Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Peter akan saman portal kerana sebar fitnah

Loading...
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony, akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah portal tempatan, kerana dipercayai menyebarkan fitnah.

Beliau berkata pihaknya sudah membuat laporan polis terhadap portal itu kerana tohmahan serta fitnah berhubung penganugerahan kontrak daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah selain mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, mengambil tindakan.

Katanya, kerajaan negeri sekarang sentiasa terbuka dan menerima apa saja kritikan daripada mana-mana pihak, namun biarlah kritikan membina dan bukannya menuduh secara melulu.

“Saya selaku menteri secara peribadi akan menyaman portal itu, kerana menuduh kita menyalahgunakan kuasa. Mereka juga tahu pada peringkat kementerian, kita tidak ada kuasa melantik secara rundingan terus kepada kontraktor, tidak pernah.

“Tetapi, peringkat Kementerian Kewangan boleh dan sudah lama diamalkan, bertahun-tahun sejak kerajaan Sabah ditubuhkan,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas perkara itu semalam.

Sebelum ini, sebuah portal tempatan melaporkan Peter terbabit dalam pemberian kontrak daripada JKR Sabah bernilai RM1.5 bilion tanpa tender.

Peter berkata laporan portal itu dilihat cuba melontarkan tuduhan tidak berasas sedangkan kementeriannya tidak terbabit dalam rundingan secara terus dengan mana-mana kontraktor di Sabah.

Beliau berkata konsesi dinyatakan dalam portal terbabit adalah konsesi diselaraskan semula, yang mana, konsesi itu dimiliki oleh sebuah syarikat yang diberikan kontrak, oleh kerajaan negeri terdahulu.

Bagaimanapun, hasil tinjauan kementeriannya mendapati kualiti kerja konsesi itu kurang memuaskan dan pihaknya mencadangkan skop kerja dikecilkan serta diselaraskan semula, bagi memberi peluang kepada kontraktor lain yang memenuhi piawaian ditetapkan.

“Konsesi ini mempunyai kontrak selama 15 tahun dan ditambah lagi 15 tahun oleh kerajaan terdahulu, tetapi, mereka tidak menjalankan kerja dengan berkualiti dan tidak bertanggungjawab.

“Justeru, bagi memperbaiki mutu dan kualiti kerja di seluruh daerah, kita di peringkat kementerian mencadangkan kontraktor Bumiputera yang lain diberikan peluang, (dan sekiranya) mereka juga tidak membuat kerja dengan baik, kita akan buang dan gantikan dengan kontraktor baharu,” katanya. - BERNAMA
Loading...
Back To Top