Kerjasama dua parti ini suatu gabungan disatukan oleh pendirian keras, membentuk satu gelombang baharu nasionalisme Melayu haluan kanan dengan kumpulan Islam ekstrem.

Pada masa sama, kerjasama Pas-UMNO ini juga cenderung disifatkan seolah-olah telah muktamad, dimeterai menjelang pilihan raya kecil di Semenyih dan dianggap seperti satu pakatan baharu dalam senarai parti dan gabungan politik di Malaysia.

Hakikatnya, kerjasama Pas-UMNO kekal berada di haluan sederhana walaupun di dasari konservatisme dan proses pembinaan dan pengukuhan kerjasama ini masih di peringkat awal.

Paling utama dan asas, kerjasama antara parti seperti ini ialah satu amalan biasa dalam demokrasi, yang kekal dilaksanakan dalam pelbagai bentuk dan peringkat oleh parti-parti politik sepanjang sejarah Malaysia.

KEGELISAHAN DAP?

Parti yang paling menunjuk keresahan terhadap kerjasama Melayu, DAP, menyifatkan kerjasama ini jika berkuasa akan jadi seperti Taliban di Afghanistan yang melaksana dasar dan peraturan keras dan melampau.

Parti sekutu kuat DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) terus memberi gambaran negatif kerjasama Pas-UMNO, tetapi sekadar mencerminkan kerisauan DAP dan kritikan parti ini sebahagian besarnya hanyalah ejekan dan tidak menampakkan asas pendirian selain menyampai keresahan DAP dan keresahan sendiri sebagai parti serpihan Pas.

Dalam kalangan komuniti liberal, sebarang hal berkaitan kerjasama politik Melayu sudah sedia ditanggapi dengan amat negatif. 

Dalam bahasa wacana liberal, sebarang kerjasama apatah lagi penyatuan lebih tersusun dan formal dikait dengan kecenderungan perkauman yang menggugat keharmonian.

Sejak kerjasama Pas-UMNO ini menjadi lebih jelas, banyak pandangan diutarakan, seperti menyifat kerjasama ini tindakan berundur ke belakang daripada kemajuan dalam keharmonian kaum, malah disifat bertunjang ideologi haluan kanan ekstrem.

Malah, tanpa kerjasama ini pun, Pas sudah sedia diberi gambaran sangat negatif oleh kelompok liberal. 

Kerjasama parti beridentiti agama dengan parti Melayu konservatif ini memudahkan pihak liberal menerus dan meningkat kempen negatif.

Tafsiran salah ini boleh difahami disengajakan untuk memberi gambaran paling buruk pada kerjasama yang berpotensi mengubah landskap politik negara ini. 

Propaganda yang mudah menjurus kepada kempen kebencian ini sebahagian persaingan wacana untuk memenangi pendapat umum demi sokongan, dari dalam dan luar negara.

Ini ditunjukkan dengan jelas oleh gambaran-gambaran yang mereka suarakan, seperti kerjasama Pas-UMNO sebagai satu bentuk ‘kanser’ yang menggugat perpaduan kaum dan konsep ketuanan yang diberi tafsiran supremacy malah hegemony.

Dari sudut ideologi, kerjasama ini sama ada sengaja atau tidak, disalahertikan sebagai satu keputusan politik yang didorong kecenderungan berhaluan kanan jauh dan nasionalisme etnik ekstrem, ataupun memberikan makna ekstrem pada konservatisme yang mendasari kedua parti.

Walaupun tidak ada tanda jelas bahawa kerjasama Pas-UMNO satu perkembangan ke arah nasionalisme Melayu berhaluan kanan, perhatian pengkritik secara simplistik sentiasa memberi tumpuan pada pelabelan yang salah ini.

NASIONALISME MELAYU

Kaitan dan perbandingan dengan Taliban amat jauh dan sebenarnya mendedahkan