Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Bina naratif nasional melalui media sosial

Oleh Mohd Ayop Abd Razid

PENYEBARAN maklumat pada abad ini pantas tanpa sempadan geografi dan waktu. Abad dikenali ‘langit terbuka’ ini menyediakan ‘lebuh raya maya’ yang berupaya melambakkan segala macam bahan berita dan informasi, daripada bersifat teks hingga bentuk visual pelbagai ragam dan rencam.

Internet menjadi salurannya dan media sosial pula menjadi wadah utama menyampaikan segala yang berlaku dalam kehidupan hari ini.

Hakikatnya, pengaruh media baharu merancak dan melambakkan sebaran berita atau maklumat berkaitan aktiviti sosio-politik ekonomi manusia hari ini. Segala perkara disebarkan secara pantas dan meluas, hinggakan ada berita tular walaupun kesahihannya belum dipastikan.

Dalam konteks inilah kita melihat media sosial mampu menjadi wadah penting dalam membina sebuah naratif nasional yang berkesan jika digunakan dengan betul dan bertanggungjawab.

Melalui media sosial segala bentuk idea dan pemikiran mampu mempengaruhi corak pandangan, gaya hidup serta norma dan budaya masyarakat atau bangsa. Namun, pemikiran yang pelbagai memerlukan kematangan berfikir serta keupayaan menapis perkara yang baik dan buruk. Benar atau palsunya sesuatu maklumat itu mesti ditapis berhati-hati.

Kita harus akui dalam konteks masyarakat bersifat ‘pluralistik’, penggunaan media sosial dalam kalangan rakyat belum cukup matang. Buktinya masih banyak isu sensitif (agama dan perkauman) bermain di ruang media sosial kita.

Tambah buruk isu sensitif itu dipolitikkan atau dijadikan alat propaganda politik tanpa mempedulikan kesan buruknya terhadap masyarakat dan negara. Sifat penggunaan media sosial yang kurang matang ini menggambarkan proses sosialisasi politik masyarakat kita belum mencapai kematangan.

Antara punca ketidakmatangan ialah sikap, sentimen dan pemikiran penggunaannya yang berbeza, menampakkan bahawa kebertanggungjawaban terhadap membina naratif nasional masih rendah.

Wujudnya corak pemikiran dan perbezaan sifat itu memberi kesan kepada sikap dan hubungan sosial antara kaum. Sentimen kaum dan agama yang masih menebal, kuat mempengaruhi sikap pengguna media sosial kita. Sikap negatif ini boleh menjejaskan peranan media sosial dalam membina naratif nasional yang berkesan.

Pada era globalisasi ini wujud pengaruh nilai asing yang bercanggah dengan kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Contohnya, nilai liberalisme diperjuangkan segelintir warganegara kita melalui media sosial, menimbulkan banyak kekeliruan nilai dalam masyarakat,
Loading...
terutamanya generasi muda.

Yang jelas, isu media sosial digunakan sebagai saluran menyebar pemikiran asing yang bercanggah dengan kehendak naratif nasional menjadi cabaran kepada usaha pengukuhan negara bangsa Malaysia.

Kita harus sedar dalam pentas demokrasi yang memberikan kebebasan bersuara, sikap dan kecenderungan memanipulasi isu agama dan kaum secara tidak terkawal boleh menjejaskan kestabilan dan keharmonian masyarakat.

Justeru, kawalan dan tindakan tegas ke atas setiap kandungan diterbitkan di media sosial yang melampaui batas sehingga boleh mencetuskan provokasi antara kaum dan agama, perlu dikenakan tindakan tegas. Semua pihak mesti mengamalkan sikap bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial.

Gunakanlah kebebasan bersuara di media sosial secara bijak. Sebarkan kebaikan, luahkan pandangan atau kritikan secara konstruktif atau membina.

Pemimpin politik, termasuk pimpinan kerajaan juga harus bertanggungjawab dalam perkara ini. Pemimpin kerajaan harus bersuara selari dengan Perlembagaan dan ideologi negara (Rukun Negara), bukannya menjadi pencetus huru hara dalam masyarakat.

Suara pemimpin kerajaan jangan sampai menjadikan rakyat keliru dan ‘kebingungan’ kerana sikap hipokrit diamalkan. Jangan sampai rakyat mempersoalkan ini suara kerajaan atau suara golongan antinasional.

Parti komponen dalam kerajaan jangan bertindak atas agenda kepartian masing-masing, sebaliknya sebagai sebuah kerajaan yang mendukung prinsip Perlembagaan negara yang terkandung semangat kontrak sosial dan tidak terbabas daripada ideologi nasional (Rukun Negara).

Kewujudan portal berita dalam talian juga harus memiliki sifat bertanggungjawab. Portal berita harus memainkan peranan penting dalam membina masyarakat dan negara. Portal berita harus menyalurkan berita, laporan dan maklumat bersandarkan fakta, bukannya ‘auta’ atau propaganda murahan.

Ia harus berupaya membetulkan kepincangan dalam masyarakat, malah kepincangan pemimpin atau kerajaan sekalipun. Berita, laporan dan artikel dipaparkan seharusnya meninggalkan impak signifikan kepada pembaca bersandarkan fakta yang sahih dan berupaya membentuk aspirasi nasional dalam pemikiran dan jiwa rakyat.

Kita tidak begitu bimbang dengan portal berita diwujudkan media cetak utama atau mainstream di negara ini kerana ia sudah memiliki sifat berimbang, bebas dan profesional dalam pemberitaan. Yang kita bimbang portal berita yang wujud tanpa asas kewartawanan dan tanggungjawab secara profesional.

Oleh itu, kita mengharapkan pembaca lebih bijak menghadam maklumat dipapar atau tular melalui portal berita sedemikian. Hanya portal yang mampu menyediakan berita sofistikated, pantas, terkini, menarik, adil, saksama dan berupaya memikul tanggungjawab terhadap negara, harus mendapat perhatian rakyat.

Kesimpulannya, membina naratif nasional melalui media sosial adalah sesuatu yang mencabar kerana sifatnya yang terlalu terbuka dan sukar dikawal.

Justeru, untuk menjadikan media sosial sesuatu yang konstruktif dalam membina naratif nasional, maka harus ada mekanisme kawalan yang berkesan tetapi tidak terlalu rigid atau tegas sehingga membekukan kebebasan untuk rakyat berwacana dalam arus pembangunan nasional dan perkembangan global.
Loading...
Back To Top