Akan tetapi itulah tanggapan ramai manusia pada hari ini: agama adalah khayalan manusia semata-mata dan para pengikutnya adalah golongan bodoh, yang terpedaya. Dalam kalangan mereka yang berpendirian sedemikian, ada percaya bahawa walaupun agama itu kepalsuan akan tetapi ia adalah alat berguna untuk kesejahteraan negara kerana dengan agama masyarakat dapat diatur dan dikawal dengan lebih mudah. Seorang ahli falsafah Perancis dikhabarkan berkata, “Tuhan sebenarnya tidak wujud, akan tetapi jangan katakan itu kepada khadammu, takut dia akan membunuhmu semasa engkau tidur dan mencuri wangmu.” Perkataannya ini membayangkan sikapnya terhadap agama sebagai kepalsuan yang berguna, sebagai alat semata-mata. Pandangan lain pula mengatakan agama itu adalah kepalsuan berbahaya; oleh itu ia mesti diperangi dan dihapuskan. Menurut pandangan ini manusia hanya mencapai kesejahteraan apabila mereka meninggalkan agama. 

Kedua-dua pandangan di atas menolak kebenaran agama dan sikap inilah yang dominan dalam masyarakat Barat hari ini. Walau bagaimanapun, sikap ini tidak lagi terhad kepada orang Barat. Ramai yang turut berfikiran begitu, termasuklah sebahagian daripada kaum Muslimin. 

Tidak mungkin sah pengakuan seseorang bahawa dia seorang Muslim kalau di dalam hatinya dia meragui kebenarannya. Sebagai contohnya, seseorang yang mendakwa bahawa agama adalah diasaskan kepada mitos-mitos kejadian. Sekiranya yang dia maksudkan dengan kenyataan itu ialah semua agama, termasuk Islam, maka dia telah secara langsung menafikan kebenaran agama Islam. 

Inilah bahananya apabila ilmu-ilmu kemanusiaan seperti psikologi, sosiologi,