Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Situasi Semasa Jangkitan Covid-19 Di Malaysia - 8 Mac 2021

Loading...

 


Kenyataan Akhbar KPK 8 Mac 2021 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia

SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT

CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA

8 MAC 2021

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan status terkini kes COVID-19 di Malaysia sehingga 8 Mac 2021 (jam 12:00 tengah hari);

  • Kes sembuh : 2,076 kes (294,034 kes kumulatif, 93.4%);
  • Kes baharu : 1,529 kes (314,989 kes kumulatif);
  • Kes import : 9 kes (3 warganegara; 6 bukan warganegara)
  • Kes tempatan : 1,520 kes [1,177 warganegara (77.4%); 343 bukan warganegara (22.6 %)];
  • Kes aktif : 19,778 kes;
  • Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) : 160 kes;
  • Kes memerlukan bantuan pernafasan : 79 kes; dan
  • Kes kematian : 8 kes (1,177 kes kumulatif, 0.37%; 7 warganegara; 1 bukan warganegara).

Pada hari ini, jumlah kes aktif telah kurang daripada 20,000 kes, iaitu 19,778 kes. Jumlah kes baharu iaitu 1,529 kes pula merupakan jumlah kes baharu paling rendah yang dicatatkan untuk tahun 2021. Diharapkan tren jumlah kes menurun ini akan berterusan.

Negeri Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 726 kes (47.5 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 645 kes (88.8 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan. Ini diikuti oleh Sarawak sebanyak 252 kes (16.5 peratus) dan Johor sebanyak 120 kes (7.8 peratus).

Sebanyak34 kes (2.2 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara, lokap, dan depot tahanan imigresen (DTI) yang membabitkan Kluster DTI Persiaran Wawasan (17 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (8 kes), Kluster Tembok Taiping (5 kes), Kluster Penjara Sungai Jelok (2 kes), Kluster Tembok Bukit Besi (1 kes), dan Kluster Tembok Pengkalan Chepa (1 kes).

Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan masing-masing dua (2) kes di Sabah, Pulau Pinang, dan Johor, serta masing-masing satu (1) kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Sarawak. Sebanyak tujuh (7) kes melibatkan warganegara dan satu (1) kes bukan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka.

Perincian penuh jumlah kes mengikut negeri adalah seperti di Lampiran 1 dan 2, manakala ringkasan kes kematian mengikut negeri adalah seperti di Lampiran 3 yang disertakan bersama kenyataan media ini.

MAKLUMAT TERKINI BERKAITAN KLUSTER-KLUSTER

Berikut adalah maklumat terkini berkaitan kluster-kluster di Malaysia sehingga 8 Mac 2021:

  • Jumlah kluster : 1,203 kluster;
  • Jumlah kluster baharu : 4 kluster;
  • Jumlah kluster yang telah tamat : 736 kluster (termasuk sembilan (9) kluster yang tamat pada hari ini iaituKluster Jalan Perindustrian, Kluster Selasih Perindu, Kluster Keladi Saga, Kluster Sri Sengkang, Kluster Jalan Permata, Kluster Jalan Cyber Lima, Kluster Tinanom, Kluster Jalan Waja, dan Kluster Persiaran Hulu);
  • Jumlah kluster aktif : 467 kluster;
  • Jumlah kluster dengan pertambahan kes baharu pada hari ini : 62 kluster; dan
  • Kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Industri Sungai Gadut (51 kes), Kluster Industri Subang (36 kes), dan Kluster Kebun Baru (22 kes).

KLUSTER BAHARU

KKM juga ingin memaklumkan terdapat empat (4) kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini, yang melibatkan tiga (3) kluster berkaitan tempat kerja dan satu (1) kluster berkaitan komuniti.

Perincian kluster-kluster baharu adalah seperti di Lampiran 4 yang disertakan bersama kenyataan media ini.

