Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Umno Selangor tekad rampas Selangor pada PRU14, serik jadi pembangkang

KUALA LUMPUR: Sembilan tahun menjadi pembangkang di Selangor ternyata menginsafkan Umno Selangor yang bertekad tidak mahu lagi mengulangi episod duka apabila terlepas negeri itu dalam dua pilihan raya umum (PRU) sebelum ini.
 
Atas kesedaran itu juga Umno Selangor menggerakkan gerak kerja semaksimumnya untuk menghadapi PRU ke-14 (PRU14) merangkumi peringkat cawangan, bahagian dan negeri.
 
Setiausaha Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Johan Abdul Aziz berkata untuk tujuan itu, Umno melantik koordinator di kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak dimenangi BN untuk memimpin gerak kerja berkenaan.
 
“Ya kami dah serik dan tidak lagi mahu menoleh ke belakang. Saya lihat kesungguhan untuk merampas balik Selangor di peringkat akar umbi cukup kuat ketika ini. Gerak kerja kami cukup ‘solid’… koordinator di DUN yang kalah, mereka buat kerja dengan baik.
 
“Walaupun kami di Selangor ni dah bertahun jadi pembangkang tetapi kami tetap jalankan tanggungjawab membantu rakyat. Mana yang kita boleh bantu kita bantu seperti keperluan asas banyak yang Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) kita luluskan di kawasan Selangor ini,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama.
 
Ketika ini, kedudukan 56 DUN di Selangor terdiri daripada DAP (14 kerusi), PKR dan PAS
Loading...
masing-masing 13 kerusi, Umno-BN (12 kerusi) dan Parti Amanah Negara serta Bebas, masing-masing dua kerusi.
 
Bagi menggerakkan usaha Umno Selangor merampas semula negeri itu pada PRU14, Johan yang juga ADUN Semenyih, berkata parti tersebut menjalankan gerak kerja yang agresif namun bertempat.
 
Beliau berkata Umno Selangor turut menggunakan medium media sosial secara maksimum untuk memperjelas atau menyampaikan sebarang isu negeri atau nasional supaya segala maklumat cepat sampai kepada rakyat.
 
Pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Tan Sri Noh Omar sebagai Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut membuka ruang dan peluang untuk Umno Selangor berbakti kepada rakyat di kawasan bandar.
 
“Selepas Tan Sri (Noh) dilantik sebagai menteri, beliau terus buat kertas kerja untuk diserahkan kepada perdana menteri yang kemudian meluluskan peruntukan RM300 juta untuk membantu miskin bandar.
 
"Daripada jumlah itu, RM160 juta diperuntukkan untuk Selangor, ini bukan sebab Tan Sri dari Selangor tetapi disebabkan nisbah keseluruhan rumah pangsa dan rumah kos rendah 50 peratus terletak di Selangor.
 
“Kita terima keluhan daripada rakyat mengenai ketiadaan lif di rumah pangsa yang banyak tingkat sehinggakan nak bawa turun jenazah susah… ini yang kita persembah kepada perdana menteri dan ternyata kebijaksanaan kita dicemburui oleh kerajaan negeri. Strategi kita ialah terus dekati, dampingi rakyat dan apa yang kita boleh bantu kita bantu,” katanya.
Loading...
Back To Top