Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Pindaan AUKU, berakhirnya penantian yang panjan

Oleh Ahmad Suffian Mohd Dalizan

Hari ini dalam sejarah. Proses pembebasan akademik secara total mula direalisasikan oleh kerajaan baru melalui Kementerian Pendidikan susulan pindaan terhadap tiga akta berkaitan, termasuk Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).

Rang undang-undang dimaksudkan diluluskan Dewan Rakyat semalam yang melibatkan pindaan ke atas Seksyen 10(2)(c), Seksyen 15(2)(c) dan Seksyen 47(2) berkaitan penglibatan pelajar dalam aktiviti politik di dalam mahupun di luar kampus.

Mahasiswa melihat pindaan itu sebagai langkah permulaan yang baik dalam mereformasikan institusi pendidikan walaupun terdapat beberapa lagi kekurangan dan masih lagi wujud akta yang menyekat dan membelenggu.

Namun usaha murni menteri wajar diberikan pujian dan kita percaya ini hanyalah permulaan ataupun sebahagian kecil daripada reformasi pendidikan yang melibatkan pelbagai aspek.
Langkah kanan dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh kerajaan terutamanya Kementerian Pendidikan hari ini walaupun baru memerintah selama 6 bulan diharapkan konsisten dan tidak hanya untuk meraih sokongan mahasiswa semata-mata dan untuk kepentingan atau “survival” politik sahaja.

Rata-rata mahasiswa mengharapkan kerajaan menjaga dan menjamin hak mereka dan warga
Loading...
pendidik selari dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Pindaan ini memberi impak yang besar kepada landskap sosial dan politik negara, terutamanya dalam kalangan mahasiswa sendiri.

Kesediaan mahasiswa dalam menghadapi pindaan ini sepatutnya tidak dipersoalkan dan diragukan lagi kerana sudah 47 tahun lamanya mahasiswa berjuang untuk pembebasan akademik dan autonomi mahasiswa.

Kita yakin mahasiswa hari ini cukup cekap dan matang berhubung soal hak dan kepentingan mereka dalam negara ini.

Persoalannya, adakah dengan pindaan ini mahasiswa akan mengabaikan akademik?

Ini adalah antara contoh persepsi atau stigma yang ditanam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ke dalam masyarakat awam atau masyarakat luar terhadap penuntut universiti seolah-olah pelajar terlalu sibuk berpolitik sehingga melupakan pelajaran.

Dalam isu ini, mahasiswa perlu bersatu menangkis dakwaan tidak logik dan tidak berasas ini. Kita ambil contoh negara Eropah yang mempraktikkan amalan politik dalam dan luar kampus dan lihat pula impaknya yang positif kepada pembangunan nilai masyarakat dan negara mereka.

Ia akan mewujudkan masyarakat yang cakna dan peka terhadap pembangunan sosial, ekonomi dan politik negara.

Pindaan ini juga akan membentuk satu medan intelektual yang bakal dirasai oleh mahasiswa secara langsung dan dengan itu mereka dapat menilai dan mengkaji sendiri tentang apakah yang benar dan apakah yang salah tanpa halangan atau diskriminasi oleh pihak tertentu.

Bagaimanapun, kebebasan yang diberikan perlu digunakan sebaiknya dengan penuh tanggungjawab dan amanah supaya ia dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.

Mahasiswa juga masih lagi terikat dengan undang-undang negara dan tidak boleh sewenang-wenangnya menjadikan pindaan akta ini sebagai senjata untuk melakukan sesuatu yang radikal dan boleh mendatangkan kesan negatif kepada negara terutamanya.

Kita berharap mahasiswa akan kembali bersatu hati dalam menuntut dan menjaga hak mereka dan bersikap rasional dan progresif dalam mendepani isu-isu semasa.

Usaha Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, walaupun masih tidak menyeluruh, wajar disokong oleh semua mahasiswa dengan keyakinan kebebasan akademik secara total akan tercapai dalam masa terdekat dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh kerajaan, terutamanya dalam sektor pendidikan.

Ahmad Suffian Mohd Dalizan merupakan anggota Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Sultan Zainal Abidin.
Loading...
Back To Top