Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Veteran UMNO tulang belakang perjuangan kerajaan

TAIPING: Aktiviti kerohanian dan kebajikan menjadi fokus utama Veteran UMNO Perak bagi memastikan Barisan Nasional (BN) kekal memerintah negeri ini selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) nanti.

Pengerusi Veteran UMNO negeri, Datuk Abdul Khalid Mohd Nasir, berkata kehadiran golongan itu yang kini mencecah 80,000 ahli amat penting kerana sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bagi.

"Sebagai 'orang lama' yang banyak mengharungi liku perjuangan dalam UMNO, saya percaya mereka mempunyai jiwa besar bagi meneruskan legasi perjuangan.

"Kami akan terus meningkatkan moral ahli melalui aktiviti kerohanian dan kebajikan sama ada sesama ahli Veteran UMNO mahupun bukan ahli.

"Ia sekali gus dapat mendekatkan kami dengan mereka supaya golongan ini tidak rasa dipinggirkan atau tidak dihargai dan terus
Loading...
kekal memberi sokongan kepada BN," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas program Jelajah Veteran Sehati Sejiwa Negeri Perak di Arena Futsal Bukit Gantang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafis Syed Abdul Fasal.

Abdul Khalid berkata, veteran dalam UMNO sentiasa mengambil iktibar daripada perpecahan dalaman parti sebelum ini sehingga Perak terlepas kepada pakatan pembangkang.

Justeru, golongan veteran diyakini terus taat dan setia dan sanggup menjadi tulang belakang  perjuangan kepemimpinan masa kini.

Sementara itu, Syed Abu Hussin berkata, perbezaan yang wujud tidak seharusnya dijadikan alasan untuk penyokong parti itu berpecah hingga menguntungkan golongan yang mempunyai agenda menghancurkan Islam serta kepemimpinan negara.

"Kita harus ambil iktibar di Palestin apabila pergerakan Hamas enggan bekerjasama dengan PLO (Pertubuhan Pembebasan Palestin) hingga akhirnya menguntungkan rejim Zionis-Israel.

"Perbezaan akan wujud walau di mana juga, namun janganlah perbezaan itu dijadikan sebab untuk bertelagah sesama sendiri.

"Keadaan itu mengakibatkan hilang sokongan apabila undi akan lari dan memihak kepada (parti) yang lain," katanya.
Loading...
Back To Top