No. Nama Kluster Negeri Kategori Kluster
1 Cyber 72 Johor Tempat Kerja
2 Jalan i-Park Tiga Johor Tempat Kerja
3 Jalan Loke Yew WP Kuala Lumpur Tempat Kerja
4 Bukit Bayas Terengganu Komuniti

PELANTIKAN PROTECTHEALTH CORPORATION SDN BHD (PROTECTHEALTH) SEBAGAI PELAKSANA DALAM PENGLIBATAN PENGAMAL PERUBATAN AM SWASTA BAGI PROGRAM IMUNISASI COVID-19 KEBANGSAAN

Seperti diumumkan Yang Berhormat Menteri Kesihatan Dato’ Seri Dr Adham Baba, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) telah bersetuju melibatkan Pengamal Perubatan Am Swasta (GP) bagi memaksimumkan akses pengagihan vaksin dengan lebih meluas kepada rakyat. Penglibatan GP ini adalah bagi pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Fasa 2 dan Fasa 3.

Bagi tujuan ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melantik ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) sebagai pelaksana penglibatan GP dalam PICK. ProtectHealth diperbadankan pada 2016 di bawah KKM sebagai sebuah syarikat yang tidak berasaskan keuntungan.

GP yang berminat untuk terlibat dalam PICK bagi Fasa 2 dan 3, perlu berdaftar dengan ProtectHealth bermula 8 Mac 2021 melalui laman web www.protecthealth.com.my . Maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM ingin menasihati orang ramai agar terus patuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu;

  • Elakkan 3S: (elakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat).
  • Amalkan 3W: (Amalkan Wash, Wear dan Warn)

Patuhlah kepada S.O.P sebagai normal baharu. KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO. Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan.

Di kesempatan ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin mengucapkan Selamat Hari Wanita, khususnya kepada semua petugas wanita barisan hadapan bertemakan “Wanita Bangkit Mendepani Cabaran”.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

8 Mac 2021 @ 5.00 petang.

LAMPIRAN 1

BILANGAN KES COVID-19

MENGIKUT NEGERI DI MALAYSIA

(SEHINGGA 8 MAC 2021, JAM 12:00 TENGAH HARI)

NEGERI BILANGAN KES BAHARU *(    ) BILANGAN KES KUMULATIF
SELANGOR 726 (5) 105,380
SABAH 71 53,557
JOHOR 120 (2) 38,121
WP KUALA LUMPUR 71 (2) 35,790
NEGERI SEMBILAN 89 16,509
PULAU PINANG 76 12,557
PERAK 49 11,939
SARAWAK 252 11,348
KEDAH 9 7,734
MELAKA 4 6,060
KELANTAN   28 5,173
PAHANG 3 3,918
TERENGGANU 13 3,294
WP LABUAN 0 2,264
WP PUTRAJAYA 1 1,089
PERLIS 17 256
JUMLAH KESELURUHAN 1,529 (9) 314,989

*(   ) adalah merujuk kepada kes-kes import

LAMPIRAN 2

Kes positif 1,529 kes COVID-19 baharu yang dilaporkan di Malaysia pada 8 Mac 2021 adalah seperti berikut: 

  • Selangor: 726 kes 
    • 92 kes daripada kluster-kluster sedia ada;
    • 553 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19;
    • Lima (5) kes import dari luar negara; dan
    • 76 kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Sarawak: 252 kes
    • Sembilan (9) kes daripada kluster-kluster sedia ada;
    • 79 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • 164 kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Johor: 120 kes  
    • 45 kes daripada kluster-kluster, termasuk 24 kes daripada kluster-kluster baharu iaitu Kluster Cyber 72 dan Kluster Jalan i-Park Tiga;
    • 34 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19;
    • Dua (2) kes import dari luar negara; dan
    • 39 kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Negeri Sembilan: 89 kes
    • 57 kes daripada kluster-kluster sedia ada;
    • 24 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • Lapan (8) kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Pulau Pinang: 76 kes 
    • 11 kes daripada kluster-kluster sedia ada;
    • 17 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • 48 kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Sabah: 71 kes 
    • 26 kes daripada kluster-kluster sedia ada;
    • 34 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • 11 kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: 71 kes  
    • 11 kes daripada kluster-kluster, termasuk dua (2) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Jalan Loke Yew;
    • 35 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19;
    • Dua (2) kes import dari luar negara; dan
    • 23 kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Perak: 49 kes
    • 29 kes daripada kluster-kluster sedia ada;
    • 17 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • Tiga (3) kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Kelantan: 28 kes
    • Lima (5) kes daripada kluster-kluster sedia ada;
    • 16 kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • Tujuh (7) kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Perlis: 17 kes daripada kluster sedia ada.
  • Terengganu: 13 kes
    • Tiga (3) kes daripada kluster-kluster, termasuk satu (1) kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Bukit Bayas;
    • Sembilan (9) kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • Satu (1) kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Kedah: Sembilan (9) kes
    • Empat (4) kes daripada saringan kontak rapat kes positif COVID-19; dan
    • Lima (5) kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Melaka: Empat (4) kes
    • Satu (1) kes daripada kluster sedia ada; dan
    • Tiga (3) kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Pahang: Tiga (3) kes daripada lain-lain saringan COVID-19.
  • Wilayah Persekutuan Putrajaya: Satu (1) kes daripada kluster sedia ada.

