Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Tamatkan sengketa, usah saling mengguris perasaan

Loading...
Oleh ZAKARIA MUSA

Antara punca utama kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan akhir Februari lalu adalah kegagalan menangani proses dan polemik peralihan kuasa perdana menteri daripada Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim.

Ia juga berkait rapat dengan konflik dalaman PKR yang membarah di antara kem presiden, Anwar dan timbalan presiden, Azmin Ali. Ditambah buruk lagi, persaingan semakin tajam sesama komponen PH, terutama Bersatu dan PKR, selain dakwaan DAP menjadi punca kerajaan tidak popular dalam kalangan masyarakat Melayu.

Saya hanya ingin fokuskan kepada masalah berlanjutan penyokong Mahathir-Anwar, sehingga boleh diambil kesempatan oleh pihak opurtunis bagi membentuk kerajaan pintu belakang walaupun PH memperolehi majoriti selesa hampir 140 kerusi Parlimen.

Krisis tidak bermula pada malam Jumaat 21 Februari itu, apabila mesyuarat Majlis Presiden PH dikatakan agak panas membincangkan tarikh spesifik Mahathir menyerahkan kuasa kepada Anwar. Walaupun resolusi dicapai menghampiri tengah malam, menyerahkan sepenuhnya kepada Mahathir, namun Azmin dan tanpa disedari Muhyiddin Yassin, telah menyiapkan perancangan licik mereka lebih awal lagi.

Sejarah pengkhianatan telah terakam. Mandat rakyat dalam PRU14 dinodai. Ada pihak menyalahkan Mahathir yang dilihat silap strategi meletakkan jawatan perdana menteri, manakala tidak kurang juga merasakan Majlis Presiden tersalah jangka mencalonkan Anwar selepas Mahathir tidak hadir mesyuarat.

Mulanya undi Mahathir dan Anwar berpecah dan gagal memperolehi majoriti di kala Umno-Pas menarik sokongan kepada Mahathir. Selepas PH bersetuju mencadangkan nama Mahathir, kumpulan bertentangan, iaitu Umno-Pas bersama geng Azmin dan Bersatu-Muhyiddin sudah berpakat, disokong Gabungan Parti Sarawak. Agong seterusnya mengumumkan Muhyiddin sebagai perdana menteri kelapan, meskipun Mahathir mendakwa mempunyai majoriti dengan 114 sokongan ahli Parlimen.

PH yang menang dalam PRU14 kini berada dalam blok pembangkang. Begitu juga dengan Mahathir dan sebilangan kecil ahli Parlimen Bersatu, sekitar lima orang sahaja. Lebih kurang 30 MP Bersatu yang lain berada dalam kem perdana menteri, Muhyiddin. Beberapa negeri tumbang kepada Umno, seperti Johor, Melaka dan Perak. Kedah diramalkan akan jatuh juga.

Program ceramah penerangan sudah digerakkan. Meskipun agak terbantut dengan penularan Covid-19, sambutan orang ramai menggalakkan. Siaran FB live juga ditonton ribuan khalayak.
Namun, masih banyak teka-teki dan persoalan berbangkit. Peranan dan aksi Dr Mahathir sering disalah-tanggap. Jika persepsi itu tidak ditangani secara bijaksana dan berhemah, PH mungkin diasak serangan dalaman yang merugikan.

Beberapa kenyataan terbuka Dr Mahathir selepas kerajaan PH tumbang menyentuh secara langsung perihal politik Anwar. Diungkitnya pendekatan “politik liberal” Anwar dan kemerosotan pengaruh presiden PKR itu di kalangan orang Melayu. Dr Mahathir juga sering mengulangi kekecewaaanya apabila PH mencalonkan Anwar sebagai perdana menteri, menyebabkan kedua-duanya tidak mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen dan memungkinkan Muhyiddin mengambil kesempatan.

