Dr. Madinah mendedahkan bahawa laporan asal ini telah beliau terima daripada saudari Nor Salwani, Pengarah Sektor Audit Tadbir Urus selepas beliau mengambil alih jawatan Ketua Audit Negara daripada Ambrin Buang.

Lebih mengejutkan lagi ialah keputusan untuk meminda laporan ini katanya telah dibuat oleh Najib Razak sebagai Perdana Menteri ketika itu dengan turut disokong oleh bekas Ketua Audit Negara, Ambrin Buang, bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Dr. Ali Hamsa, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dzulkifli Ahmad dan bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri, Shukri Mohd. Salleh.

Keputusan itu dibuat oleh mereka dalam satu mesyuarat yang diadakan di Pejabat Perdana Menteri. 

Sekiranya ia benar-benar berlaku, ini merupakan satu pengkhianatan tertinggi ke atas amanah yang dipertanggungjawabkan oleh rakyat dan negara kepada Najib dan para penjawat awam.

Lebih-lebih lagi sebagai penjawat awam yang termaktub dengan sumpah dan janji perkhidmatan, mereka yang terlibat telah mencalar dan menconteng arang kepada imej perkhidmatan awam.

Lebih mengecewakan ialah Ali sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang bertanggungjawab mengepalai kira-kira 1.6 juta penjawat awam di negara ini seharusnya menunjukkan contoh baik dan berintegriti tinggi.

Kita masih ingat apabila Ali dilantik sebagai KSN pada tahun 2012, ramai yang terkejut kerana terdapat beberapa nama pegawai lebih kanan daripada beliau turut disebut-sebut ketika itu.

Sudah tentu beliau dipilih kerana menjadi orang kepercayaan Perdana Menteri dan seharusnya beliau menjadi penasihat yang baik dan telus untuk menjaga dan mengurus tadbir negara ini.

Kita juga kecewa dengan sikap Ambrin Buang sebagai Ketua Audit Negara ketika itu.

Seharusnya Ketua Audit Negara adalah benteng terakhir untuk memastikan bahawa sebarang bentuk salah laku urus tadbir jabatan atau kementerian dalam kerajaan dilaporkan kepada Parlimen yang merupakan institusi tertinggi di dalam negara dan Perdana Menteri yang merupakan ketua eksekutif pentadbiran.

Sikap Ambrin yang membenarkan pindaan itu dilihat sebagai