Loading...
Oleh Arif Atan
Kementerian Pendidikan dalam kenyataannya beritahu kerajaan BN pun beri peruntukan kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (KUTAR) yang bukan Universiti Awam (UA), antara RM30 juta hingga RM69.25 juta dalam Belanjawan 2012 hingga 2018 setiap tahun.
Adakah atas sebab itu, maka kerajaan PH yang dicanang bebas daripada politik perkauman ini wajar pejam mata melihat Menteri Kewangan (seorang Cina) mengeluarkan peruntukan khas
kepada Kolej Universiti New Era (kolej swasta Cina) dengan majlis penyerahan dana kerajaan itu turut disaksikan Timbalan Menteri (seorang Cina) yang portfolionya tiada kaitan dengan pendidikan?
Sama juga peruntukan RM12 juta kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dengan jumlah 62 buah itu. Sudah terang lagi bersuluh, RM12 juta itu untuk "anak Cina". 'Chinese first' atau 'Malaysian first'?
Nisbah peruntukan yang sekolah Cina persendirian (baca: menolak sistem pendidikan kebangsaan) terima jauh lebih tinggi daripada Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) yang merupakan sekolah untuk "anak Malaysia" bukan untuk "anak Melayu" sahaja.
Bahkan, jika kita ikhlas ketepikan sentimen politik kepartian dan cermati sungguh-sungguh agihan peruntukan Belanjawan 2019, sebanyak RM127 juta untuk SJKC, SJKT, SMJK dan SMPC! Peruntukan untuk kolej universiti Cina tidak masuk Belanjawan 2019 pun!
Bayangkan dengan peruntukan kerajaan RM127 juta ++, berapa banyak SRK dan SMK untuk "anak Malaysia" bukan hanya untuk "anak Melayu dan Bumiputera" dari Perlis sampai ke Sabah yang baru dapat dibina atau diperbaiki?
RM127 juta untuk sistem pendidikan yang mewarisi polisi pecah dan perintah tinggalan penjajah dan diteruskan pula oleh kerajaan BN! Ironi, bukan?
Mana usaha kerajaan PH era "Malaysia Baharu" untuk mereformasi sistem pendidikan supaya semua "anak Malaysia" berada di bawah satu bumbung persekolahan sekali gus mengukuhkan integrasi nasional?
Selama ini kita mengeluh perpaduan rakyat Malaysia dan jurang sosial antara kaum semakin melebar, bukankah berpunca akibat sikap sebahagian (bukan semuanya) yang berstatus warganegara Malaysia tapi mahu sekolah beridentitikan kaum?
Sampai bila kita mahu lihat rakyat Malaysia malah sudah bergelar wakil rakyat pun masih merangkak kalah pekerja Bangladesh tidak lincah berbahas dalam "bahasa Malaysia" akibat masuk sekolah berbahasa pengantar rasmi negara China?
Adakah ratusan juta peruntukan kerajaan untuk pendidikan berorientasikan kepentingan kaum itu membantu kepada usaha perpaduan rakyat Malaysia? Mana semangat 'Malaysian first' ketika sebelum ini orang Melayu disuruh usah 'Malay first'?
Selama ini lemparan 'politik perkauman' itu adakah terhad kepada orang Melayu sahaja? Adakah sifat rasis hanya terpakai pada orang Melayu?
Melihat pemimpin Cina sejak puluhan tahun 'bersatu' dalam hal berkaitan kepentingan (tamak) kaum mereka dengan DAP dan MCA sama-sama mendesak blok pemerintah dan pembangkang setiap kali musim pilihan raya umum (sila google tuntutan ekstrem Dong Jiao Zong menjelang PRU 1999 juga manifesto PH dan BN berkaitan UEC untuk PRU-14), timbul persoalan:'
Di mana pula 'political will' pemimpin Melayu PH-Pas-Umno untuk memainkan peranan strategik dalam kepentingan pendidikan kebangsaan dengan sifat sebagai negarawan bukan sekadar seorang ahli politik yang dihantui sokongan undi untuk tempoh lima tahun sekali?
Loading...