Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

CALON PM PUN HURU-HARA, INIKAN PULA DASAR NEGARA…

Loading...
Tun Dr Mahathir Mohamad begitu diraikan pemimpin DAP, PKR dan PAN apabila mengumumkan parti ‘cap bunga’ menyeratai Pakatan Harapan. Dia ditonjol sebagai ikon politik pembangkang dan dibayangkan sebagai ‘calon Perdana Menteri’ bagi mereka.

Mahathir pula dalam reaksinya dilapor mengatakan kesediaannya untuk kembali menjadi Perdana Menteri walaupun terdapat istilah ‘sementara’. Sementara atau tidak, mungkin lebih dua tahun juga untuk melihat dia turun ‘takhta’. Itupun jika dia mahu turun…

Sekiranya nama Mahathir diletak sebagai calon Perdana Menteri, apakah Pakatan Harapan fikir mereka dapat menjatuhkan Dato’ Seri Najib Tun Razak dan menamatkan penguasaan BN yang menunjangi pentadbiran negara sejak merdeka?

Hanya semata-mata Mahathir saja, maka Pakatan Harapan fikir rakyat akan yakin dan memilih mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti? Berapa umur Mahathir? 22 tahun jadi Perdana Menteri tidak cukupkah? Mahu teruskan legasi kronisme ‘terbengkalai?

Apa sudah jadi dengan manifesto puak pembangkang sebelum ini yang mahu tempoh perkhidmatan Perdana Menteri dihadkan kepada dua penggal sahaja? Sudah tukar? Atau sudah lupa? Atau ia hanyalah sekadar ‘gula-gula perhiasan’ semata-mata?

Itu baru disentuh tentang satu dasar yang sangat kecil tentang retorik ‘dasar’ Pakatan Harapan. Bagaimana dengan dasar-dasar utama yang kononnya mampu dilaksanakan Pakatan Harapan ‘demi rakyat’ di negara ini?

Bagaimana dengan Dasar Pendidikan? Kononnya mahu laksanakan ‘pendidikan percuma’? Kita pun maklum bahawa Kerajaan Negeri Selangor adalah antara yang terkaya di negara ini. Sudah dua penggal berkuasa di negeri itu, Unisel tawar pendidikan percuma 100 peratus?

Bagaimana dengan penjanaan pendapatan negara? Kita pun tahu, cukai merupakan pendapatan utama negara. Di zaman Mahathir dulu bolehlah semua diletak atas ‘kepala’ Petronas. Bila harga minyak jatuh teruk, pendapatan Petronas pun tidak ‘selebat’ dulu, bagaimana hendak jana pendapatan negara jika dimansuhkan GST?

Mahu kembali ke sistem cukai lama, SST, yang sebelum ini menjana pendapatan tidak sebanyak mana dulu? Hendak ‘dibela’ lagi peniaga-peniaga tamak yang lari dan mengelakkan diri dari bayar cukai? Mahu terus jadi kerajaan yang mudah ditipu peniaga licik?

Bagaimana dengan kedudukan Bahasa Melayu di negara ini? Apakah penggunaan Bahasa Inggeris akan dibenar menjadi bahasa utama di institusi pendidikan? Bagaimana dengan Bahasa Cina pula? Akan tunduk pada kemahuan Dong Zhong? Ikut acuan ‘cap bunga’ atau perlu ‘kowtow’ pada dasar DAP?

Bagaimana pula dengan isu kedudukan dan kepentingan agama Islam? Apakah sudah diputuskan? Apakah nasib RUU 355 nanti? Ikut telunjuk siapa? Ikut kata ‘cap bunga’? Ikut fatwa Syeikh Anwar Al-Sungai Bulohi atau Sahibussamahah Mat Sabu?

Bagaimana jika DAP mahu Malaysia mengamalkan dasar liberal dalam isu agama? Menerima baik Comango dengan hati yang terbuka? Bagaimana dengan kesaksamaan agama? Islam akan sama dengan agama-agama lain di negara ini? Pakatan Harapan sudah putuskan?

Tentang institusi Raja-Raja Melayu di negara ini bagaimana pula? Akan berlaku lagi episod yang membabitkan krisis-krisis perlembagaan yang akan menghakis kuasa Raja-Raja Melayu? Atau Pakatan Harapan akan hapuskan terus institusi Raja-Raja Melayu di negara ini?

Mengamalkan konsep demokrasi, apakah akan ada lagi campur tangan kuasa eksekutif terhadap kuasa judiciari di negara ini? Jika hakim membuat keputusan yang tidak menyebelahi Pakatan Harapan, apakah peristiwa ‘Tun Salleh Abas’ akan berulang lagi?

Pokok pangkalnya, penulis tidak kisah sangat siapa ‘ayam sabung’ Pakatan Harapan. Mahathir boleh, Kit Siang boleh, Anwar boleh, Mat Sabu pun boleh. Tapi dasar Pakatan Harapan terlalu kabur dari huru-hara, langsung tidak meyakinkan.

Itu belum lagi disentuh tentang soal remeh seperti pembahagian kerusi pada PRU ke-14 nanti. Jika hal remeh pun terlalu sukar untuk mencapai persetujuan, inikan pula tentang dasar-dasar negara yang jauh lebih penting dan melibatkan rakyat.

Justeru itu, jangan marahlah jika majoriti rakyat di negara ini langsung tidak yakin pada Pakatan Harapan. ‘Kepala’nya sudah jadi macam ‘budak-budak kanyaq’ sehingga tidak tahu tentang keutamaan yang lebih wajar diberi perhatian.

Jangan pula menangis bila kalah PRU nanti. Jangan pula tuduh BN kononnya ‘import’ pengundi Bangla atau Indonesia yang diangkut dengan puluhan pesawat jumbo. Memang realiti rakyat lihat BN lebih baik dari Pakatan Harapan, terima sajalah hakikat…
Loading...
Back To Top