Kumpulan yang diketuai Presiden Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam itu mengutuk dan membantah sekeras-kerasnya tindakan SPRM yang mereka dakwa diperalat untuk menjayakan agenda mematahkan semangat ahli UMNO oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Kumpulan itu turut mengecam kenyataan rasmi SPRM yang menyatakan bahawa penahan Najib itu dilakukan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 setelah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.

"Yang menghairankan kami, kenyataan Peguam Negara tadi di portal Malaysiakini menyatakan bahawa sehingga kini beliau tidak boleh mengambil sebarang tindakan berhubung kes terbabit kerana kertas siasatan masih belum diterima.

"Perkara itu jelas menunjukkan bahawa Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Shukri Abdull telah bertindak atas arahan Mahathir," kata Lokman ketika berucap pada perhimpunan itu.