Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Tanpa naratif baru dan khidmat, apakah PH dapat untung Umno berpecah tiga?


Oleh Fathi Aris Omar

Mereka yang "idealis" akan menolak usaha menukar parti, bagi mereka wakil-wakil rakyat Umno yang meninggalkan parti itu "katak" yang "menggadaikan prinsip."

Pendirian seperti ini ada di kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH), aktivis dan juga penyokong mereka. Media sosial sarat dengan sikap sinis terhadap gejala ini.

Namun bagi mereka yang pragmatik, tindakan merobek-robekkan Umno memenuhi perkiraan politik masing-masing, sama ada wakil-wakil rakyat parti itu atau gabungan parti kerajaan.

Umno pula dalam kemelut besar, sama ada meneruskan proses pembaharuan parti atau bekerjasama dengan PH atau berpakat dengan PAS.

Jika bekerjasama dengan PH, satu lagi dilema Umno, mereka ingin bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad atau bakal perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Dengan penolakan yang agak kuat terhadap kemasukan bekas wakil-wakil Umno, ramai daripada mereka terpaksa menjadi Bebas yang bersimpati dengan kerajaan sebelum perlahan-lahan menyertai PH.

Umno, sebuah pembangkang yang besar dan berpengalaman luas mentadbir, yang kian lemah menguntungkan kerajaan. Begitu juga PAS, ia juga menumpang tuah daripada kemelut Umno — walau mungkin tidak banyak.

Di kalangan PH pula, siapa yang paling untung jika Umno berpecah, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau PKR? Dan, siapa pula yang paling rugi, DAP atau PKR?

Umno yang lemah, seimbas lalu, kelihatan menguntungkan PH. Parti itu akan mengambil masa untuk memulihkan kekuatannya, termasuk membaiki reputasinya yang terpalit dengan skandal rasuah besar-besaran.

Namun semua proses pemulihannya tergendala jika ia masih kabur dan terumbang-ambing.

Presidennya Datuk Seri Zahid Hamidi enggan berundur walau diheret ke mahkamah atas kes rasuah RM72 juta.

Malah, beliau ingin kekal dan meneruskan kerjasama dengan PAS seperti yang telah digerakkan sejak pilihan raya kecil pertama Sungai Kandis pada Julai lalu.

Khairy paling serius mahu pulih Umno

Pencabarnya Khairy Jamaluddin Abu Bakar, yang tewas tipis undi popular merebut jawatan presiden Umno, pula tidak mahu pilihan yang dibuat Zahid.

Bekas ketua Pemuda Umno itu tidak mahu Umno condong ke arah politik yang terlalu kanan tetapi sebaik-baiknya kekal garis tengah (centrist) gaya parti itu.

Beliau juga lantang mahu memisahkan Umno daripada skandal-skandal besar, misalnya 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pastinya termasuk kes Zahid. Kes-kes sebegini melambatkan reformasi Umno.

Khairy, setakat ini, antara pemimpin Umno yang kelihatan paling serius ingin memulihkan Umno dan masih yakin parti itu boleh mengumpul kekuatan pada masa depan, sekurang-kurangnya untuk pilihan raya umum sekali lagi.

Beliau masih muda, awal 40-an, jadi menunggu sehingga 10 atau 15 tahun bukanlah pelaburan yang tidak munasabah. Lagipun, sebagai tokoh besar pada usia muda, apakah parti lain dapat menjamin kelangsungan masa depannya?

Tetapi Zahid, dan mereka yang berfikir dengannya, suka bekerjasama dengan PAS. Mereka berharap kerjasama ini boleh memanfaatkan sentimen Melayu yang berjaya "dicuri" oleh PH pada pilihan raya umum Mei lalu.

Jika Umno dan PAS tidak bertembung sesama sendiri dan sentimen Melayu Islam dapat digembar-gemburkan, misalnya perhimpunan besar 8 Disember lalu, mereka yakin PH dapat diasak keluar dari Putrajaya.

Perkiraan mereka diasaskan pada realiti politik semasa, yakni barisan pembangkang ditopang undi Melayu sementara kerajaan PH disokong parti pelbagai kaum macam Barisan Nasional dulu.

Melihat "ancaman" sentimen Melayu ini, ada pemimpin PH percaya langkah ke depan termasuklah mengukuhkan pangkalan Melayu dalam gabungan itu dengan merobekkan Umno.

Mereka seolah-olah mendapat dua keuntungan: pembangkang
Loading...
lemah dan PH kuat.

PAS, walaupun turut untung dengan perpecahan Umno, dijangka tidak mampu melangkah ke luar daripada pangkalan Melayunya di utara dan pantai timur Semenanjung. Jadi membiarkan PAS bersuara isu Islam-Melayu tidak akan menggugat PH untuk jangka panjang.

