Malaysia dalam sejarahnya telah mengalami pahit maung zaman penjajahan, zaman darurat, gerakan pengganas komunis dengan matlamat menubuhkan Republik Komunis Rakyat Malaya, peristiwa hartal di Pulau Pinang, siri-siri demonstrasi dan yang cukup dahsyat meletusnya ‘peristiwa berdarah’ 13 Mei 1969. Semuanya masih dalam ingatan kita dan ramai pemimpin politik masa itu yang masih hidup. Ada antara mereka menyalakan api perkauman dan kebencian kepada tuan asal Tanah Melayu ini. 

Kini, selepas sahaja Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Mei lalu, belum pun sampai setahun bermacam perkara mulai timbul. Cubalah anda lihat sebuah negara lain dan bandingkan dengan Malaysia. Di sinilah segala kesenangan diperoleh. Negara lain tidak terlawan dengan tanah air ini dari segi kemurahan rezeki dan keharmonian, keselamatan dan kedamaian. 

Di sinilah semua rakyat mendapat faedah ekonomi, kesejahteraan sosial, kehidupan budaya dan bebas mengambil bahagian dalam politik dan merebut kuasa. Rupa-rupanya kerana jiwa perpaduan bangsa tidak sekukuh yang disangka, apabila tampuk kuasa bertukar tangan, maka belang atau cula makin kelihatan. Sebelum ini di bawah majoriti pemerintahan yang berganding bahu dengan dikepalai parti kepimpinan Melayu, Malaysia menjadi negara yang selamat, makmur dan sejahtera. Di sana sini tentu ada kelemahannya. Inilah masa untuk pembaharuan. Tetapi sekarang, kenapa Malaysia jadi begini?

Sesekali merenung zaman sesudah enam dekad kemerdekaan ini, penulis rasa hiba, mengenangkan semacam kita sudah sesat jalan. Perlembagaan Persekutuan sekarang itulah perlembagaan terbaik untuk Malaysia. Seluruh rakyat ada hak, tidak ada pun diskriminasi dan selama ini dasar-dasar negara digubal berpandukan perlembagaan tersebut. Tentulah hak-hak kenegaraan seperti institusi Raja-raja dan jawatan Yang di-Pertuan Agong, kumpulan etnik dan kaum-kaum lain semuanya ada protokol dan peraturan undang-undang yang menjaganya. 

Segala perkara pancang diabadikan dan pembahagian kuasa jelas diperturunkan, bukan sahaja antara perundangan, kehakiman dan eksekutif tetapi bidang kuasa Persekutuan dengan negeri dan perkara-perkara lain yang melibatkan kerakyatan dan kebebasan asasi. Kini perlembagaan itu mahu dirobek. 

Kenapa dipertikaikan?

Kini timbul isu hangat pasal kenyataan seorang menteri untuk mengiktiraf Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), mungkin Kabinet belum pun bincang.