Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

China hargai sumbangan 'rakan' bantu perangi wabak

Loading...
Oleh Bai Tian

Dalam jangka masa dua minggu lalu, saya sentiasa bimbang dengan keadaan wabak coronavirus (2019-nCOV) di tanah air saya.

Ketika ini, 1.4 bilion rakyat bersama-sama memerangi wabak ini di China. Ahli perubatan seluruh negara berkumpul di Hubei untuk menyediakan bantuan dan menawarkan rawatan, siang dan malam.

Rakyat berganding bahu mengambil langkah ketat mencegah penyebaran virus.

Seluruh masyarakat bekerja bersama melawan wabak dan setiap hari kami mendengar cerita keberanian orang biasa yang menitiskan air mata.

Di sebalik setiap cerita ini, adalah semangat patriotisme, keprihatinan serta tanggungjawab setiap rakyat China terhadap tanah air. Tanpa usaha, sokongan dan kerjasama rakyat, kemungkinan besar wabak di China lebih teruk.

Usaha mengawal wabak terbukti mula berkesan. Selain Hubei, kadar pertambahan kes disahkan dan kes disyaki di wilayah lain semakin perlahan selama empat hari berturut-turut, walaupun jumlahnya masih tinggi. Jumlah kes sembuh terus meningkat kepada lebih 1,000 pesakit.

Ini menunjukkan kesan positif. Oleh sebab kerjasama dan usaha kerajaan China berkongsi maklumat dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan negara lain, 99 peratus daripada lebih 30,000 kes positif di seluruh dunia berlaku di China. Kurang satu peratus berlaku di luar China.

Ini usaha kerajaan China mengambil tindakan serius mengawal penyebaran wabak dan rakyat China melakukan langkah kuarantin sendiri yang paling ketat. Usaha China dipuji tinggi WHO dan masyarakat antarabangsa. Menurut Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom, China menjadi model kepada seluruh dunia dalam menangani wabak ini.

Hari ini, rakyat China mengambil langkah kuarantin sendiri kerana itu cara paling efektif menghalang penyebaran virus. Ini sudah tentu mengehadkan kebebasan pergerakan peribadi, menyebabkan kemerosotan aktiviti perdagangan dan ekonomi. Bagaimanapun, kerajaan dan rakyat China berjaya membuktikan kepada dunia bahawa demi kesihatan dan keselamatan rakyat, kami boleh!

China melakukan usaha bukan hanya untuk dirinya, sebaliknya untuk seluruh dunia. Dalam era globalisasi, virus boleh merebak dalam jangka masa agak singkat ke seluruh dunia. Oleh itu, satu-satunya cara untuk menghentikan penyebaran virus adalah dengan memusnahkannya di dalam negara secepat mungkin.

Sejak berlaku wabak, kerajaan China mengambil segala langkah, termasuk berkongsi maklumat urutan genom (genome sequence) coronavirus dengan WHO dan negara lain dalam minggu pertama wabak diketahui serta membatalkan semua kumpulan perjalanan keluar.

Antara langkah drastik diambil perintah sekatan pengangkutan di berpuluh bandar termasuk Wuhan. Kami amalkan falsafah ‘pengorbanan untuk yang lebih baik’ dalam kebudayaan dan kepercayaan China yang diwarisi turun-temurun.

Semangat ini akan terus menggalakkan kerajaan dan rakyat China mencapai kemenangan dalam perjuangan memerangi wabak ini.

Sokongan dan bantuan rakan seluruh dunia juga memberi keyakinan bahawa kami mampu memenangi peperangan ini. Sehingga 5 Februari, 21 negara dan organisasi antarabangsa termasuk Malaysia, menyumbang sejumlah besar bekalan perubatan kepada China.

Ramai kawan dari seluruh dunia juga aktif memberi sokongan tidak ternilai kepada China. Dengan ini, kerajaan dan rakyat China berasa bukan hanya kami sahaja yang berjuang dalam peperangan melawan wabak ini!

Saya amat terharu keprihatinan dan sokongan kerajaan dan rakyat Malaysia. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menyatakan bahawa jika China memerlukan bekalan, Malaysia sudi menyediakannya, termasuk makanan, topeng muka dan sarung tangan ke kawasan wabak seperti wilayah Hubei.

Dua minggu lalu, saya hadiri majlis penyerahan sumbangan 18 juta sarung tangan perubatan dari Malaysia kepada Wuhan bersama Menteri Industri Utama, Teresa Kok. Rakan Malaysia menghantar video memberikan galakan untuk Wuhan. Saya ajukan video itu kepada rakan di China supaya lebih ramai dapat melihat rakyat Malaysia berdiri teguh bersama kami dalam masa sukar ini.

Antara video itu, daripada organisasi pelancongan seperti Malaysian Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA), Malaysia Inbound Chinese Association (MICA) dan sebagainya.

Walaupun industri pelancongan Malaysia menanggung kerugian akibat wabak ini, mereka tidak menyalahkan China, sebaliknya memberi galakan untuk China dan Wuhan.

Rakan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia giat mengumpul penajaan dan bekalan untuk China.

Derma boleh dinilai, manakala persahabatan tidak. Waktu sukar mendedahkan erti sahabat sejati. Setiap sokongan dan bantuan diberi rakyat Malaysia menunjukkan anda bersama kami dalam mengharungi detik sukar ini.

Dengan penuh ikhlas, saya merakamkan ribuan penghargaan kepada semua rakan Malaysia yang prihatin dan memberi sokongan kepada China dalam melawan wabak ini. Terima kasih atas sokongan tidak ternilai pada saat ini. Terima kasih, Malaysia!

Penulis adalah Duta Besar China ke Malaysia
Loading...
Back To Top