Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Majlis Presiden PH disaran tetapkan tarikh peralihan kuasa

Loading...
Oleh MIHD ALI HASHIM

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) harus meletakkan satu tarikh tetap bagi merealitikan peralihan kuasa yang akan berlaku antara Tun Dr Mahathir Mohamad  dan Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas persidangan kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasiifik (APEC) 2020 pada November ini, kata Pengarah Komunikasi AMANAH Negeri Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria.

Beliau berkata, Majlis Presiden PH perlu merenung kembali dua sejarah sebelum ini membabitkan isu kepimpinan sebagai pengajaran kepada semua pihak.

“Orang politik yang kental, lagi ditekan, digasak, dilawan maka ia akan bangkit melawan dan ini merupakan perkara biasa dan lumrah dalam politik.

“Sejarah telah memperlihatkan pada tahun 1998, orang-orang Tun Mahathir nampak beliau ditekan, digasak dan mereka bangkit dengan kuasa yang ada.

“Pengajaran yang harus diambil ialah lebih baik diadakan rundingan secara ‘win-win situation’ dan yang penting ialah tiada yang kalah menjadi abu, ” tegas beliau.



Dalam pada itu katanya, mereka yang telah banyak berjasa tidak harus disiakan-siakan, sebaliknya ruang harus diberikan dengan layanan yang baik.

Sejajar dengan itu ujar beliau, sejarah 2003 juga tidak harus dilupakan kerana ia merupakan sejarah yang telah terpahat dan tidak boleh dipadam oleh siapa sahaja.

“Pada tahun tersebut, orang-orang Pak Lah nampak mensia-siakan bekas Perdana Menteri yang berundur secara terhormat dan juga adanya tertib dalam peralihan kuasa yang baik.

“Pengajaran yang boleh diperolehi ialah hormati dan layan dengan sebaik mungkin bekas pemimpin dan mereka tidak harus disia-siakan.

“Kedua-dua sejarah melibatkan Mahathir dan Pak Lah ini seharusnya menjadi pengajaran yang amat mahal bagi solusi politik kepimpinan negara tatkala ini, ” tambah beliau.

Sehubungan itu kata Dr Zaidi lagi, Anwar telah pun memberi kenyataan yang jelas sehingga persidangan APEC 2020 yang akan datang.

Manakala itu jelas beliau, Mahathir turut memberi kenyataan yang amat jelas berkali-kali bahawa ia akan berundur selepas persidangan APEC 2020 nanti.

Dijangka Majlis Presiden Pakatan Harapan akan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan isu peralihan kuasa Perdana Menteri dan Presiden PH itu pada 21 Februari ini.
Loading...
Back To Top