Hari pertama sahaja kecoh apabila ahli parlimen pembangkang bertindak keluar dewan kerana tidak setuju dengan pelantikan Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof yang dianggap tidak mengikut peraturan setelah nama beliau tidak dimaklumkan dalam tempoh 14 hari terlebih awal.

Bagaimanapun wakil rakyat berkenaan masuk semula ke dewan untuk majlis mengangkat sumpah masing-masing setelah protes berkenaan tidak diendah oleh Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah.

Sedangkan perkara yang sama berlaku pada tahun 1999 apabila pelantikan Tun Mohamad Zahir Ismail sebagai speaker dibantah dan Perdana Menteri ketika itu adalah Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Antara ahli parlimen pembangkang ketika itu adalah Mohamad Sabu, Mahfuz Omar daripada Pas serta Tang Seng Giew dari DAP.

Ketua Pembangkang pada masa itu Ustaz Fadzil Noor membantah pemilihan Tun Zahir berdasarkan Peraturan Mesyuarat 4(1) berhubung tempoh 14 hari menghantar nama calon Speaker dan mereka yang dicadangkan mesti bersetuju.