Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Utama kesejahteraan rakyat

Loading...

USAI mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada Jumaat lalu dilihat memberi ketenangan kepada riak-riak ketegangan yang timbul sebelum itu mengenai tempoh peralihan kuasa Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dr Mahathir dalam sidang media selepas mesyuarat berkenaan memberi kenyataan yang jelas bahawa Majlis Presiden Pakatan Harapan memberi sepenuh kepercayaan kepadanya untuk terus memimpin negara.

Ahad yang sepatutnya menjadi hujung minggu yang tenang tiba-tiba bergegar, bergoncang dan menaikkan kembali suhu politik negara ke paras tertinggi dalam masa yang singkat apabila timbul gerakan untuk menubuhkan pakatan baharu untuk menakhoda negara sebagai kerajaan Persekutuan. Pengamal media ibarat lipas kudung ke sana ke sini membuat liputan untuk mendapatkan berita yang pasti apa sedang terjadi dan rakyat pula menanti apa yang akan terjadi.

Masakan pokok bergoyang jika tiada yang menggoncangnya, dek kerana itulah perhatian rakyat dan penganalis politik melihat pasti ada sesuatu akan berlaku apabila lima perjumpaan melibatkan parti politik berlaku serentak pada hari yang sama di Kuala Lumpur, disusuli dengan rombongan beberapa pimpinan parti politik ke Istana Negara pada petangnya dan diakhiri dengan sesi makan malam bersama secara tertutup di sebuah hotel ternama.

Dengan meletakkan ke tepi dahulu soal peralihan jawatan Perdana Menteri dan persepsi kononnya Pakatan Harapan tidak sebagus kerajaan terdahulu dalam mengemudi negara, senario semasa menjadikan rakyat sebagai pengundi yang turut bersama-sama membentuk Malaysia Baru pada Mei 2018 terpinga-pinga dan tertanya-tanya, “Apa sudah jadi kepada Yang Berhormat kita?”

Sejak PRU14, suhu politik negara sentiasa ada turun naiknya hingga mula timbul cakap-cakap belakang kerajaan yang dibentuk Pakatan Harapan ini sebuah kerajaan yang lemah, tidak stabil, flip flop dalam membuat dasar mahupun keputusan penting. Ia ditambah pula tidak dapat memenuhi segala Janji 100 Hari secara konkrit sedangkan itu yang menjadi ‘umpan keramat’ mereka semasa berkempen dahulu.

Dengan apa yang berlaku kini, politik negara sekali lagi berada dalam ketidaktentuan dan ia pastinya memberi kesan kepada ekonomi negara secara tidak langsung. Ketika negara sedang merangka pakej rangsangan ekonomi untuk mengharungi dugaan Covid-19, tidak dijangka-jangka usaha untuk menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang dimunculkan kepada rakyat secara nyata, bukan lagi berselindung hingga ada yang menggelarkan gerakan ini sebagai ‘Langkah Sheraton’.

Gunting dalam lipatan, tikam belakang, pengkhianat dan seumpamanya diungkapkan dan dilaungkan oleh pihak yang cukup kecewa dengan gerakan ini kerana dilihat membelakangkan mandat dan kepercayaan rakyat. Bagi mereka, gerakan menubuhkan kerajaan ‘pintu belakang’ tidak wajar berlaku pada waktu ini kerana mandat yang diberikan oleh rakyat semasa PRU14 lalu adalah kepada pakatan sedia ada. Sekiranya tiada kepercayaan lagi kepada Pakatan Harapan menerajui negara, biarlah jawapan sahihnya ‘berpatah arang berkerat rotan’ itu dibuktikan melalui peti undi dalam PRU15 kelak sebagaimana rakyat tunjukkan kepada Barisan Nasional pada PRU14 lalu.

Bagi yang menyokong gerakan ini, mereka punya alasan dan jawapan tersendiri untuk membenarkan mengapa langkah ini perlu diambil awal, segera dan tidak perlu menunggu sehingga PRU15. Penulis sebagai rakyat biasa pun pening melihat gelagat ahli politik kita yang tidak henti-henti berpolitik sepanjang masa kerana rakyat sentiasa memerhati dan menilai ‘bila kerja mahu jalan jika politik siang dan malam’. Rakyat melihat ekonomi negara masih belum pulih, kos sara hidup pula makin meningkat, peluang pekerjaan masih kecil, pengangguran masih tinggi dan pelbagai lagi isu fundamental rakyat belum lagi ditangani dengan sempurna.

Walau apa yang terjadi dalam sedikit masa ini dalam senario politik negara, apabila segala kekusutan sudah terungkai dan terlerai, wajiblah semua pihak khususnya ahli politik bermuhasabah dan fokus sepenuhnya kepada agenda kesejahteraan dan perpaduan rakyat.

Mohd Zaini Othman
Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik USIM
Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Pragmatis USIM.


Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram
https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt





............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
mindarakyat@gmail.com

Whatsapp Telegram FacebookEmel kepada MRTwitterRSS
©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.


Loading...
Back To Top