Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Piala Asia: Kemenangan Australia hidupkan impian Palestin

Loading...

PALESTIN 0 JORDAN 0

Impian Palestin untuk kekal bersaing dalam kempen Piala Asia kali ini kembali bernyala sebaik Australia mencatat kemenangan 3-2 ke atas Syria selepas skuad Singa Canaan itu mengikat pendahulu Kumpulan B, Jordan, 0-0 di Stadium Mohammed bin Zayed, Abu Dhabi, pada Selasa.

Keputusan seri itu meletakkan mereka sebagai pasukan ketiga terbaik kumpulan tersebut dengan menyingkirkan Syria di tangga terbawah hasil kelebihan satu mata.

Jordan selaku pendahulu kumpulan terlebih dahulu mengesahkan tempat ke pusingan kedua selepas menewaskan Australia dan Syria.

Bagaimanapun, mereka memaparkan aksi di bawah tahap sebenar sehingga Palestin dilihat sebagai pasukan yang lebih baik sepanjang perhitungan di Abu Dhabi itu.

Palestin hampir mendahului dalam babak pertama, namun percubaan ketua pasukan, Abdallatif Al Bahdari, yang menerima hantaran lintang Tamer Seyam berjaya ditolak keluar Amer Shafi.

Baha Abdel-Rahman kemudian merembat kencang ke arah gawang Palestin, namun percubaan jarak jauhnya itu sekadar melewati palang lawan.

Jordan sekali lagi menerima ancaman berbahaya dalam babak berikutnya.

Bagaimanapun, hantaran lintang Musab Battat dari sebelah kanan padang gagal ditanduk kemas Oday Dabbagh.

Kelemahan penyudah seperti itu hampir meranapkan impian Palestin, namun mereka kembali bergembira sebaik menyedari keputusan perlawanan yang memihak Australia dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B.

Mereka kini perlu menantikan keputusan perlawanan kumpulan-kumpulan lain yang akan menentukan masa depan mereka dalam kempen kali ini.

Loading...
Back To Top