatu dipermainkan sedangkan beliau sendiri terlibat dalam gerakan mengorbankan prinsip asal penubuhan Bersatu?”

“Logo Bersatu ‘blackout’ merupakan penzahiran serius bantahan ahli-ahli akar umbi dan salah satu usaha ahli-ahli akar umbi Bersatu yang ingin parti terus dipimpin oleh mereka yang kekal berprinsip dan untuk Bersatu kembali kepada matlamat asalnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Hamzah memberi amaran kepada pemimpin dan ahli Bersatu untuk tidak mempermainkan dan mengubah suai logo parti kerana tindakan boleh diambil ke atas mereka.

Beliau berkata logo mana-mana parti yang ditubuhkan adalah satu lambang yang seharusnya dihayati serta dipertahankan setiap ahli, dan bukannya
Loading...
dipermainkan.

Pemimpin dan ahli Bersatu yang menyokong Dr Mahathir Mohamad menukar warna logo parti dari merah kepada hitam putih sebagi tanda protes terhadap arahan parti itu di bawah Presiden Muhyiddin Yassin.

Kempen itu dimulakan pada 16 Jun lalu dan gambar logo berubah warna dimuat naik di laman media sosial.

Antara yang menukar profil mereka di media sosial dengan logo hitam putih ialah timbalan presiden parti Mukhriz Mahathir dan Ketua Bahagian Bersatu Kubang Pasu Amiruddin Hamzah.

Mukhriz Mahathir dan Amiruddin Hamzah bersama Dr Mahathir dan dua ahli Parlimen lain telah dilucutkan keanggotaan mereka kerana duduk bersama pembangkang semasa persidangan Parlimen 18 Mei.

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Ulya Aqamah Husamuddin dan Tariq Ismail juga menukar gambar profil media sosial mereka dengan logo Bersatu versi hitam putih.

Tariq dalam mesejnya di Facebook malam tadi menulis bahawa kempen itu dipersetujui oleh Dr Mahathir.

“Logo Bersatu blackout ini sebagai tanda protes daripada ahli-ahli yang kekal bersatu, berprinsip dan bermaruah sehingga parti dapat dipulihkan kembali ke landas asal perjuangannya,” katanya.

Sementara itu, Ulya yang dihubungi The Malaysian Insight menafikan tanggapan kempen itu tidak mendapat sambutan menyeluruh daripada ahli dan pemimpin Bersatu yang bersama Dr Mahathir.

“Sesetengah mereka tidak menukar gambar profil tetapi berkongsi logo itu di media sosial,” katanya.

“Kalau penyokong Umno pun mula beri komen mengenai kempen ini, maknanya mesej kempen ini sudah didengar,” tambahnya, mengulas reaksi terhadap kempen sejak malam tadi.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, seorang lagi ahli Parlimen yang dikenakan tindakan oleh parti dan sedang mempertikaikan tindakan terhadapnya, adalah antara mereka yang berkongsi logo hitam putih itu di media sosial.

Pada 9 Jun, Dr Mahathir bersama lima lagi pemimpin Bersatu memfailakn saman terhadap Muhyiddin dan tiga yang lain, mendakwa mereka masih ahli parti.

Dalam saman yang turut dikemukan bagi pihak Bersatu, mereka meminta mahkamah mengisytiharkan Muhyiddin bukan lagi ahli Bersatu.

Perdana menteri kemudian memohon untuk batalkan saman berkenaan
Loading...
Back To Top