Berita Malaysia dan negara Tetangga

Loading...

Anggota Polis dan ambulan antara tiga cedera dirempuh pemandu mabuk ketika bantu mangsa kemalangan di MRR2

Loading...

Polis, antara tiga cedera dirempuh ketika bantu mangsa kemalangan

Kelab Info Malaysia
22/3/2021
KUALA LUMPUR – Niat murni seorang polis membantu seorang penunggang motosikal yang mengalami kemalangan berakhir dengan tragedi apabila dia cedera selepas dirempuh sebuah kereta Mercedes di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dari arah Ampang menghala Gombak di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah malam itu, dua lagi mangsa turut cedera melibatkan seorang petugas ambulans Bulan Sabit Merah dan seorang penunggang motosikal.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, kejadian berlaku ketika anggota polis dan petugas kecemasan masing-masing sedang memberi pertolongan dan mengawal lalu lintas di lokasi kemalangan yang melibatkan sebuah motosikal dan sebuah kereta.

“Secara tiba-tiba sebuah kereta Mercedes yang dipandu seorang lelaki warga tempatan datang dari arah belakang telah bergesel dengan sebuah kereta lain.

“Geselan itu menyebabkan Mercedes berkenaan hilang kawalan lalu merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) milik polis jenis Proton Preve yang berada di lorong kanan jalan di tempat kejadian,” ujarnya kepada Kosmo! hari ini.

Jelasnya, rempuhan pada MPV itu menyebabkan ia menggelongsor ke hadapan lalu merempuh ambulans Bulan Sabit Merah dan motosikal milik polis yang ketika itu sedang berhenti untuk menguruskan mangsa kemalangan.

“Akibat rempuhan itu, tiga mangsa mengalami kecederaan termasuk seorang anggota polis. Kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut,” ujarnya.

Menurutnya, ujian kandungan alkohol dalam darah telah dilakukan terhadap pemandu Mercedes menggunakan mesin jenis Ujian Evidential Breath (EBA-II) dan keputusannya mendapati tahap kandungan alkohol telah melebihi had yang ditetapkan.

“Hasil saringan ujian air kencing yang dilakukan juga adalah negatif dan dia bebas daripada sebarang dadah terlarang,” ujarnya.

Katanya, pemandu berusia 28 tahun dan bekerja sendiri itu sudah ditahan mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987

Source: Kelab Info Malaysia / Kosmo Online
 
Loading...
Back To Top