LAMPIRAN 3

Ringkasan lapan (8) kes kematian pada 8 Mac 2021 adalah seperti berikut:

No. Kematian No. Kes Negeri Jantina (warganegara) Umur (tahun) Hospital / Tempat Kematian Latar Belakang
1170 273414 WP Kuala Lumpur Lelaki (WN) 80 Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras Penyakit kencing manis, darah tinggi, dislipidemia, dan jantung
1171 275930 Sabah Lelaki (WN) 89 Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu Penyakit kencing manis, darah tinggi, strok, dan jantung
1172 297508 Pulau Pinang Lelaki (WN) 81 Hospital Pulau Pinang Penyakit kencing manis, darah tinggi, dan jantung
1173 307693 Sarawak Lelaki (WN) 67 Hospital Kapit Penyakit anemia
1174 311321 Pulau Pinang Lelaki (WN) 85 Hospital Kepala Batas, Seberang Perai Utara Penyakit kencing manis, darah tinggi, dan buah pinggang kronik
1175 312734 Johor Lelaki (WN) 65 Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang
1176 312777 Johor Lelaki (WN) 61 Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru Kanser buah pinggang
1177 308832 Sabah Lelaki (BWN) 75 Jenazah dibawa ke Hospital Keningau Penyakit strok

*WN merujuk kepada warganegara dan BWN merujuk kepada bukan warganegara.

LAMPIRAN 4

Perincian empat (4) kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini iaitu:

1.        KLUSTER CYBER 72

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Kulai di Johor. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-306783) dilaporkan positif COVID-19 pada 4 Mac 2021 hasil saringan individu bergejala. Kluster ini melibatkan sebuah kilang yang terletak di Jalan Cyber 5, Senai, Kulai. Sehingga 8 Mac 2021, sejumlah 163 individu telah disaring, di mana 18 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

2.        KLUSTER JALAN i-PARK TIGA

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Kulai di Johor. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-311121) dilaporkan positif COVID-19 pada 6 Mac 2021 hasil saringan individu bergejala. Kluster ini melibatkan pekerja-pekerja sebuah kilang yang terletak di Jalan i-Park 1/3, Bandar Indahpura, Kulai. Sehingga 8 Mac 2021, sejumlah 43 individu telah disaring, di mana lapan (8) kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

3.        KLUSTER JALAN LOKE YEW

Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Cheras di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kes-kes bagi kluster ini dilaporkan positif COVID-19 pada 2 Mac 2021 hasil saringan bersasar pekerja-pekerja sebuah pasar raya yang terletak di Jalan Loke Yew, Cheras. Sehingga 8 Mac 2021, sejumlah 16 individu telah disaring, di mana 11 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

4.        KLUSTER BUKIT BAYAS

Kluster komuniti ini melibatkan daerah Kuala Terengganu di Terengganu; Johor Bahru di Johor; dan Petaling di Selangor. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-305877) dilaporkan positif COVID-19 pada 3 Mac 2021 hasil saringan individu bergejala. Nama kluster merujuk kepada lokaliti  di mana kes-kes dilaporkan berlaku iaitu di Kampung Bukit Bayas, Kuala Terengganu. Sehingga 8 Mac 2021, sejumlah 139 individu telah disaring, di mana 23 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

Loading...
Back To Top