Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Beku peruntukan: Saifuddin Abdullah bidas Sallehen

SHAH ALAM: Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan (PH) Datuk Saifuddin Abdullah membidas PAS Selangor, yang mengaitkan wujud campur tangan parti pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad itu dalam isu sekatan peruntukan terhadap 13 ADUN PAS.

Saifuddin menegaskan PH Pusat langsung tiada kena mengena dengan masalah berkenaan, memandangkan ia adalah di bawah urusan pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Kelmarin Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi mendakwa bahawa mungkin ada campur tangan daripada PH pusat, selepas sehingga
Loading...
kini kesemua ADUNnya masih tidak menerima dana daripada kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"Tiada, langsung tiada (kaitan).

"Kita langsung tidak tahu menahu perkara ini, ini adalah urusan pentadbiran negeri Selangor dan kita ada kepercayaan penuh kepada Menteri Besar," katanya ketika dihubungi Antarapos.

Sallehen dalam satu sidang medianya mendakwa mungkin wujud campur-tangan daripada PH Pusat berhubung sekatan dana terhadap ADUN PAS di negeri itu.

Katanya, beliau tidak menolak ada pihak yang tidak berpuas hati dengan keberadaan PAS di negeri itu meskipun akur kerajaan negeri kini adalah mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Isu peruntukan dana terhadap 13 ADUN PAS masih belum diselesaikan apabila kesemua wakil rakyat parti itu belum mendapat sebarang dana meskipun sudah memasuki bulan ketiga (Mac) untuk 2018, hari ini.

Malah menurut Sallehen, kesemua ADUN parti itu terpaksa menggunakan wang peribadi untuk menjalankan program bersama rakyat pada ketika ini.

Azmin sebelum ini menafikan dana itu disekat namun mengalami masalah teknikal.

PAS Selangor kemudiannya menyatakan hasrat untuk berjumpa dengan Azmin bagi menyelesaikan isu tersebut namun tidak mendapat sebarang maklum balas sehingga kini.
Loading...
Back To Top