Sementara itu, tinjauan rambang mendapati ramai penyokong PH akar umbi meletakkan punca kerajaan tumbang bermula dengan kesilapan Dr Mahathir meletakkan jawatan tanpa berunding dengan rakan-rakan pemimpin utama PKR, DAP dan AMANAH. Sewajarnya tindakan drastik itu diputuskan selepas berbincang dan mendengar pandangan menteri-menteri kanan dalam Kabinetnya, kerana ia mempunyai implikasi besar, termasuk terhadap kerajaan-kerajaan negeri.

“Justeru, aksi Mahathir yang mengejutkan itu menimbul spekulasi dan salah faham. Ada berpendapat ia hanya drama atau helah Mahathir untuk gagalkan proses peralihan kuasa kepada Anwar. Banyak lagi andaian negatif yang boleh menggoncang kesatuan PH. Hasilnya ramai penyokong lebih bersedia untuk melihat PH berjuang khususnya berdepan PRU15 tanpa Mahathir,” kata seorang penganalisis politik.

Seorang pemimpin kanan AMANAH dalam ceramahnya meluahkan rasa kecewa: “Kerajaan PH tumbang akibat perselisihan faham antara kita. Selepas kehilangan kuasa, kita nampaknya terus berbalah. Senanglah kerajaan pintu belakang pertahan kuasa mereka itu. Mereka pasti suka melihat kita sesama kita terus saling menyalahkan.”

Memang diakui tidak mudah memposisikan Dr Mahathir dan Anwar dalam satu pasukan yang mantap dan tersusun, sama ada bagi menghadapi kemungkinan membawa usul tidak percaya kepada perdana menteri di Parlimen, Mei ini, ataupun menggerakkan jentera pilihan raya sebagai persiapan PRU15. Namun, dengan terus melemparkan kenyataan yang menyinggung atau mengguris hati pihak lain umpama menembak kaki sendiri.

Ketika majoriti rakyat begitu marahkan komplot pengkhianatan Muhyiddin-Azmin, manakala ramai pemimpin Umno tidak puas hati dan rasa diperdaya dengan pembentukan Kabinet yang terlalu menguntungkan Bersatu, apakah cerdik untuk blok pembangkang masih diheret pertikaian berpanjangan Mahathir-Anwar? Dibimbangi rakyat akan berasa bosan, muak dan mungkin mengambil sikap tidak peduli lagi dengan politik tanahair. Lebih risau jika mereka mencemuk balik PH: “Patutlah kerajaan boleh digulingkan, sesama sendiri tiada henti bergaduh, dah diberi kuasa tak pandai menjaganya.”

Saya tertarik dengan pesanan seorang aktivis Armada Bersatu, Ustaz Abu Hafiz Salleh Hudin, respons terhadap ‘perbalahan’ terbuka ini: “Sekiranya untuk membentuk gabungan pembangkang secara bersama, sama ada bagi tujuan mendapatkan majoriti undi tidak percaya mahupun PRU mengejut, adalah tidak sepatutnya kenyataan mengecam pihak rakan gabungan yang ingin berjuang bersama.

“Kepada pihak yang menasihati atau bersama Ayahanda Tun Mahathir dan Dato’ Seri Anwar, bantulah untuk tenangkan keadaan. Elakkan untuk apa-apa kenyataan yang menambahkan lagi masalah dan kemarahan pihak lain.

“Kecaman dan jawab menjawab pada waktu ini sangat tidak membantu apatahlagi media hanya menunggu kenyataan panas bagi membuat tajuk berita yang lebih menarik.”

Pastinya lebih ramai senada dengan Abu Hafiz. Mandat rakyat harus dikembalikan. Syarat utamanya pemimpin PH dan Bersatu- Mahathir harus membina segera persefahaman lebih kental dan ikhlas.
Negara mesti diselamatkan daripada permainan kotor elit politik memperdagangkan undi rakyat sebagai komoditi berharga demi tembolok masing-masing.
Loading...
Back To Top