Projek kekalkan Dr Mahathir

Namun perpecahan Umno ini bukan sahaja isu PH berdepan Umno. Isu ini dikaitkan dengan projek mengekalkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri, sekurang-kurangnya dua tahun, agar tiada "langkah sailang" dapat menyingkirkannya.

Langkah "sailang" ini dikatakan ada hubungan dengan usaha kumpulan Anwar, atau orang yang menggunakan namanya, untuk memastikan Dr Mahathir berundur apabila tamat masanya selama dua tahun.

Maka, sejak dari awal, kumpulan-kumpulan Dr Mahathir dan Anwar terus-menerus menawarkan pakej sokongan tersebut, sama ada masuk parti masing masing atau menyatakan sokongan kepada salah seorang tokoh ini ketika masih wakil Bebas.

Dr Mahathir hari ini tiba-tiba mengulas beliau mendengar ura-ura menjatuhkannya melalui undi tidak percaya di Parlimen. Namun, tambahnya, "saya tidak ambil kira" persoalan tersebut.

Sebahagian projek lompat daripada Umno yang terbaru ini dikaitkan dengan cubaan mengekalkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri. Walau perkembangannya baru muncul minggu ini, siri rundingan tersebut sudah berjalan berbulan-bulan.

Jadi kini, timbul persoalan lain, apakah perpecahan ini pasti sepenuhnya menguntungkan PH atau mencetuskan keretakan di kalangan pemimpin dan penyokongnya?

Pemimpin-pemimpin yang bersuara menentang penyertaan bekas wakil-wakil Umno jelas kedengaran, sementara mereka yang bersuara menyokongnya tidak begitu lantang.

Dr Mahathir antara tokoh utama yang seakan-akan mengalu-alukannya kerana bekas pemimpin Umno itu menyatakan dukungan kepadanya.

Tokoh utama DAP Lim Kit Siang pula menyebut faktor sokongan Melayu yang lebih besar — tidak memadai setakat menang undi pada 9 Mei — harus digerakkan jika kerajaan PH mahu melaksanakan program pemulihan negara.

Beliau kelihatan risau dengan "politik toksik kebencian dan ketakutan" yang disebar menjelang dan melalui perhimpunan besar-besaran membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) baru-baru ini.

Naratif sahaja tidak memadai

Tetapi sebagai kerajaan, PH tidak boleh bergantung pada sokongan mereka yang melompat parti sahaja. Kerajaan tetap kerajaan, kejayaannya menarik sokongan pengundi tergantung pada prestasinya berkhidmat pada rakyat.

Selain tidak bercakaran secara terbuka, dan tenggelam dalam intrig Dr Mahathir atau Anwar yang layak jadi perdana menteri, tugas PH sebagai kerajaan tetap kekal membawa khidmatnya kepada rakyat.
Ada di kalangan penggerak PH bercakap soal membangunkan naratif baru bagi menandingi naratif sentimen Melayu-Islam yang dibawa PAS dan Umno. Lim juga bercakap soal naratif itu dalam wawancaranya dengan Malaysiakini semalam.

Tetapi naratif kerajaan tidak sama dengan naratif pembangkang atau aktivis di luar koridor kekuasaan. Naratif kerajaan tidak boleh bertahan jika program dan tindak-tanduknya tidak selari dengan naratif, slogan dan retorikanya.

Datuk Seri Najib Razak memajukan naratif "1Malaysia: Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan" tetapi yang diingat dan dibenci orang ramai bukan slogan ini, sebaliknya skandal memalukan 1MDB.

Begitu juga slogan "Janji ditepati" menjelang pilihan raya umum 2013, pengundi hanya ingat "janji dicapati". Walau Najib menyatakan "99 peratus" janji manifesto tersebut berjaya ditunaikan, BN tetap tewas pada pilihan raya umum lalu.

Naratif terbaik bagi sesebuah kerajaan, termasuk PH, adalah khidmatnya kepada rakyat yang melekat kuat dalam ingatan orang ramai. Yakni, bukan sahaja berbuat baik kepada rakyat tetapi juga mereka berasa memang berguna mengekalkan kerajaan itu.

Berkhidmat kepada rakyat sahaja tidak memadai jika rakyat tidak berasa khidmat itu penting untuk mengekalkan kuasa kerajaan.

Berbanding era BN dahulu, naratif ini sukar dibentuk oleh PH dalam konsep kebebasan media yang mahu dianut oleh kerajaan sekarang. Apatah lagi tiada naratif dan tiada pula pengarahan media untuk menyebarkan naratif tersebut.

Yang menarik dalam perubahan regim di Malaysia: semua kerajaan jatuh kerana masalah dalaman mereka sendiri, bukan kerana kehebatan pembangkang.

Lihatlah Kelantan pada 1990 atau Terengganu pada 1999 atau empat negeri di pantai barat pada 2008. Malah, kejayaan PH pada Mei lalu juga akibat masalah dalam kerajaan, bukan sangat "satu logo" gabungan pembangkang.-www.projekmm.com
Loading...
Back To Top