Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Penghapuskan Tol Bermula : Utamakan Tol Bertrafik Tinggi



1. Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) menyambut baik keputusan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk meneruskan pemansuhan konsesi tol secara berperingkat, selari dengan manifesto PH untuk Pilihanraya Umum ke-14. Perbincangan kerajaan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih 4 lebuh raya di Malaysia adalah merupakan fasa kedua pemansuhan tol di Malaysia setelah pemansuhan bayaran tol di tiga laluan motosikal (Jambatan Pertama dan Kedua di Pulau Pinang serta Lebuhraya Laluan Kedua, Johor), bermula 1 Januari 2019.

2. Dalam usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat secara signifikan dan segera, Pemuda AMANAH ingin mencadangkan agar jalan-jalan tol yang menyaksikan trafik kenderaan yang tinggi, khususnya di kawasan bandar, diberi keutamaan dalam proses pemansuhan bayaran tol akan datang.

3. Untuk pengetahuan umum, rundingan dengan pihak Gamuda yang telah diumumkan baru-baru ini melibatkan 4 buah lebuh raya bertol iaitu Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) and SMART Tunnel. Kesemua tol ini adalah laluan yang penting di Lembah Klang dan akan memberi manfaat kepada ramai pengguna jalan raya. Buat masa ini, rakyat akan menikmati diskaun 30% ketika waktu bukan puncak, serta tiada bayaran antara pukul 11
Loading...
malam hingga 5 pagi. Sebelum ini, pengguna tol-tol berkenaan terpaksa membayar kadar yang tinggi tanpa mengira masa perjalanan. Pemuda AMANAH berharap agar kerajaan dapat mengeluarkan statistik peratusan pengguna 4 tol berkenaan yang menerima penjimatan menerusi langkah ini, supaya rakyat dapat lebih memahami manfaatnya dan juga untuk menjawab kritikan tidak berasas pihak pembangkang.

4. Pelan menamatkan konsesi tol secara berperingkat adalah keputusan yang terbaik kerana ia dapat menunaikan janji PH kepada rakyat dan pada masa yang sama, tidak memudaratkan kesihatan fiskal kerajaan persekutuan. Bukan itu sahaja, pada 25 Februari 2019, CIMB Research telah menyatakan bahawa rundingan pengambilalihan tol antara Kerajaan PH dan Gamuda akan dilakukan secara “willing buyer-willing seller” dan bukannya secara paksa. Tindakan ini turut disambut baik oleh Pemuda AMANAH kerana ia membuktikan kerajaan adalah pro-perniagaan dan juga peka dengan sentimen syarikat swasta. Ini memberikan isyarat positif kepada komuniti pelaburan tempatan dan antarabangsa mengenai keterbukaan Kerajaan PH.

5. Pemuda AMANAH berharap agar rakyat dapat memberikan masa yang secukupnya kepada kerajaan untuk menamatkan bayaran tol satu demi satu kerana ia akan memakan masa dan kos yang tinggi. Maybank Investment Research sebelum ini menjangkakan kerajaan mungkin terpaksa membayar sekurang-kurangnya RM79 bilion sebagai pampasan kepada syarikat konsesi tol untuk mengambilalih semua laluan tol di Malaysia.

6. Walaupun diakui kos pengambilalihan tol di negara ini adalah tinggi, namun ia adalah lebih afdal berbanding tindakan pembayaran subsidi tol untuk mengelakkan kenaikan kadar tol seperti yang dilakukan Kerajaan Barisan Nasional terdahulu. Dalam jangka masa panjang, tindakan pengambilalihan tol oleh Kerajaan PH akan memberikan penjimatan terbaik untuk poket pembayar cukai.

FAIZ FADZIL

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH
ADUN Permatang Pasir
27 Februari 2019
Loading...
Back To Top