Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

BERSATU tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana ahlinya yang bertanding pada PRN Sarawak tanpa kebenaran

 PRN Sarawak: Ahli Bersatu bertanding, tindakan tegas akan diambil - Wan Saiful



Disember 6, 2021 14:06 MYT

ASTRO AWANI

PRN Sarawak: Ahli Bersatu bertanding, tindakan tegas akan diambil - Wan Saiful

Wan Saiful berkata ahli yang melanggar perlembagaan parti boleh berdepan dengan tindakan disiplin yang tegas, termasuk keahlian boleh terhenti serta merta. - Gambar fail

KUCHING: Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana ahlinya yang bertanding pada pilihan raya tanpa kebenaran parti.

Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata ahli yang melanggar perlembagaan parti boleh berdepan dengan tindakan disiplin yang tegas,

Loading...
termasuk keahlian boleh terhenti serta merta.

Kenyataan tersebut dipercayai merujuk kepada tindakan Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju yang bertanding atas tiket Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian pada PRN12 Sarawak.



“Peraturan yang sama terpakai di Sarawak dan parti akan membuat pengumuman yang sewajarnya berkaitan perkara ini,” demikian katanya dalam kenyataan di laman Facebook, pada Isnin.

Sebelum ini, Ali merupakan wakil tunggal Bersatu di DUN Sarawak.

Beliau memenangi DUN Krian ketika bersama PKR pada 2011 dan 2016.

Bagaimanapun, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan parti itu tidak bertanding dalam PRN12 Sarawak.

Mengulas lanjut, Wan Saiful menyeru semua ahli Bersatu untuk bersama-sama berganding bahu bagi memastikan kemenangan besar buat GPS pada PRN12.

“Mari kita gunakan keberadaan kita untuk membantu kemenangan rakan sepasukan,” ujarnya.

Sementara itu memetik laporan Utusan Borneo, Ali berkata keputusan bertanding di DUN Krian dibuat untuk menghormati sokongan dan permohonan rakyat di peringkat akar umbi yang mahu beliau terus bertanding mempertahankan kerusi tersebut yang telah dimenanginya sejak dua penggal yang lalu.

Terdahulu, 82 Pusat Penamaan Calon (PPC) dibuka bermula 9 hingga 10 pagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Disember sebagai hari pengundian, sementara undi awal pada 14 Disember.

Loading...
Back To Top