Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Angkat martabat manifesto, lindungi hak pengundi

Oleh Muzaffar Syah Mallow

Sudah sampai masanya kita mengambil satu langkah baru bagi memastikan setiap janji manis politik atau janji-janji manifesto yang dibuat ketika hadapi proses pilihan raya dalam negara kita dipandang serius oleh mereka yang membuatnya dan dipenuhi tanpa adanya sebarang alasan.

Mana-mana ahli atau parti politik yang membuat janji manis khususnya melalui manifesto pilihan raya perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap semua janji mereka dalam manifesto pilihan raya.

Amat menyedihkan sekiranya sebarang janji manifesto tidak dipenuhi dan ditepati oleh mana-mana ahli atau parti politik setelah mereka memenangi proses pilihan raya dan memegang kuasa untuk memerintah.

Tindakkan untuk tidak memenuhi atau menepati janji dibuat juga menunjukkan dengan jelas sikap tidak hormat mereka terhadap pengundi yang memberi kepercayaan dan memberi undi kepada ahli dan parti politik. Manifesto pilihan raya adalah sebuah dokumen bertulis yang mengandungi janji yang bakal dipenuhi sekiranya ahli atau parti politik membuat manifesto terbabit menang dalam proses pilihan raya.
Manifesto pilihan raya selalunya dibuat setiap kali tiba musim pilihan raya sama ada pilihan raya umum atau mahupun pilihan raya kecil. Manifesto selalunya dibuat secara ringkas bagi memudahkan setiap rakyat untuk membacanya, memahaminya serta memberi pertimbangan yang sewajarnya ketika memberi undi mereka kelak.

Manifesto bukan sahaja wujud dalam negara kita, malah turut diguna pakai hampir di semua negara yang mengamalkan prinsip demokrasi. Dengan adanya manifesto pilihanraya, rakyat dengan mudah boleh memahami segala rancangan yang bakal dilakukan sekiranya ahli atau parti
Loading...
politik terbabit menang. Selalunya terdapat pelbagai jenis janji yang terdapat dalam manifesto pilihan raya ini. Kesemua janji ini selalunya dilihat sebagai “janji-janji manis” sewaktu pilihan raya yang digunakan untuk memenangi hati rakyat terutamanya hati para pengundi.

Antara janji manis sering dilemparkan adalah yang berkaitan dengan janji untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat, janji untuk memberi pelbagai jenis bantuan sosial, janji untuk memberi kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik, internet, klinik, hospital, sekolah, pendidikan dan pengangkutan dan macam-macam lagi. Pengundi selalunya akan memberi undi mereka kepada mana-mana ahli atau parti politik yang menawarkan janji yang baik melalui manisfesto yang ditawarkan.

Namun amat malang, status sesebuah manifesto hanya lah sekadar janji manis tidak terikat dengan undang-undang. Ini bermakna ahli atau parti politik yang membuat manisfesto ini tidak perlu menunaikan janji yang telah dibuat setelah mereka menang pilihan raya dan mendapat kuasa untuk memerintah negara.

Jika kita masih ingat pada 2013, mahkamah rayuan telah memutuskan sebuah manifesto pilihan raya tidak boleh dikuatkuasakan secara sah. Berikutan keputusan penting itu, pihak mahkamah membatalkan saman sivil yang difailkan oleh 2,020 ibu tunggal di Selangor berhubung pembayaran elaun RM100 kepada mereka seperti terkandung dalam manifesto pembangkang pada pilihan raya umum 2008. Panel tiga hakim diketuai Mohd Hishamudin Mohd Yunus membenarkan rayuan kerajaan Selangor dan Menteri Besar Khalid Ibrahim ketika itu supaya mengetepikan keengganan mahkamah tinggi untuk membatalkan saman tersebut. Dalam kes terbabit, hakim bersetuju dengan hujahan manifesto itu bukan sebuah dokumen yang terikat di sisi undang-undang. Seseorang yang tidak berpuas hati dengan kegagalan memenuhi janji pilihan raya tidak boleh menuntut untuk menguatkuasakan manifesto tersebut.

Dengan mengambil kira keadaan semasa kini, kita perlu melakukan proses penambahbaikkan bagi melindungi rakyat kita khususnya pengundi daripada menjadi mangsa pihak yang tidak
bertanggungjawab sewaktu tibanya musim pilihan raya. Pihak mahkamah diminta melihat semula status undang-undang yang diberikan terhadap manisfesto mana-mana calon atau parti politik.

Setiap manifesto perlu diikat dengan undang-undang supaya tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka yang tidak memenuhi atau melanggari janji manifesto mereka.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga disaran mengambil langkah proaktif dalam mengatasi isu ini. Pihak SPR perlu mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji isu manifesto pilihan raya ini untuk diberikan satu kuasa undang-undang terhadapnya. Pindaan boleh dilakukan melalui sebarang akta sedia ada seperti Akta Kesalahan Piliharaya 1954 bagi menyelesaikan perkara ini demi melindungi hak dan kepentingan pengundi dalam negara kita.

Muzaffar Syah Mallow adalah pensyarah kanan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Loading...
Back To Top