Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

AGM PPBM SEKADAR PUJI MAHATHIR, HENTAM NAJIB – KETUA BAHAGIAN PPBM TEMERLOH

Perhimpunan Agung Tahunan Pertama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Sabtu lalu yang dihadiri kepemimpinan tertinggi termasuk Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mencetuskan pelbagai reaksi daripada semua pihak termasuk dalam kalangan ahli dan pemimpin parti itu sendiri.

Ikuti lima soalan wartawan Utusan Malaysia, SITI NORHAWA MOHD. ALI kepada Ketua Bahagian PPBM Temerloh, AMERUS CHE ONN yang turut hadir dalam perhimpunan agung tersebut.

UTUSAN: Apa pendapat anda tentang Perhimpunan Agung PPBM minggu lalu.

AMERUS: Perhimpunan Agung PPBM dikendalikan dengan tidak sempurna kerana tidak mengikut perlembagaan parti. Bahagian sepatutnya bermesyuarat dan menghantar wakil hasil persetujuan mesyua­rat itu tetapi ia tidak berlaku. Ini jelas melanggar peraturan dalam Perlembagaan sendiri dalam fasa 12. Yang hadir dan berbahas itu hanyalah da­ripada kepemimpinan tertinggi bahagian sahaja dan semua wakil berbahas seolah-olah sudah ada ‘skrip’ tersendiri iaitu memuji Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan menghentam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Tiada masalah akar umbi yang dikete­ngahkan untuk kebaikan parti.

Sebagai Ketua Bahagian, apakah harapan anda terhadap perhimpunan agung tersebut?

AMERUS: Saya sebagai Ketua Bahagian Temerloh yang datang untuk menjadikan perhimpunan agung itu sebagai platform membawa usul berkenaan masalah yang kita hadapi di bahagian tidak dapat berbuat demikian dan itu yang membuat saya
Loading...
kecewa. Untuk Dr. Mahathir, beliau lebih mementingkan kepada agenda peri­badi sendiri. Ini kerana setiap apa yang dibahaskan tidak lain hanya untuk memuji beliau dan saya rasa sebagai pemimpin Dr. Mahathir hanya mahukan kelebihan politik.

Adakah secara keseluruhan­nya perhimpunan agung tersebut mencapai objektif atau tidak?

AMERUS: Saya rasa kecewa kerana perhimpunan ini seolah-olah tiada hala tuju dan tidak mencapai objektif kerana tiada isu relevan yang boleh diketengahkan bagi sebuah parti yang pada asalnya saya anggap bertujuan membetulkan situasi politik di negara ini. Tetapi apabila melihat pemimpin PPBM yang begitu mementingkan diri sendiri, saya rasa PPBM sudah tidak hala tuju dan sekiranya ini berterusan, saya juga akan keluar daripada parti ini.

Apa pandangan anda dengan pendapat Dr. Mahathir yang me­rupakan Pengerusi PPBM akan diangkat menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan berjaya menawan Putrajaya?

AMERUS: Saya melihat PPBM ini sebagai parti yang masih terlalu baru dan bukan parti dominan dalam Pakatan Harapan. Jadi dalam soal pemilihan Perdana Menteri, ada tiga lagi komponen yang lebih lama dan dominan yang mana mereka juga mempunyai cita-cita sama. Saya percaya akan ada pergolakan dan pada hemat saya, biarlah diselesaikan antara mereka sendiri.

Apa pesan anda kepada ahli-ahli PPBM lain?

AMERUS: Ahli PPBM perlu sedar bahawa perjuangan ini sia-sia. Jangan terlalu taksub dan ‘tutup mata’ dengan kesalahan kepemimpinan, fikirlah apa yang berlaku sekarang. Tidak ada hujah bermakna dalam PPBM sekarang melainkan menentang Najib, itulah yang sentiasa diuar-uarkan, tetapi apa yang menyedihkan, hasrat dan kepentingan akar umbi langsung tidak difikirkan. Saya juga ingin menyeru semua untuk tolak kepemimpinan yang ada sekarang. Dr. Mahathir selayaknya hanya menjadi penasihat dan bukan bertindak sebagai ‘pemain utama’ yang mengawal semua di dalam PPBM.

UTUSAN
Loading...
Back To Top