SEMINGGU dua ini suasana tanah tinggi Cameron Highlands, Pahang, mula ‘hangat’, bukan kerana suhunya yang kian meningkat.
Bukan juga kerana buah strawberi, teh mahupun segala bagai sayur-sayuran semakin ‘laku keras’, tapi kerana proses demokrasi yang akan dilaksanakan oleh penduduknya tiga hari lagi.
Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands bakal berlangsung pada 26 Januari ini berikutan kerusi Parlimen P.078 disahkan kosong oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof.
Pada 30 November lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan Naib Presiden MIC, Datuk C. Sivarraajh terbatal dan tidak sah kerana berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi.
Menurut sejarah, dataran itu pertama kali ditemukan oleh juru ukur Inggeris, William Cameron pada 1885, namun hanya dibangunkan setelah 40 tahun kemudian apabila Sir George Maxwell melancarkan satu ekspedisi bagi mencari semula tanah rata yang pernah dilihat oleh Cameron.
Oleh
Pemimpinnya juga silih berganti, siapa pun yang dipilih harus memastikan kebajikan penduduknya terjamin, terutama masyarakat Orang Asli.
Bertahun-tahun masyarakat tersebut memperjuangkan hak mereka dan alam sekitar yang sepatutnya dipelihara sebaik mungkin namun tiada siapa yang peduli, kini ‘khidmat’ mereka ditagih semula hanya untuk ‘secebis’ kuasa.
Bukan apa, selama hampir 80 tahun Cameron Highlands dibangunkan sebagai kawasan pertanian dan peranginan, kawasan itu diekploitasi semahu-mahunya dan kini impak negatif terhadap alam sekitar mulai dirasa.
Suhunya kian meningkat, tidak lagi dingin seperti dahulu akibat penerokaan kawasan hutan secara haram yang berleluasa di sekitarnya.
Loading...
Ringkas">
Bukit digondol dan ditarah bagi membina teres khas untuk menempatkan rumah hijau sayur-sayuran, segala sampah, sisa pertanian, guni-guni baja pula dilambakkan begitu sahaja bertahun-tahun tanpa ada yang peduli.
Malah ada yang sengaja membuang segala sampah tersebut terus ke dalam sungai berdekatan.
Tanyakan kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mengendalikan Empangan Hidroeletrik Sultan Abu Bakar di Lembah Bertam di sana, berapa banyak modal telah dihabiskan bagi menangani masalah mendapan dan sampah yang sering menyekat saluran air takungan itu, mencecah puluhan juta juga.
Pembuangan sampah di Tasik Ringlet serta aktiviti pertanian tidak terkawal di kawasan rizab Sungai Bertam antara punca pihak TNB terpaksa menanggung kos pembersihan saluran air yang bagaikan tiada berpenghujung.
Penyudahnya, terpaksalah TNB melepaskan air empangan tersebut akibat air takungan yang meningkat hingga paras berbahaya setiap kali berlakunya hujan lebat terutama ketika musim tengkujuh.
Dalam kejadian pada 23 Oktober 2013, keputusan TNB melepaskan air dari empangan tersebut sebanyak tiga kali pada satu malam telah menyebabkan berlakunya kejadian banjir sekitar Lembah Bertam.
Kejadian banjir tersebut memusnahkan sejumlah harta benda serta mengorbankan empat nyawa dan akhirnya syarikat itu diarahkan oleh mahkamah untuk membayar kos sebanyak RM50,000 kepada penduduk yang terlibat.
Biarpun TNB mengemukakan alasan bahawa mereka terpaksa berbuat demikian kerana air telah mencecah paras tertinggi pada malam itu akibat mendapan dan sampah sarap yang begitu banyak menyekat saluran air empangan.
Namun mahkamah tetap berpendapat syarikat itu perlu mengambil semua langkah yang perlu terlebih dahulu bagi memastikan air di empangan itu berada pada paras selamat terutamanya ketika musim hujan.
Bagi mengelakkan kejadian sama berulang, TNB terpaksa menggunakan khidmat penyelam khas semata-mata bagi memungut dan membersihkan sampah di dalam empangan dan juga sekitar Sungai Bertam.
Soalnya, sampai bila perkara itu perlu dilaksana sedangkan punca utama adalah kerana sampah dan kegiatan pembukaan tanah untuk tujuan pertanian yang berleluasa tanpa ada sebarang kawalan.
Jika boleh, siapa pun yang bakal menjadi pemimpin di Cameron Highlands kali ini tanganilah masalah tersebut dengan lebih tuntas. Tunaikanlah hak alam dan masyarakat asal di sana yang selama ini habis lunyai ‘dibelasah’ tauke-tauke pertanian yang kian kaya-raya.
Usah hanya pemimpin kawasannya sahaja ditukar, tetapi Cameron Highlands masih begitu, senang cakap, sudah-sudahlah dengan apa yang terjadi selama ini.
Loading...