Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

PM ucap takziah kepada keluarga bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT) ketujuh Jeneral (B) Mohd Ghazali


PM ucap takziah kepada keluarga Allahyarham Jeneral (B) Mohd Ghazali
Bernama
Ogos 25, 2021 00:39 MYT

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Jeneral (B) Tan Sri Mohd Ghazali Mohd Seth yang meninggal dunia hari ini. - Foto Facebook ATM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Jeneral (B) Tan Sri Mohd Ghazali Mohd Seth yang meninggal dunia hari ini.

Menerusi catatan terbaharu di laman Facebooknya malam ini, Perdana Menteri berkata bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT) ketujuh itu telah banyak menabur jasa dan bakti sepanjang berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak 1952.

Beliau berkata ini terutama dalam usaha menentang komunis selain pernah menjadi Penasihat Tentera Malaysia termuda dan pertama ke Indonesia pada 1958.


"Allahyarham, yang dilahirkan pada 4 Feb 1929 di Johor Bahru, Johor, dilantik sebagai Panglima Tentera Darat bagi tempoh lima tahun bermula 1977 hingga 1982, sebelum dilantik sebagai PAT ketujuh (1982-1985).

"Saya mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin," katanya.

Laporan media hari ini menyebut Mohd Ghazali menghembuskan nafas terakhirnya pada kira-kira 10 pagi di Hospital Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur akibat komplikasi jangkitan paru-paru.
-- BERNAMA



Bekas PAT ketujuh meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru
Bernama
Ogos 24, 2021 

Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral (B)
Loading...
Tan Sri Mohd Ghazali Mohd Seth meninggal dunia pagi tadi akibat komplikasi jangkitan paru-paru. - Facebook ATM

KUALA LUMPUR: Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral (B) Tan Sri Mohd Ghazali Mohd Seth meninggal dunia pagi tadi akibat komplikasi jangkitan paru-paru.

Anak lelakinya Datuk Mohd Badlisham Ghazali, 58, berkata Allahyarham dimasukkan ke Hospital Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur sejak seminggu lepas setelah mengadu sakit perut.

"Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada kira-kira 10 pagi di sisi emak saya Puan Sri Norziah Onn dan kakak-kakak saya.


"Doktor yang merawat Allahyarham bapa saya memberitahu punca kematian adalah akibat jangkitan paru-paru," katanya kepada Bernama hari ini.

Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata Allahyarham mempunyai sejarah menghidap penyakit kanser usus, bagaimanapun ia telah sembuh.

Mohd Badlisham juga berkata bapanya merupakan seorang yang aktif dari segi fizikal serta mental dan menyifatkan pemergian Panglima Angkatan Tentera ketujuh itu sebagai sesuatu yang berlaku secara mengejut.

"Pagi tadi dia dilihat okay dan stabil, bagaimanapun kami sekeluarga reda dengan pemergiannya," kata beliau.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Jenazah Allahyarham telah disempurnakan di Masjid Khalid Al Walid, Kementerian Pertahanan dengan pematuhan prosedur operasi standard Pelan Pemulihan Negara pada kira-kira 2.30 petang dan selesai dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada kira-kira 4.30 petang.

-- BERNAMA
Loading...
Back To Top