Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Kenapa baru sekarang, isteri pramugara MH370 persoal dakwaan ‘bunuh beramai-ramai’ Abbott

Loading...
PETALING JAYA: Isteri pramugara MH370 yang hilang 6 tahun lalu menyelar bekas perdana menteri Australia Tony Abbott yang mendakwa juruterbang pesawat itu melakukan pembunuhan beramai-ramai.

Jacquita Gonzales turut mempersoalkan motif Abbott membuat dakwaan itu sekarang.
Abbott dilaporkan memberitahu dokumentari Sky News bahawa pegawai “berpangkat tertinggi” Malaysia memberitahunya juruterbang pesawat MH370 mungkin melakukan pembunuhan beramai-ramai.

Penerbangan Malaysia Airlines yang dalam perjalanan ke Beijing dengan membawa 239 penumpang dan kru – termasuk suaminya Gonzales Patrick Gomes – hilang kira-kira 40 minit selepas meninggalkan Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014.
Kehilangan pesawat itu dianggap satu daripada misteri terbesar penerbangan, serta ia berakhir dengan misi mencari dan menyelamat paling lama serta mahal dalam sejarah.

Timbul beberapa teori konspirasi berhubung kehilangan MH370, termasuk juruterbang kanannya yang berusia 53 tahun, Zaharie Ahmad Shah sengaja melencongkan pesawat itu daripada laluan biasa selepas kata-kata terakhirnya “Selamat malam. Malaysian 3-7-0” sebelum pesawat itu hilang daripada radar pada 1.21 pagi.

Teori “juruterbang jahat” bagaimanapun ditepis rakan Zaharie dan juruterbang lain.

Bagaimanapun, Gonzales sangat berang dengan Abbott kerana tidak mendedahkan perkara itu sebelum ini, dengan alasan ia boleh membawa kepada siasatan lanjut.

“Siapa yang bertanggungjawab yang kita akan ambil tindakan? Dia ada peluang untuk menyiasat perkara ini ketika dia menjadi perdana menteri, tetapi dia tidak mengambil peluang itu.

“Saya harap dia boleh katakannya lebih awal. Ia sangat mengecewakan dan ia tidak adil apabila dia mengatakannya sekarang,” katanya

Gonzales menambah jika Abbott mendedahkan perkara itu lebih awal, keluarga terdekat tidak perlu menanggung kesakitan yang mereka alami setiap kali ulang tahun pesawat itu hilang.

Beliau juga berkata pendedahan Abbott, 6 tahun selepas insiden itu, menjadikannya sangat sukar untuk dipercayai, terutama kerana tidak ada bukti untuk menyokongnya.

“Saya tidak tahu apa nak dikatakan, dengan satu pihak berkata begitu dan pihak lain berkata begini, sangat sukar untuk diterima (apa yang dikatakan Abbott).”

Beliau juga berkata ucapan Abbott memberi gambaran bahawa pegawai kerajaan berpangkat tinggi bersubahat sesama mereka memberikan “maklumat palsu” kepada waris mangsa.

“Sekiranya ia benar-benar dilakukan oleh juruterbang, kenapa mereka tampil dan katakannya? Adakah mereka takut untuk menyakiti kami?”
Loading...
Back To Top