Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Rakyat mahu Umno dan PAS, bukan Bersatu, kata Asyraf Wajdi

Loading...
UMNO akan berpecah dan ditolak rakyat jika menjalin kerjasama dengan mana-mana parti dalam Pakatan Harapan (PH), kata Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dasuki.

Jelasnya, rakyat kini kecewa dengan kerajaan PH dan mahu Umno mengukuhkan kerjasama dengan PAS, dan bukannya berunding sama ada dengan Bersatu atau PKR.

Umno turut menolak sebarang kerjasama dengan mana-mana parti komponen PH melalui ‘pintu belakang’ bagi membentuk kerajaan.

“Tak kiralah sama ada (berunding dengan) Tun Dr Mahathir atau Datuk Sri Anwar Ibrahim, akan menyebabkan Umno berpecah. Apa keperluan kita jadi kerajaan dalam masa terdekat kerana rakyat marahkan PH.

“Rakyat mahu kita kembali berkuasa secara bermaruah. Mereka mahu Umno dan PAS diperkasa dan diperkuat. Dalam 40 siri ceramah penyatuan ummah di seluruh negara, saya dapat lihat suara hati rakyat bawahan yang mahu kita bersatu,” katanya seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia.

Asyraf dipetik berkata demikian dalam ucapan merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda, dan Puteri Umno Bahagian Rasah di Seremban, Negeri Sembilan.

Jelas Asyraf, penyatuan Umno dan PAS sekarang tidak sama seperti yang berlaku pada 1974.

“Dulu kita bergabung atas kehendak pemimpin atasan tetapi hari ini rakyat yang menuntut kita bermuafakat,” katanya.

Tambah beliau, masyarakat Melayu tidak boleh berharap pada Dr Mahathir Mohamad untuk mempertahankan kepentingan mereka kerana pentadbiran kini dikuasai DAP.

“Perdana menteri keempat tidak sama dengan perdana menteri ketujuh. Dulu pentadbiran Dr Mahathir didukung oleh Umno, sekarang di belakangnya adalah DAP. Mereka mendominasi jawatan jawatan penting,” ujar beliau.

Asyraf turut berkata, orang Melayu membayar harga yang mahal ekoran kekalahan Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana hak dan kepentingan mereka, serta agama Islam kini terancam dibawah kerajaan PH.

Umno dan PAS dijangka memeterai piagam kerjasama yang akan mengikat gerak kerja dua parti itu menuju pilihan raya umum akan datang.
Loading...
Back To Top