Loading...
Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah |
Ku Li dakwa beliau pilihan terbaik untuk jawatan PM
Astro Awani
2/4/2021
KUALA LUMPUR : Tanpa berselindung, Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah menyuarakan mahu menjadi Perdana Menteri.
Meskipun hasrat itu mungkin tidak mendapat sokongan partinya namun bekas Menteri Kewangan berusia 84 tahun itu berpendapat dirinya memiliki semua yang diperlukan untuk memegang jawatan tersebut.
Memetik laporan The Vibes, Tengku Razaleigh yang mesra disapa Ku Li itu juga mendakwa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak layak untuk menjawat jawatan berkenaan.
Mengulas tiga nama yang disebut-sebut sebagai Perdana Menteri, Ku Li melabelkan Muhyiddin sebagai “malas” dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula “tidak berkelayakan”.
Manakala untuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ku Li mendakwa Anwar akan membuatkan “negara muflis dalam tiga hari”.
“(Siapa harus menjadi Perdana Menteri?) Saya lah.
“Tetapi saya tidak fikir saya akan menjadi (perdana menteri). Saya tidak tahu, saya sepertinya tidak mendapat sokongan parti.
“Saya mungkin mendapat sokongan ahli pembangkang, tetapi bukan UMNO,” katanya memetik laporan tersebut.
Pada masa sama, beliau turut mengkritik kerajaan sekarang dan mengatakan bahawa mereka tidak mempunyai kualiti untuk memimpin negara.
Kritikan paling keras darinya adalah kepada Mohamed Azmin yang beliau labelkan sebagai "tidak memenuhi syarat dan tidak layak" untuk diberi jawatan menteri.
“Saya terkejut Tun Dr Mahathir Mohamad menamakannya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi ketika Pakatan Harapan (PH) memenangi Kerajaan Persekutuan pada tahun 2018.
“Lihat dia, dia belum menangani apa-apa, bahkan di MITI hari ini. Saya tidak fikir dia mempunyai kemampuan menjalankan tugasan kementerian.
“Dia hanya diberi pekerjaan MITI kerana penglibatannya dalam menjatuhkan PH. Tidak adil memberikannya tanggungjawab sebegitu kerana kita berbicara tentang negara.
“Anda tidak boleh membiarkan Azmin mengendalikan perdagangan dengan mengetahui sepenuhnya bahawa dia tidak berkemampuan untuk melakukannya. Bolehkah dia menangani krisis jika ia berlaku?” tegasnya.
Source: Astro Awani
For More News Go To:
Loading...