Suami kepada pengasuh yang ditahan polis pada 29 April lalu selepas disyaki membunuh bayi lelaki berusia sembilan bulan |
Liwat, bunuh bayi 9 bulan, suami pengasuh dituduh esok
FMT
PETALING JAYA: Suami kepada pengasuh yang ditahan polis pada 29 April lalu selepas disyaki membunuh bayi lelaki berusia sembilan bulan akan didakwa di mahkamah esok.
Lelaki itu berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala isterinya akan dituduh bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kedua-dua suspek direman selama 13 hari bermula 30 April lalu.
Siasatan polis turut mengesahkan bayi itu diliwat dan dibunuh lelaki terbabit pada 27 April lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata bayi itu dihantar oleh suspek ke Hospital Sungai Buloh dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Katanya, hasil bedah siasat mendapati terdapat lebam pada mulut mangsa dipercayai kesan ditekup sehingga bayi itu meninggal dunia.
“Bayi itu turut mengalami kesan koyak pada duburnya,” katanya menurut laporan MalaysiaGazette.
Pengasuh dan suaminya yang merupakan warga tempatan berusia 36 tahun ditahan polis di kediaman mereka di Kelana Jaya pada 29 April lalu.
Alat seks bersama beberapa barang lain turut dirampas ketika tangkapan dibuat, dipercayai digunakan dalam kejadian.
“Antaranya dua lampin pakai buang, sehelai kain warna putih, sehelai seluar, karpet bercorak merah hitam, sehelai seluar pendek, sehelai baju lengan pendek dan cecair nyah kuman,” kata Fakhrudin.
Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati suami isteri itu positif dadah jenis syabu.
“Polis percaya bayi berkenaan diliwat selepas ditinggalkan bersama suami pengasuh di bilik mereka selama lebih kurang dua jam,” katanya.
Kes itu terbongkar apabila IPD Petaling Jaya menerima laporan daripada doktor di Hospital Sungai Buloh menyatakan menerima bayi lelaki berkenaan pada 7 malam, 27 April lalu dalam keadaan tidak sedarkan diri.